Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 11

11

DI DALAM bilik, Hisyam melabuhkan punggung di birai katil. Muka diraup. Mata dipejamkan. Dan wajah itu muncul kembali.

Gadis itu kini ada di rumahnya, ada di bawah, sedang bersarapan dengan ayah dan mami. Tadi, dia dapat melihat perubahan pada air wajah Maria bila gadis itu memandangnya. Gadis itu nyata terkejut. Tentu gadis itu tidak menyangka bahawa ini rumahnya kerana sesungguhnya dia tidak pernah berterus terang kepada Maria tentang dia dan keluarganya.

Rasa marahnya datang lagi, tetapi dalam masa yang sama hati diulit kesedihan. Melihat wajah ayu itu yang sangat kurus dengan pipi yang cengkung membuatkan dia risau. Dia tahu Maria sakit. Dia tahu gadis itu tidak sihat. Mungkinkah Maria rindukan dirinya? Mungkinkah Maria sentiasa mengingatinya? Tidak dapat melupakannya.

Kejadian yang berlaku di pejabat terimbau.

Encik Muhamad Zaiful Hisyam bin Ahmad,

Di sini saya kembalikan semula semua yang pernah awak hadiahkan kepada saya walaupun tidak dalam keadaan asalnya. Saya sudah tidak memerlukannya lagi. Mulanya saya terfikir untuk membeli yang baru sebagai ganti, namun maafkan saya. Saya ingin membuang semua kenangan saya bersama awak. Kalau saya beli yang baru dan beri kepada awak, yang lama ini masih dengan saya dan saya tidak mahukannya lagi.

Encik Hisyam,

Seperti awak yang sudah melupakan saya, saya yakin saya juga tentu dapat melupakan awak. Salah satu caranya ialah dengan mengembalikan semua pemberian awak ini semula. Saya percaya, awak pun tentu tidak mahu menyimpannya, kan? Jadi, buangkanlah sahaja. Mungkin mudah begitu… Seperti mana mudahnya awak membuang saya daripada hidup awak.

Maaf, bukan niat untuk menyinggung, tetapi hati saya tetap tertanya-tanya apa salah saya. Apa salah saya, Encik Hisyam? Sampai begitu sekali tergamaknya awak melakukan. Besar sangatkah kesilapan saya sampai saya tidak diberi peluang untuk membela diri?

Encik Hisyam,

Kalau pun selama ini, semua yang terjadi antara kita hanya suatu lakonan bagi awak, tapi percayalah, ia bukan lakonan di pihak saya. Saya pernah berlakon, ya betul, tapi itu di pertemuan kita pada kali pertama dahulu. Selepas itu tidak lagi! Tidak tahulah saya kalau selama ini awak yang berlakon pula.

Sungguh, saya tidak menyangka perpisahan ini akan terjadi. Saya ingat awak ikhlas dengan saya, tapi rupa-rupanya, sekali lagi saya ditinggalkan. Agaknya memang beginilah sikap lelaki? Mula-mula Irwan, kemudian awak?

Encik Hisyam,

Dari awal perkenalan kita, saya tidak pernah menyembunyikan siapa saya. Dari awal lagi awak dah tahu yang saya ni hanya pekerja industri. Dari awal lagi dah berkali-kali saya menolak awak, tapi awak terus menghampiri. Awak kata, awak tidak kisah tentang asal keturunan saya. Awak kata awak ikhlas mencintai saya.

Pandainya awak menggoda. Pandainya awak menyusun kata. Gembirakah awak sekarang setelah saya jatuh tersungkur dalam pesona cinta awak yang palsu itu? Bahagiakah awak setelah hati ini awak robekkan?

Awak tidak tahu betapa hancur sekeping hati ini. Awak tidak tahu betapa kecewanya saya. Tapi, benarlah, siapalah diri saya ini, kan? Memang saya bodoh. Memang saya tak sedar diri. Padanlah muka. Tak gitu?

