Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 8

8

"NAMA saya, Maria binti Mustafa." Maria menjawab pertanyaan guru kelasnya dengan bangga sambil matanya liar memandang ke luar. Ayah yang sedang memerhati, tersenyum kepadanya.

Itu adalah hari pertama persekolahannya. Sejak mendaftar, abahnya amat sibuk membelikan dia buku tulis, mengambil buku teks untuknya, berjumpa guru kelas untuk membayar yuran. Semuanya abahnya yang melakukan. Setelah selesai, abahnya tidak pulang, malah masih setia menemani, menunggu di luar kelas sambil berbual-bual dengan bapa-bapa pelajar lain. Maria sangat gembira.

Pada waktu rehat, Maria berlari mendapatkan ayahnya.

"Lia nak makan apa? Biar abah belikan." Lembut dan mesra benar suara ayahnya ketika itu.

"Tak boleh. Lia yang kena beli makanan. Mak kata, Lia kena belajar beli sendiri, tak boleh biarkan abah yang belikan. Nanti bukan abah nak temankan Lia hari-hari."

"Eh, tidaklah. Abah nak tunggu Lia sampai bila-bila. Anak abah ni kan kuat menangis? Nanti orang kacau, susah."

Maria bercekak pinggang membalas kata abahnya. "Abah, Lia dah sekolah. Lia tak suka nangis dah. Lia nak jadi kuat macam abah. Siapa kacau Lia, nanti Lia tumbuk muka dia."

Bahagianya dia bila pipinya dicium bertalu-talu. Dirinya dipeluk oleh abah. Erat sekali. Tapi ada rasa malu juga.

"Kenapa abah cium orang? Tengok tu, semua kawan-kawan Lia tengok. Malulah!" kata Maria dengan wajah yang merah.

Mustafa ketawa. "Lia kan anak abah? Abah sayang sangat pada Lia. Kenapa nak malu pulak bila abah cium?" soal Mustafa.

Kata mak, dia adalah anak kesayangan abahnya dan dia tahu emaknya tidak berbohong. Abahnya hanya seorang buruh, namun setiap kali balik dari kerja mesti ada buah tangan yang dibawa walaupun hanya sebiji gula-gula bernilai sepuluh sen. Dia menerima dengan senang hati kerana itu adalah pemberian abahnya, tanda ayahnya sentiasa mengingati akan diriya.

Kasih ayahnya penuh ketika itu. Waktu malam, ayahnya mengajar dia mengeja sehingga dia boleh membaca dengan lancar. Bila dia mendapat tempat pertama dalam peperiksaan penggal pertama, abahnya membelikan sebuah buku cerita berbahasa Inggeris, Snow White and The Seven Dwarfs. Buku itu masih disimpan dengan baik sehingga kini.

"Abah nak Lia belajar pandai-pandai. Kerja dalam pejabat besar yang ada penghawa dingin. Jadi pegawai dan tidak kerja teruk macam abah ni. Tidak miskin! Lia mesti pandai cakap orang putih. Kahwin dengan orang putih…"

Maria menarik muka masam mendengar ayat yang terakhir itu. "Orang kecik lagilah!"

Maria merajuk tetapi ayahnya segera memeluk dan mencium pipinya. Marahnya hilang dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh abahnya.

"Bila besar nanti, Lia nak belajar tinggi-tinggi. Lia nak masuk universiti. Lepas tu Lia nak beli rumah besar. Lia nak bawa abah dengan mak duduk dengan Lia, dengan Lan, dengan adik."

"Lepas tu?" Mustafa kelihatan bersungguh-sungguh ingin tahu.

"Lia beli kereta cantik untuk abah. Abah bawa kami pergi jalan-jalan, kan mak?" Wajah Aisyah ditatap sehingga Aisyah mengangguk.

Kepada Mustafa, Maria berkata lagi dengan manja. "Abah, Lia sayang sangat pada abah."

"Habis tu, mak?" soal Aisyah sambil tersenyum.

Maria berlari mendapatkan emaknya lantas berkata, "Lia sayang emak juga. Lia sayang semua!" Tubuh Aisyah didakap manja.

