Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 10

10

KIRA-KIRA pukul 9.00 pagi, Maria bersiap-siap untuk pergi ke Kajang. Di sana dia perlu ke rumah Datin Syarifah. Dia adalah tukang jahit wanita itu. Dia perlu menghantar sepasang baju yang sudah siap ditempah.

Selalunya, Mak Jah yang akan datang ke rumahnya untuk mengambil hasil jahitannya. Tetapi, tidak hari ini. Wanita itu agak sibuk. Jadi, Maria yang terpaksa ke Desa Damai Heights, Kajang, ke kediaman mewah itu.

Melihat keadaan Maria yang tidak bermaya, Salwa dan Aini tidak membenarkan Maria menaiki bas, sebaliknya Salwa menumpangkan Maria. Salwa dan Aini dalam perjalanan ke Melaka. Cadangan untuk mengikut mereka menjenguk Mak Ani, ibu Salwa terbantut kerana dia sedang sedih dan memerlukan masa untuk bersendiri. Yana pula sudah pergi ke rumah abangnya di Cheras Perdana.

Maria memerhati ke luar. Pandangan hutan batu sudah menjadi satu kemestian kini. Di kiri kanan jalan hanya dipenuhi bangunan. Rumah kedai berderetan. Kawasan-kawasan perumahan baru tumbuh bagaikan cendawan. Bagaimanapun di celah-celah pemodenan itu tetap kelihatan rumah-rumah setinggan terselit di tengah-tengah. Hendak dibuat bagaimana lagi? Bukan semua yang tinggal dan menetap di bandar-bandar besar mampu untuk tinggal di kawasan serba lengkap. Keadaan kewangan mereka tidak mengizinkan.

Kajang, bandar yang sibuk itu telah ditinggalkan. Pada ketika ini, kereta kancil milik Salwa sedang mendaki bukit. Dan, tidak lama kemudian, Salwa memberhentikan keretanya di luar sebuah kawasan perumahan elit.

"Kau nak kami temankan ke?" Aini bertanya. Dia masih risaukan Maria.

Maria menggelengkan kepala. "Tak payah. Pergilah! Melaka tu jauh lagi, nanti risau pulak Mak Ani."

"Betul kau tak…" Salwa pula mencelah. Namun, kata-katanya tidak disudahkan. Dibiarkan tergantung.

"Betul! Jangan risaukan aku. Dah, pergilah... Aku tak apa-apa."

Maria turun dari kereta. Wajahnya jelas kelihatan terpegun. Dari tempat dia berdiri, diperhati deretan rumah yang tersergam indah. Ada yang setingkat, ada yang dua tingkat. Reka bentuk rumah-rumah itu berbeza-beza mengikut cita rasa pemiliknya. Kebanyakannya besar-besar belaka.

Beruntunglah menjadi orang kaya, fikirnya. Dapatlah duduk di dalam sebuah rumah seselesa ini. Dia terkenangkan rumahnya di kampung. Walau tidak sebesar rumah-rumah yang berada di hadapan matanya kini, namun di situlah syurganya, kerana di rumah itu ada emak yang amat disayangi.

Maria meneruskan langkah. Dari pos pengawal, dia terpaksa berjalan kaki untuk masuk ke kawasan perumahan Desa Damai Heights itu sambil meneliti alamat yang diberi. Hampir sepuluh minit berjalan, matanya tertancap pada sebuah rumah banglo dua tingkat yang terletak di hujung jalan.

Nombor 23. Ya, inilah rumahnya.

Maria menarik nafas lega. Dengan teragak-agak dia menekan loceng. Tidak lama kemudian, pintu pagar automatik itu pun terbuka. Maria dapat melihat ke persekitaran banglo itu buat pertama kali. Di hujung kiri rumah itu, ada sebuah kolam renang yang sederhana besarnya. Di sebelahnya, ada sebuah taman yang cantik. Taman kecil itu berkonsepkan neo-nusantara. Sementara di sebelah kanan pula, tuan rumah menanam beberapa jenis pokok buah-buahan seperti rambutan kahwin dan jambu. Luas sungguh kawasan luar rumah ini, Maria berkata-kata dalam hatinya.

Satu pergerakan di muka pintu rumah besar itu menarik perhatiannya. Maria tersenyum melihat Mak Jah sedang berjalan mendekatinya.

"Hai, dah sampai pun anak dara ni. Kami dah susah hati dah!" kata Mak Jah. Dia sudah mempamerkan gigi tuanya.

Maria menyambut sengihan itu dengan sebuah senyuman yang manis. Dia terus menghulurkan tangannya. Mereka bersalaman. Jemari yang sudah berkedut itu dikucupi. Mak Jah mengusap-usap kepala Maria.

"Apa khabar Mak Jah? Lutut dah baik?" soal Maria sambil matanya memandang ke arah sepasang lutut Mak Jah. Dengan berat badan yang besar, sememangnya mudah untuk mendapat sakit lutut itu.