Terima kasih kerana menyedarkan saya. Kalau tidak, tentu saya masih hanyut terlena dibuai mimpi indah semalam.

Encik Hisyam,

Semoga awak berbahagia dengan keputusan yang awak dah buat. Tidak mengapalah jika ini keputusan terbaik untuk awak. Siapa saya untuk mempertikai?

Di sini, saya ingin memohon maaf atas segala kesilapan yang pernah saya lakukan pada awak. Tolong halalkan semua yang saya termakan, terminum dan terambil. Kalau awak ingin saya membayarnya dengan wang, insya-Allah akan saya lakukan. Hubungilah saya atau itu pun awak sudah tidak sudi? Percayalah, dengan apa yang sudah terjadi antara kita, saya sendiri pun tidak mahu berhutang apa-apa dengan awak lagi.

Sesungguhnya bukan mudah menjalani hidup ini tanpa awak di sisi. Jauh di sudut hati, saya masih bermimpi, mengharap awak kembali. Ada waktu-waktunya, saya berdoa awak pulang semula ke pangkuan saya. Maafkan saya. Saya tak patut berfikir macam ni. Ah, memang saya tak sedar diri! Lebih baik saya berhenti menulis sebelum banyak lagi perkara bodoh yang tercoret.

Akhir kata, ketahuilah bahawa saya sentiasa mendoakan kebahagiaan awak walau apa yang telah awak buat pada saya ini sangat-sangat menyakitkan.

Yang benar,

Maria binti Mustafa.

Sudah berkali-kali Hisyam membaca isi surat itu. Sudah direnyuk, namun kemudian dibuka dan dibaca semula. Sejak menerima bungkusan yang mengandungi hadiah-hadiah yang pernah diberikan kepada gadis itu tiga hari lalu, hati tidak pernah merasa aman. Seakan-akan dapat dilihat wajah itu sedang menangis. Seakan terpandang-pandang wajah itu yang basah dengan air mata. Terdengar-dengar suara gadis itu merintih sedih.

Aduhai, mengapakah dirinya jadi begini? Sudah tiga bulan gadis itu ditinggalkan. Mengapa masih tidak dapat melupakan? Mengapa ada rasa bersalah di dalam hati? Mengapa masih ada resah ini?

Hisyam mengangkat kotak dan meletakkannya di atas meja. Dikeluarkan isinya satu per satu. Botol minyak wangi, pena, cekak rambut, baju, coretan-coretannya untuk gadis itu, semuanya diletakkan di atas meja dan diperhatikan. Satu demi satu kenangan ketika berdua bermain di mata bersama setiap item yang dipegang.

Tiba-tiba Hisyam menjadi marah.

Maria sengaja hendak menyakitkan hatiku, dengusnya sambil menolak dengan kasar barang-barang itu sehingga semuanya jatuh ke lantai.

Prang!!! Bunyi kaca pecah kedengaran.

Jenny, setiausahanya, berlari masuk. Langkah wanita itu terhenti bila melihat barangan yang bersepah di atas lantai.

Hisyam sedar Jenny semakin pening melihat perbuatannya. Tentu wanita itu tahu bahawa angin panas barannya sudah tiba. Dia mendengar Jenny berkata dia ingin mengemas bilik itu.

"You buangkan semuanya masuk dalam tong sampah!" arah Hisyam dengan kasar sebelum berlalu pergi.

Dia mendengar Jenny mengeluh. Tentulah Jenny rasa penat dengan sikapnya yang suka naik angin sejak kebelakangan ini. Entahlah, sekarang ini mudah benar dia menjadi marah. Ada sahaja yang boleh menyebabkan dirinya mengamuk. Sukar sungguh untuk bercakap baik-baik. Ada sahaja yang tidak kena.