Maria menangis. Kenangan indah itu masih terlayar di pandangan mata. Wajah abah sentiasa tersenyum manis kepadanya. Dia masih ingat ayahnya pernah berkata bahawa walau penat bekerja, sebaik sampai di rumah rasa penat itu hilang bila terpandangkan dirinya. Bahagia sungguh hidupnya ketika itu.

Tidak tahu bila ayahnya mula berubah. Sebabnya juga tidak dia fahami. Tiba-tiba sahaja keadaan menjadi berbeza.

Abah sudah pandai balik lewat malam. Abah sudah mula marah-marah. Asyik menengking. Selalu mengamuk. Paling menyedihkan Maria bila abah sudah mula memukul emak. Paling dia hairan bila abah sudah pandai minum arak.

Maka bermulalah pertengkaran demi pertengkaran antara emak dengan abah. Bermulalah kemusnahan!

Tiada lagi belaian abah untuknya. Mereka sudah jarang berjumpa. Bila abah balik, dia sudah lama dibuai mimpi. Malam menjadi terlalu sepi. Dia mengulang kaji sendirian. Abah tidak lagi menunjuk ajar, tidak lagi menemani. Pada hari cuti, abah tidak pernah lekat di rumah. Awal-awal pagi lagi dia sudah keluar.

"Kenapa abah jadi macam ni, mak? Kenapa abah selalu balik lambat sekarang?" Maria bertanya kepada Aisyah. Ketika itu Aisyah hanya menggelengkan kepala.

Maria bertanya lagi, "Kenapa sekarang abah suka pukul mak?"

"Entahlah, Lia. Mungkin mak dah tak cantik sekarang..." keluh Aisyah.

"Kenapa abah dah tak sayangkan Lia lagi? Macam dulu?" soal Maria sambil menangis. Dia berasa terlalu sedih ketika itu. Di pangkuan emaknya, dia menghempaskan diri, meluahkan perasaan yang terbuku.

Aisyah juga kelihatan semakin sedih. Tidak lama kemudian Aisyah menangis bersama-sama Maria.

Walau umur Maria masih terlalu kecil ketika itu, dia sudah boleh berfikir. Dia tahu kalau dia terus-menerus menunjukkan kesedihannya, emaknya tentu akan lebih susah hati. Emaknya pasti lebih terseksa dan kecewa. Jadi, selepas kejadian itu dia tidak lagi menitiskan air mata di hadapan emaknya. Segalanya dipendamkan sendiri. Dia tidak mahu emaknya tahu betapa kecewanya dia dengan sikap dan perbuatan abahnya.

Sejak itu, dia tidak pernah lagi bertanya tentang perubahan sikap abah. Dia hanya dapat menahan hati melihat abah yang semakin jauh daripadanya. Semakin jauh daripada keluarga. Dan, bila abah pergi meninggalkan mereka untuk berkahwin dengan perempuan kaya itu, dia tahu bahawa kasih sayang abah kepadanya sudah tiada.

"Abang, jangan buat saya macam ni! Kesian pada anak-anak kita, bang. Lia dengan adik-adik dia masih kecil. Mereka perlukan abang. Mereka perlukan abah mereka! Jangan pergi, bang. Saya rayu abang. Tolonglah!"

Masih terdengar-dengar suara ibunya merayu supaya abah tidak meninggalkan mereka. Mengharap abah tidak pergi. Maria masih terbayang-bayang kejadian pada malam itu.

Maria sedang berbaring di atas ribaan ibunya, mendengar cerita Nabi Noh. Sesungguhnya Aisyah pandai bercerita kisah-kisah nabi sehingga Maria leka mendengar. Tiba-tiba abah balik dalam keadaan terhuyung-hayang. Jalannya bengkang-bengkok.

Maria mendengar emak mengeluh. "Dia mabuk lagi."