"Mak Jah sihat, lutut ni pun okey. Tapi, kamu nampak macam orang sakit. Rasanya baru aje sebulan dua kita tak jumpa, tapi kenapa lain benar keadaan kamu ni? Kenapa kurus sangat? Pipi pun nampak cengkung sahaja. Kenapa? Kamu putus cinta ke?"

Soalan bertubi-tubi diajukan Mak Jah untuknya. Tidak tahu yang mana perlu dijawab dahulu. Sudahnya Maria ketawa. Kata-kata Mak Jah mengusik hati kecilnya. Duka cuba diselindungkan di sebalik tawa kecilnya itu.

"Mak Jah ni hebat betul, macam nujum Pak Belalang," ujar Maria dalam tawa yang masih bersisa.

Mungkin riak di wajah yang tidak gembira dapat dibaca oleh wanita tua itu. Agaknya, memang begitulah keadaannya. Kalau hati tidak gembira, mana mungkin wajah dapat menampilkan kebahagiaan. Jika hati penuh kedukaan mana mungkin wajah kelihatan ceria.

Selepas bersalaman, dia mengekori Mak Jah memasuki rumah besar itu. Kali ini dia memerhatikan keindahan di sebelah dalam rumah itu pula. Hatinya tertarik melihat susun atur perabot yang rapi, seolah-olah melambangkan ketenangan hati milik tuan rumah ini. Memang hiasan dalaman rumah itu amat hebat.

Di ruang tamu, Datin Syarifah memerhati pergerakan gadis yang dibawa masuk oleh orang gajinya. Dilihat, mata Maria merenung sekeliling dengan penuh kekaguman.

Wajah gadis tinggi lampai itu diamati. Wajahnya putih bersih, hidungnya comel dan bibirnya nipis. Sepasang mata milik gadis itu sungguh mempesonakannya. Bola mata dipenuhi iris berwarna coklat tua. Galak sekali kelihatannya. Sesungguhnya pujian yang Mak Jah berikan kepada gadis itu selama ini semuanya tepat dan benar. Gadis ini memang menarik. Hati tuanya berkenan benar.

Apabila mata Maria bertembung dengan sepasang mata milik Datin Syarifah, Maria senyum hormat. Inilah kali pertama mereka bertemu. Selama ini urusan jahit-menjahit, Datin Syarifah serahkan kepada Mak Jah.

"Datin, inilah pereka fesyen Datin tu, Maria namanya. Maria, ini Datin Syarifah." Mak Jah memperkenalkan.

Sambil ketawa Maria menyalami tangan Datin Syarifah. Tangannya digenggam erat oleh wanita itu.

"Hanya seorang tukang jahit, Datin, Mak Jah. Bukan seorang pereka fesyen." Maria membetulkan kata-kata Mak Jah.

Dia manalah ada sijil atau diploma untuk diiktiraf sampai begitu sekali. Kebolehan menjahit dan menyulam, diwarisi daripada ibunya. Selebihnya, dia banyak membeli buku-buku berkaitan jahitan dan sulaman. Dia menimba ilmu melalui pembacaan.

"Samalah tu," jawab Mak Jah.

Maria menggelengkan kepala. Kalah dia dengan desakan wanita separuh abad itu. Akhirnya dia turut sama ketawa.

Setelah ketawanya reda, Datin Syarifah berkata dengan mesra. "Jadi, inilah Maria. Maaflah, dah dekat setahun awak jahit baju saya, tidak sekali saya jumpa awak. Saya harap awak tak fikir yang bukan-bukan tentang saya."

Maria tersenyum. "Saya gembira dapat berkenalan dengan Datin."

"Senang ke awak mencari rumah saya ni?" soal Datin Syarifah lagi.

Maria mengangguk sambil menghulurkan beg yang mengandungi baju sutera yang sudah siap dijahitnya kepada wanita itu.

Datin Syarifah membelek-belek baju kurung itu. Sejak kali pertama gadis ini menjahit bajunya, dia sudah berkenan. Sebenarnya dia seorang yang amat cerewet. Sudah ramai yang menjadi tukang jahitnya, tetapi dia sentiasa berasa tidak puas hati dengan hasil jahitan mereka. Ada sahaja yang tidak kena sehinggalah Dato’ Ahmad mencadangkan supaya dia membeli sahaja.

Kini, dia tidak perlu risau lagi. Sejak setahun lalu, baju yang dipakai semuanya menepati kehendak dan cita rasanya. Apa sahaja yang dia mahu, pasti Maria mampu menjahitnya dan dia amat berpuas hati.

"Hmm, memang halus jahitannya. Dari mana awak belajar menjahit, Maria? Kenapa tak buka butik ke, kedai ke? Kenapa buat secara sambilan saja?" soal Datin Syarifah ingin tahu.