Bukan Jenny seorang sahaja yang tidak senang dengan perubahan sikapnya, malah ramai lagi. Masing-masing pasti ingin tahu mengapa.

Dalam dia cuba bertenang, hati kembali teringat kepada hadiah-hadiah tadi. Rasa tidak sanggup pula memikirkan semuanya akan dibuang. Itu adalah kenangannya. Pemberiannya kepada Maria. Sayanglah kalau hendak dibuang. Dia masuk semula ke dalam bilik.

"You kemaskan yang pecah itu sahaja, Jen. Yang lain ni biar I simpan," kata Hisyam sambil mengutip semula barang-barang yang bersepah di atas lantai dan memasukkan semuanya dalam kotak.

"Bos, boleh I cakap sikit?"

Hisyam mendengar Jenny bertanya. Hisyam segera menoleh ke arah wanita Cina yang sudah menjadi setiausahanya selama lima tahun itu. Wanita yang selalu menasihatkan dirinya supaya berhati-hati dalam memilih bakal isteri.

"Kenapa budak perempuan ni pulangkan semua yang you dah bagi dia?"

Hisyam mendengus marah.

"Itu satu soalan, Jenny, bukan cakap."

Jenny tersenyum. "Bila I tengok barang-barang ni semua atas lantai, I just could not ignore it. I want to know the reason why she gave everything back to you!"

"Entah! Mana I tahu. Dia benci pada I agaknya," jawab Hisyam ringkas.

"Mesti you dah sakitkan hati dia ni."

Hisyam diam. Hanya wajahnya sudah bertukar suram.

"Selalunya ada dua sebab mengapa seorang perempuan pulangkan semula hadiah yang diberi. Pertama, sebab dia ingin melupakan segala-gala yang berkaitan dengan lelaki itu. Yang kedua pula kerana dia sangat-sangat kecewa dan tidak sanggup menyimpan pemberian itu." Jenny memberitahu tanpa diminta.

Hisyam mengeluh. Yang mana satukah yang Maria rasa? Apakah kerana ingin melupakannya atau kerana tersangat kecewa dengan dirinya? Satu atau pun kedua-duanya? Hakikat itu memang menyakitkan!

"Bos…"

"Apa lagi ni Jenny?" bentak Hisyam. Matanya dijegilkan kepada wanita itu.

"I bukanlah nak menyibuk, tapi bila you duduk sorang-sorang kat dalam bilik ni nanti, cuba you tutup mata dan berfikir. Apakah yang menyebabkan you jadi serba tak kena selama ini? Kalaulah perempuan tu yang membuatkan you jadi macam ini, you seharusnya tanya diri you. Apakah you sayangkan dia? Atau, adakah dia penting pada you? Kalau jawapannya ya, you kena berusaha memperbaiki semula hubungan you dengan dia. Kalau dia ada buat salah pada you, maafkan saja. Kalau you ada buat salah pada dia, cepat-cepat minta maaf sebelum dia jumpa lelaki lain yang lebih baik daripada you."

Hisyam mengeluh. Cuba berpura-pura tidak mendengar segala nasihat yang Jenny katakan. Hatinya memberontak bila Jenny meneruskan memberi nasihat yang tidak diminta.

"Boss, I’m sorry. I tak sepatutnya menasihatkan you, tapi I rasa sedikit sebanyak you sayang this girl. Mungkin you tak mahu mengaku, tapi pada pendapat I, you takkan jadi macam ni kalau dia bukan sesiapa dalam hidup you."

Hisyam mengangkat tangan menyuruh Jenny berhenti bercakap.

"Cukup! Dah banyak nasihat you untuk I hari ini. Now, get out of my office!"

Sesungguhnya bukan mudah menjalani hidup ini tanpa awak di sisi. Jauh di sudut hati, saya masih bermimpi, mengharap awak kembali. Ada waktu-waktunya, saya berdoa awak pulang semula ke pangkuan saya.