Ayahnya mabuk? Ketika itu Maria benar-benar keliru. Di sekolah, ustaz berkata bahawa orang Islam tidak boleh minum arak. Arak adalah minuman yang diharamkan oleh agama. Berdosa jika meminumnya. Tapi, kenapa abahnya minum juga? Sungguh dia tidak mengerti.

Tiba-tiba Maria melihat abahnya sibuk mengemas kain baju dan memasukkan pakaian itu ke dalam beg. Jelas, ayahnya ingin pergi dari situ. Ayahnya ingin meninggalkan mereka.

"Abah nak pergi mana?"

Maria memberanikan diri untuk bertanya. Dia menekup hidung bila ayahnya menjawab. Dia tidak tahan bau masam itu.

"Abah nak pergi rumah lain." Ringkas sungguh jawapan yang diberi.

Maria mengerutkan dahi. "Kenapa abah kemas baju abah saja? Kami?"

Mustafa kelihatan resah. Namun, diberikannya jua jawapan. "Lia nampak perempuan kat luar tu? Dia bawak kereta besar, nampak tak? Abah nak pergi rumah dia."

Manalah Maria faham kata-kata ayahnya. Dia pergi mendapatkan ibunya yang sedang menangis. Sedih benar dia melihat titisan air mata di pipi ibunya itu.

"Buat apa abah nak ikut dia? Emak kan ada?"

Berkerut dahi Mustafa memandang Aisyah. "Awak ajar Lia cakap macam tu, Aisyah? Awak nak kena?" Tengking Mustafa.

Maria nampak emaknya menggelengkan kepala. Dia kemudian mendengar dengan jelas ayahnya memberitahu.

"Abah nak kahwin dengan perempuan tu. Abah nak hidup senang dengan dia. Dekat sini, dalam rumah ni, abah boleh gila. Rumah ni kecik, busuk pulak tu. Abah bosan!"

Waktu itu Maria tidak memahami apa-apa. Hanya hati tertanya-tanya mengapa abah mesti bosan sedangkan abah ada anak-anak yang amat sayangkan dirinya. Dia tidak mengerti kata-kata abah bila abah berkata rumah ini kecil dan busuk.

Mana ada? bentak Maria dalam hati.

Mustafa sudah siap berkemas. Dia sedang mengatur langkah untuk keluar.

Maria bertanya lagi. "Abah nak tinggalkan kami?"

Terhenti langkah Mustafa. Dia tidak bersuara.

Maria memberanikan diri bertanya lagi. "Habis tu, macam mana dengan mak? Macam mana dengan adik-adik? Abah tak kesian pada kami? Mak mana ada kerja. Apa kami nak makan nanti?"

Soalan yang diberi tidak berjawab. Wajah Mustafa selamba sahaja. Tidak ada langsung rasa bersalah.

"Abang dengar tak tu? Lia tanya abang, kenapa tak jawab? Sampai hati abang nak tinggalkan kami macam tu aje? Abang tak kesian pada anak-anak? Mereka ini anak-anak abang, tanggungjawab abang, tahu tak?" Itulah soalan Aisyah setelah lama berdiam diri.

Mustafa meletakkan beg di jenang pintu. Dia berpatah balik, berjalan ke arah Aisyah.

Maria benar-benar terkejut bila abah menampar muka emak. Kiri dan kanan. Bukan sekali, malah berkali-kali sehingga titisan darah menitis keluar dari mulut emak. Tanpa belas kasihan, tubuh emak ditendang abah. Maria cuba meleraikan, tetapi dirinya ditolak keras. Dia terjatuh. Tapi, dia segera bangun. Rasa kasihan kepada ibunya menghilangkan kesakitan yang sedang dia sendiri alami. Adik-adiknya juga sudah menangis dengan kuat. Teresak-esak.

Sekali lagi dia pergi mendapatkan emak. Tubuh emak yang lemah dipeluk. Matanya garang membalas renungan abah yang tajam. Air mata yang keluar dilap dengan belakang tangannya.

"Abah, jangan pukul mak lagi. Kalau abah nak pergi, pergilah. Jangan pukul mak! Jangan!" jerit Maria.