"Mak yang mengajar saya kemahiran ni, tapi saya tak pernah pula terfikir nak buka kedai jahit, Datin," jawab Maria. Dia kemudian bertanya, mengharap kepastian. "Datin tak nak cuba baju ni ke? Manalah tahu kalau-kalau ada yang perlu saya baiki? Boleh saya betulkan!"

Datin Syarifah menggeleng tanda tidak perlu. "Selama ini baju yang awak jahit semuanya okey, Maria. Tentu yang ini pun tak ada masalah, ya tak?"

Maria bagaikan terpandang wajah emaknya bila melihat Datin Syarifah. Tutur kata yang lembut, sikap merendah diri yang amat dikagumi pada emaknya, kini ditampilkan oleh wanita anggun di hadapannya. Datin Syarifah bukan seorang yang sombong rupa-rupanya. Walaupun baru pertama kali berjumpa, Maria dilayan penuh kemesraan.

"Nampaknya Datin dah puas hati dengan baju ni. Jadi, saya nak minta diri dulu."

Maria bangun untuk beredar. Dia sangat penat dan mengantuk. Bila bekerja malam dan tidak cukup tidur, dia selalu begini.

"Awak nampak letih, Maria. Macam tak cukup tidur aje," kata Datin Syarifah. Dari tadi dia perhatikan keadaan Maria yang kelihatan lemah dan tidak bermaya.

"Malam tadi saya kerja syif malam, Datin," sahut Maria.

"Oh, tak cukup tidurlah ni. Kesian awak terpaksa susah-susah ke sini. Macam inilah, Maria. Awak temankan saya sarapan dulu, lepas tu biar Pak Mat yang hantar awak balik ke rumah. Boleh begitu, Kak Jah?"

Mak Jah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju.

Pada ketika yang sama, masuk dua orang lelaki ke dalam rumah sambil ketawa. Yang di hadapan, seorang lelaki yang sudah berumur, tetapi masih segak bergaya dengan seluar jogingnya. Lelaki yang rambutnya sudah memutih itu sedang mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh lelaki yang berada di belakangnya. Dan, lelaki itulah yang sedang menarik perhatian Maria. Lelaki muda yang sedang berbicara sambil ketawa mesra.

Maria tidak dapat mengalihkan pandangan. Dia tidak pernah lupa pada seraut wajah yang tampan itu. Itulah wajah yang amat dirindui. Walau sudah berkali-kali dia cuba menafikan perasaannya. Lelaki itu nampak segak walau hanya memakai pakaian sukan. Hati sudah mula bergetar. Dada sudah mula berdebar. Dan, mereka kini sedang berbalas renungan.

Maria tidak menyangka mereka akan bertemu semula di sini, di rumah Datin Syarifah ini. Hatinya bercelaru dengan pelbagai soalan. Kepalanya penuh dengan berbagai-bagai andaian.

Kembali mengingati andaiannya pada malam beberapa hari lalu, bila dia menelefon dan suatu suara garau menjawab panggilannya. Debaran di dada mula bereaksi bila mendengar suara itu tika itu. Waktu itu dia telah menafikan. Tidak mungkin itu suara Hisyam. Masakan Muhamad Zaiful Hisyam bin Ahmad tiba-tiba menjadi anak Dato’ pula? Namun, hari ini andaian menjadi kenyataan. Lelaki itu sedang berdiri megah di hadapannya.

"Ada tamu rupanya. Siapa ni, Pah?"

Maria dikejutkan oleh pertanyaan Dato’ Ahmad. Hatinya tertanya-tanya. Apakah pasangan suami isteri itu nampak perbuatannya yang leka memerhati anak mereka? Rasa malu segera hadir. Maria juga marah kepada dirinya. Perpisahan itu kiranya tidak mampu membuang perasaannya terhadap lelaki itu jauh-jauh. Rasa rindu menyebabkan dia merenung seraut wajah itu tanpa jemu.

Datin Syarifah tersenyum menyambut kepulangan suami dan anaknya.

"Hai, baru balik dua beranak ni? Letih benar nampaknya. Baguslah tu, boleh kita sarapan sama-sama."

Datin Syarifah menarik tangan Maria dan menghampiri suaminya.

"Abang, mari saya kenalkan. Ini pereka fesyen saya, Maria. Maria, ini suami saya, Dato’ Ahmad dan yang itu anak saya, Zaiful Hisyam."

Maria menyalami tangan yang dihulur oleh Dato’ Ahmad. Pada ketika yang sama dia mendengar Hisyam meminta diri untuk masuk ke bilik. Rasa sedih bertandang di jiwa.

Dia dah lupakan aku. Dia marah sangat sampai pura-pura tak kenal aku. Benci benar agaknya dia pada diri ini. Terima kasih, Irwan. Tahniah kerana berjaya meyakinkan Hisyam tentang keburukanku. Aku sudah tidak berharga lagi padanya.

0 comments:

Post a Comment