ISI surat itu telah dihafal. Setiap satu yang ditulis memberi maksud bahawa Maria masih mengharap padanya. Tapi, bagaimana dengan dirinya? Hatinya? Memang tidak dapat dinafikan, masih ada debaran di dada bila terpandang seraut wajah itu. Renungan sepasang mata gadis itu masih dapat menggetarkan perasaannya. Setelah dia cuba untuk melupakan, hari ini gadis itu hadir kembali dalam hidupnya dan mengugahkan jiwa.

Terkocoh-kocoh Hisyam bangkit berdiri. Oh tidak! Dia tidak akan membenarkan perasaan itu hadir lagi. Tidak lagi!

Dia telah bertekad tidak membenarkan Maria mempermainkan dirinya. Dia telah berazam untuk tidak membenarkan Maria mempergunakan dirinya. Dia bukan orangnya untuk Maria membalas dendam. Bukan dia!

Jarinya terus sahaja menekan punat-punat di telefon bimbitnya. Mendail nombor rakannya.

"Amir, jom kita ke Golden Palace, aku belanja lunch!"

Amir, kawan karibnya itu sering menjadi sasaran dia meluahkan segala keresahan yang bersarang di dada. Suara sahabatnya yang sedang ketawa kedengaran di telinga nipisnya.

"Kenapa ni? Dah tak ada perempuan ke yang sudi temankan kau? Lagipun semalam kita dah keluar sampai pukul 2.00 pagi, ingat?"

"Amir, kau nak ke tak nak?"

Mendengar suara Hisyam yang mula meninggi, Amir tergelak kecil.

"Okeylah, tapi sekarang kan baru pukul 11.00. Lunch apa masa ini?" soal Amir hairan.

Hisyam membalas. "Aku tak kira. Aku tunggu kau di lobi. Pastikan kau datang!"

Amir ketawa lagi. Dalam fikirannya dia tahu bahawa Hisyam sedang resah. Hisyam sedang marah. Tentu ada sesuatu yang mengganggu fikiran.

"Kau tahu, Syam? Nasib baik aku ni tak ada buah hati. Kalau tidak, dia mesti cemburukan kau sebab banyak sangat masa aku dihabiskan dengan kau." Amir berkata sebelum dia meletakkan gagang.

Lebih baik tak ada buah hati, Amir. Kalau dapat macam buah hati aku, parah jadinya! Hisyam membebel sendiri.

Hisyam menapak ke bilik air. Dia mandi dengan cepat, kemudian dia memilih untuk memakai kemeja-T berwarna kuning dan sehelai seluar jean. Selepas menarik nafas panjang, dia menuruni tangga dan melangkah penuh yakin menuju ke meja makan.

"Mami, saya nak keluar," kata Hisyam sambil mencium pipi Datin Syarifah dan menyalami Dato’ Ahmad.

Datin Syarifah kehairanan. Wajah anak lelaki tunggalnya direnung tajam. "Tak makan dulu? Nak ke mana kalut-kalut ni?"

"Maaflah, mami. Saya dah janji dengan Farah nak sarapan sama-sama dengan dia, tapi saya terlupa. Kalau dia tak telefon tadi, pasti disebabkan hal ini dia merajuk panjang pulak. Okeylah, saya pergi dulu."

Hisyam sengaja mereka-reka cerita. Dan, untuk pertama kali, tidak dijamahnya hidangan di atas meja. Dia tahu maminya mesti kehairanan. Begitu juga dengan ayahnya. Tidak pernah dia berkelakuan seperti ini, tetapi dia terpaksa melakukannya. Masakan dia boleh duduk makan semeja dengan gadis itu?