Dia melihat ayahnya merenung wajahnya dengan muka yang bengis. Mulanya dia fikir dirinya akan dipukul juga, namun seketika kemudian ayahnya pergi meninggalkan mereka.

Maria berlari ke muka pintu. Dia melihat seorang perempuan cantik sedang berdiri di sisi sebuah kereta yang besar. Perempuan itu tersenyum bila terpandangkan ayahnya. Perempuan itu mengambil beg dari tangan ayahnya dan meletakkan beg itu di tempat duduk belakang. Dia nampak perempuan itu memeluk ayahnya sebelum ayahnya berlalu ke tempat pemandu dan tidak lama kemudian, mereka hilang dari pandangan.

Kerana perempuan kaya itu, abah pergi juga. Kerana perempuan kaya itu, abah tinggalkan dirinya dan adik-adik. Malah, abah tidak langsung menoleh ke belakang.

Hidup mereka semakin malang beberapa hari selepas ditinggalkan. Maria masih teringatkan kejadian pada hari itu. Mereka sedang makan ketika tuan rumah sewa datang. Dia dapat melihat wajah ibunya yang gelisah. Bila dia mendengar suara lelaki itu yang garang, barulah dia memahami mengapa ibunya susah hati.

"Aisyah, aku datang ni nak beritahu kamu yang kamu dah empat bulan tak bayar sewa rumah ni. Aku tahu kamu susah, tapi aku pun bukan orang senang. Aku pun ada anak bini untuk diberi makan!" kata Pak Ali keras.

"Saya faham, Pak Ali, tapi berilah saya masa sikit. Insya-Allah esok lusa saya bayar sewa rumah ni."

"Sudahlah, Aisyah, janganlah kamu nak tipu aku. Kamu nak bayar dengan apa? Laki kamu tu, dah tinggalkan kamu, kan? Beginilah. Kemas barang-barang kamu dan keluarlah. Petang ni jugak aku nak kamu kosongkan rumah aku ni. Jangan pulak kamu kata aku ni zalim sebab sikit pun aku tak mintak sewa rumah yang kamu terhutang tu. Dah kamu tak ada duit, aku pun kesian jugak. Cuma, tolonglah, kosongkan rumah ni hari ini jugak, faham?"

Aisyah terpisat-pisat. "Tapi, Pak Ali, ke manalah kami nak pergi? Tolonglah! Bagilah saya masa sampai esok pagi…"

"Hisy, kamu ni, Aisyah. Tak faham-faham! Aku kata keluar petang ni, keluarlah! Dah lama dah aku kesiankan kamu anak-beranak, takkanlah kamu tak tahu? Tapi, sampai bila aku nak biarkan kamu duduk di rumah ni macam rumah kamu sendiri? Tak bayar sewa! Jangan melampau, Aisyah. Jangan tak sedar diri!" tengking Pak Ali. Dia tidak peduli keadaan sekeliling. Orang sudah ramai berkumpul dan memerhati.

"Tolonglah, Pak Ali. Sehari aje. Saya mintak tangguh sampai esok. Saya tak ada tempat nak pergi kalau kena keluar hari ni," rayu Aisyah.

"Peduli apa aku kalau kamu nak berhujan ke, nak merempat ke? Lantaklah! Aku mahu kamu keluar dari rumah aku ni, hari ini jugak!"

Tidak ada belas kasihan. Tidak ada perasaan simpati. Mereka dihalau bagaikan anjing kurap. Hina sungguh dirasakan. Mujur ada Tok Munah.

"Dah tu, Aisyah, jangan menangis. Aku ada pondok buruk dekat hujung kampung ni. Duduklah di situ. Cuma keadaan pondok tu teruklah sikit. Maklumlah, rumah kosong. Rumah tinggal," kata Tok Munah sambil mengusapi kepala Maria.

Maria juga nampak wanita tua itu meletakkan wang berwarna merah dalam genggaman tangan emak. Dalam hati dia berterima kasih kepada wanita itu. Masih ada yang sayang kepada mereka rupa-rupanya.

Petang itu, Tok Munah membawa mereka ke rumah buruk itu. Maria masih ingat keadaannya. Rumah kampung yang bila-bila masa akan roboh. Uzur benar rupanya. Atap daun nipahnya bocor di sana sini. Dinding kayu yang berlubang-lubang. Keadaan lantainya? Memualkan! Rumah itu cuma ada satu bilik kecil dan sedikit ruang sempit sebagai dapur. Begitu pun mereka masih bernasib baik. Tok Munah masih sudi membenarkan mereka tinggal dalam rumah buruk itu.

Melihat kepada kesungguhan emak mengemas rumah itu, Maria akur. Dia membantu emaknya membersihkan lantai. Begitu juga dengan Mazlan. Walau muda dua tahun daripadanya, adiknya itu seolah-olah memahami penderitaan keluarga mereka. Bersama-sama, mereka memberus lantai sehingga licin. Mereka juga menampal kertas surat khabar di dinding yang berlubang. Mereka meletakkan besen kosong di tempat yang bocor. Kerana kepenatan, akhirnya mereka tertidur tanpa makan apa-apa malam itu.

Pagi esoknya, Aisyah telah pergi ke kedai, membeli ikan kering untuk digoreng dan dimakan dengan nasi yang sudah dimasak. Selepas makan, Maria disuruh menjaga adik-adik kerana Aisyah hendak mencari kerja.

"Jaga adik-adik, Lia. Baca buku! Esok boleh pergi sekolah. Mak nak pergi cari kerja. Kalau lapar lagi, nasi ada lebih tu. Ikan kering tadi pun ada juga. Pandai-pandailah kamu, ya... Mak pergi tak lama. Tengah hari nanti mak balik."

Maria hanya mendiamkan diri. Sebaik emaknya pergi, dia mengunci pintu. Hari masih terlalu awal dan dua orang adiknya masih tidur lagi. Dia mengambil peluang itu untuk mengemas rumah dan membasuh pinggan. Bila adik-adiknya bangun, Maria mengajak Mazlan makan dan menyuapkan nasi kepada Muaz.

Tengah hari itu, Aisyah pulang dengan membawa banyak barang. Rupa-rupanya Aisyah sudah mendapat kerja. Aisyah mengambil upah mencuci, melipat dan menggosok pakaian di sebuah rumah seorang perempuan cina. Aisyah meminta dibayar gaji hari. Gajinya RM10. Dengan wang sebanyak itu, Aisyah membeli tepung, ubi keledek, gula dan minyak. Dia hendak menjual kuih. Dia sudah meminta izin daripada Pak Dolah untuk meletakkan kuih di gerai orang tua itu. Setiap pagi, Mazlan dan Maria akan membawa kuih ke gerai dalam perjalanan ke sekolah.

Mulai hari itu, rutin hidup mereka berubah. Awal pagi, dia dan Mazlan akan membantu ibu mereka membuat kuih karipap, cucur badak dan keria di dapur. Selepas solat subuh, mereka dua beradik akan bersiap untuk ke sekolah. Jarak dari rumah ke sekolah bukan dekat, kira-kira dua kilometer dan mereka terpaksa berjalan kaki. Dalam perjalanan, mereka akan singgah di kedai Pak Dolah, meletakkan kuih di situ. Nanti bila mereka balik, mereka akan mengambil bakul dan wang jualan.

Aisyah pula akan pergi ke rumah Nyonya Lim membawa Muaz untuk membasuh kain sebaik Maria dan Mazlan pergi ke sekolah. Selesai kerja, Aisyah membantu Nyonya Lim menjahit baju. Petang, dalam pukul 4.00 barulah Aisyah sampai ke rumah.

Maria tahu emaknya kepenatan kerana itu dia sentiasa memastikan lauk dan nasi sudah terhidang apabila emaknya sampai. Walau dia masih kecil ketika itu, tetapi apa yang berlaku telah menjadikan dirinya lebih matang. Dia lebih bertanggungjawab.