Maria yang ditinggalkan, kehampaan. Hisyam akan bersarapan dengan teman wanitanya yang bernama Farah. Jadi, benarlah! Hisyam sudah ada pengganti dirinya. Tentu gadis itu mempunyai segala-galanya. Tentu gadis itu amat istimewa. Pasti Hisyam tidak langsung mempunyai apa-apa perasaan kepada dirinya lagi kerana tanpa melihat ke arahnya, lelaki itu telah keluar dari rumah itu. Sebentar kemudian kedengaran bunyi kereta meninggalkan halaman.

"Makanlah, Maria. Jangan kecil hati dengan perangai Hisyam tu. Makanlah, jangan malu-malu." Dato’ Ahmad seolah-olah mengetahui gejolak perasaan Maria.

"Terima kasih, Dato’. Dah banyak saya makan pagi ni, dah kenyang pun," jawab Maria sambil cuba melemparkan senyuman yang paling manis.

"Oh, ya, malam esok Maria datang ya. Biar pak cik suruh Pak Mat ambil Maria di rumah. Macam mana? Setuju?"

Datin Sharifah tersenyum sambil menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan pelawaan suaminya. Dia sudah berkenankan gadis ini, tentu dia suka kalau Maria selalu ke sini.

"Saya minta maaf, Dato’. Hari ini saya cadang nak balik kampung. Dah lama saya tak jumpa mak."

Maria terpaksa menipu. Tidak mungkin dia akan ke sini lagi. Dia tidak mahu bertemu Hisyam. Tidak sanggup menghadapi kebencian lelaki itu terhadapnya.

"Amboi, Lia, takkanlah tak sudi kut? Bukan selalu tau, Datin sambut hari ulang tahun perkahwinan. Dah tu bukan setiap tahun mereka sambut kali ke-33. Apalah salahnya kalau kamu datang? Lia, kamu ada janji dengan pakwe di kampung ke?" Mak Jah mencelah.

Merah pipi Maria diasak oleh Mak Jah.

"Eh, tak adalah, Mak Jah. Bukan macam tu. Bukan saya tak sudi nak datang, cuma saya dah janji dengan adik saya nak balik sama-sama."

"Dah berapa lama kamu tak balik ke Teluk Intan tu?" soal Mak Jah lagi.

"Baru minggu lepas…"

"Hisy, kamu ni, Lia. Mak Jah ingatkan dah setahun tak balik. Rupa-rupanya baru seminggu aje. Datanglah sini, Lia. Sekali ni aje, takkan tak boleh kut? Mak Jah yakin, emak kamu tentu faham. Betul tak, Datin?" Mak Jah masih tidak mahu mengalah.

Datin Syarifah ketawa sebelum menjawab, "Kak Jah, kalau ya pun, janganlah main paksa-paksa. Maria, kalau boleh, saya hendak sangat awak hadir majlis kami malam esok, tapi kalau tak dapat tak apalah. Kalau awak ada hal lain yang lebih penting, nak buat macam mana, kan?"

Eh, merajuk pula Datin ni? Maria menyoal di dalam hati.

"Hah, tengok tu, Lia, kan dah merajuk Datin tu? Sampai hati kamu..." Mak Jah pura-pura marah.

"Saya…"

"Apa kata kalau pak cik suruh Pak Mat ambil Maria 8.00 malam esok. Boleh?"

Maria akhirnya terperangkap dan tidak dapat mengelak lagi. Lama dia merenung dari satu wajah ke satu wajah. Dan, dia tidak pula tergamak mengecilkan hati ketiga-tiganya. Dalam payah, Maria melahirkan persetujuannya. Dia terpaksa kerana dia kasihankan mereka. Akhirnya dia mengangguk lemah.

Nafasnya sesak. Jantungnya berdebar. Dapatkah dia menghadapi lelaki itu sekali lagi? Dapatkah dia menghadapi kebenciannya? Dia tahu Hisyam sangat membencinya kini. Perlakuan Hisyam tadi sangat jelas membuktikan. Apa nanti yang akan lelaki itu fikirkan bila melihatnya di sini malam esok?

0 comments:

Post a Comment