Dalam kepayahan itu, tidak sekali emaknya mengabaikan perintah Tuhan. Emak sentiasa memastikan mereka tidak meninggalkan solat. Emak sendiri mengajar mereka mengaji Quran. Emak mendidik mereka dengan penuh rasa tanggungjawab. Tanpa merungut. Tidak juga menyesali takdir yang menimpa.

Emak juga mahu mereka belajar bersungguh-sungguh. Sentiasa membuat kerja sekolah yang diberi oleh cikgu. Emak mahu mereka belajar rajin-rajin. Mahu mereka menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara bila dewasa nanti.

Aisyah wanita yang gigih. Kegigihannya membesarkan Maria adik-beradik sangat-sangat dikagumi oleh Nyonya Lim. Selama hampir dua tahun dia menjadi orang gaji perempuan Cina itu.

Bila Nyonya Lim meninggal dunia beberapa bulan selepas itu, Aisyah dan anak-anak berpindah ke rumah yang mereka duduki sekarang. Rumah bantuan PPRT.

Di sinilah Aisyah mula mengambil upah menjahit dan menyulam. Kemahirannya diturunkan kepada Maria. Semakin Maria meningkat remaja, dia turut berminat membantu.

Hidup tidaklah terlalu sempit kini. Hasil jualan kuih dan upah menjahit itu masih berbaki. Kata Aisyah, duit itu disimpannya untuk anak-anak masuk universiti nanti.

Sungguh tidak ada orang lain yang lebih disanjung daripada emaknya. Bagi Maria, emak adalah segala-galanya. Biarlah remaja lain mengagungkan penyanyi atau pelakon, pemimpin dunia atau siapa sahaja. Bagi dirinya emak adalah idolanya. Wanita yang sangat dikagumi. Wanita yang sangat disanjungi, dikasihi.

Sangka Maria abahnya tidak akan balik lagi menemui mereka. Sangkanya bayangan lelaki itu akan hilang lenyap buat selama-lamanya. Rupa-rupanya tidak. Sesekali lelaki itu akan balik ke rumah. Kadang-kadang dalam keadaan siuman, kadang-kadang mabuk. Maria tidak tahu kenapa lelaki itu perlu pulang.

Untuk beri duit kepada mereka? Tidak! Untuk beri kasih sayang? Jauh sekali! Yang pasti, setiap kali dia datang, dia mesti bertengkar dengan mak. Yang pasti, mak akan dipukul. Dan, lebih menyakitkan hati, duit mak, hasil titik peluh mak selama ini membanting tulang empat kerat akan diambil.

Argh, kalau dikenangkan memang sakit hatinya melihat sikap abah yang tidak bertanggungjawab itu. Lelaki apakah itu yang sanggup meninggalkan isteri terkapai-kapai sendirian untuk membesarkan anak-anak? Mengapakah tergamak abah membiarkan emak sendirian mencari nafkah hanya untuk sesuap nasi? Tidak adakah langsung rasa sayang abah kepada emak? Kepada mereka adik-beradik?

Dia terasa hati dengan sikap abah. Semakin hari, semakin marah. Semakin hari semakin benci.

Bagaimanpun, Maria hairan dengan sikap emaknya. Emak tidak pernah memburuk-burukkan abah, malah dia amat marah jika dia dan Mazlan mengumpat lelaki itu. Jadi, mereka tidak berani hendak mengata atau mengungkit perbuatan abah mereka.

Tidak baik mengata orang yang menyebabkan mereka adik-beradik lahir ke dunia, kata emak. Maria dan Mazlan akur.

Mustafa? Nama itu telah lama lenyap daripada fikiran Maria. Entah bagaimanalah rupa lelaki itu sekarang. Masih gagahkah seperti dahulu? Atau, dilewat usia 50-an ini, adakah sikapnya sudah berubah?

Hisy, kenapa mesti diingat? Pedulikanlah! Dia sendiri tidak pernah mengambil tahu tentang isteri dan anak-anaknya. Mengapa mesti mengenangnya?

Namun, jauh di sudut hati, nama Mustafa masih terpahat lagi. Apa pun, lelaki itu masih abahnya.

0 comments:

Post a Comment