Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 5

5

Hari Ahad, Maria ditinggalkan sendirian di rumah. Kawan-kawan serumahnya sudah pergi menonton wayang. Dia tidak ikut serta. Sengaja mengasingkan diri.

Sejak mengetahui tentang Hisyam, Yana, Aini dan Salwa tidak berhenti-henti mengusik. Mereka tidak mempedulikan kemarahannya. Mereka tidak kisah kalau dia merajuk. Semakin dia berkecil hati, semakin galak mereka melakukannya. Tidak jemu-jemu.

Dia sedang makan ketika pintu rumahnya diketuk.

Hai, siapa pulak yang datang ni? tanya Maria dalam hati.

Sangkanya jiran mereka, Kak Munah, yang datang untuk mengambil baju yang telah siap dijahit, baju yang ingin dipakai untuk menghadiri majlis kenduri kahwin anak majikan suaminya nanti.

Maria tidak bersedia untuk bertemu pandang dengan lelaki di hadapannya kini. Lelaki yang sentiasa berada di ruang fikirnya selama ini. Lelaki yang pernah menolongnya, lelaki yang asyik mengganggunya di telefon. Hari ini, Hisyam kelihatan kacak dengan seluar jean dan baju-T berwarna biru.

Melihat senyuman yang menguntum di bibir lelaki itu, Maria yakin Hisyam dapat membaca apa yang sedang difikirkannya.

"Awak buat apa kat sini? Macam mana awak tahu alamat ni? Kenapa awak datang? Kenapa tak telefon dulu?" soal Maria bertalu-talu.

Lama Hisyam merenung diri Maria hingga membuat Maria rasa tidak selesa.

"Saya tak akan jawab soalan-soalan awak tu di sini. Sekarang, saya nak awak masuk ke dalam dan bersiap. Kita pergi makan."

Maria menghempaskan daun pintu sehingga tertutup rapat.

Mengapa Hisyam memberi arahan itu? Dia ingat dia tu siapa? marah Maria geram. Tak kuasa nak layan. Biar dia berdiri di luar tu. Nanti bila dah jemu, tahulah dia balik.

Maria duduk di atas kerusi di ruang tamu dengan hati yang berdebar-debar. Perbuatan lelaki ini sentiasa di luar jangkaannya. Di saat dia merasakan bahawa dirinya sudah dilupakan, lelaki ini muncul semula. Selama seminggu, Maria terpaksa melayan kerenahnya di telefon. Secara tiba-tiba, lelaki itu menghilangkan diri, sepi tanpa berita. Hari ini, entah apa mimpinya, Hisyam muncul di hadapan rumah. Mengarah dirinya supaya bersiap. Mengajaknya keluar makan. Tidakkah gila namanya tu?

Tiba-tiba pintu rumahnya terbuka luas dan mata Maria terbeliak melihat lelaki itu sedang menanggalkan kasut. Bergegas dia berlari ke muka pintu.

"Awak nak buat apa ni, hah?" jerkah Maria.

"Saya nak masuk dalam sebab awak tak nak ikut saya keluar. Atas meja tu nampaknya ada hidangan. Bolehlah saya makan, tak gitu? Saya sebenarnya dah lapar ni," jawab Hisyam selamba.

"Tak boleh!" Maria menjawab pantas. Wajahnya pucat.

Pada ketika itu, Hisyam sudah menoleh ke kiri sambil tersenyum.

Suami Kak Munah sedang keluar daripada kereta. Balik dari pasar agaknya. Abang Aziz sedang merenung ke arah mereka berdua. Hai, entah apalah yang sedang lelaki itu fikirkan, keluh Maria.

Hisyam kembali memandang Maria.

"Nampaknya, awak dah berjaya tarik perhatian jiran-jiran awak. Kalau mereka tanya siapa saya nanti, bolehlah saya cakap yang saya ni kekasih awak, kan? Saya nak beritahu dia orang yang awak tengah merajuk. Datang ni sebab nak pujuk awak," ujar Hisyam sambil tersenyum sinis.

"Jangan nak mengarut!" balas Maria. Wajahnya jelas bimbang kalau-kalau Hisyam benar-benar akan masuk ke dalam rumah. Hisyam yang ketika itu sedang berpeluk tubuh direnung dengan mata yang sengaja dijegilkan.

"Tolonglah! Pergilah balik. Saya tak akan keluar dengan awak. Tolong jangan ganggu saya, boleh tak?"

"Saya bukan nak ganggu awak, Maria. Saya nak ajak awak keluar makan tengah hari dengan saya. Tapi, awak tak mahu. Sebab tu saya nak masuk ke dalam. Saya nak temankan awak makan. Tentu awak tak seronok makan sorang-sorang, betul tak?" Hisyam mempelawa dirinya sendiri. Kemudian dengan senyuman nakal, dia menyambung. "Oh ya, lupa pulak saya nak cakap. Awak nampak cantik sangat hari ini."

Ayat yang terakhir itu membuat wajah Maria merona merah. Lelaki ini memang sudah tidak betul, fikirnya. Adakah dia cantik bila hanya berkain batik dan berbaju-T yang sendat? Mukanya pula dipenuhi bedak sejuk. Aduh, malunya dia!

"Awak ada dua pilihan sebenarnya, Maria. Terima ajakan saya keluar atau benarkan saya masuk ke dalam rumah. Yang mana satu?" Hisyam mendesak.

"Encik Hisyam, saya…"

"Mana satu, Maria?" Hisyam mencelah.

Maria tidak mahu memilih. Kedua-dua tawaran lelaki itu mencemaskannya. Yang dia tahu, dia tidak mahu bersama Hisyam. Ada sesuatu tentang Hisyam yang menakutkannya. Ada sesuatu mengingatkan dirinya bahawa dia perlu menjauhkan diri. Bagaimana harus dia membuat Hisyam faham? Lama dia diam. Otaknya sedang ligat memikirkan alasan-alasan bila suara Hisyam begitu kuat menampar telinganya.

"Maria, saya tanya awak untuk kali terakhir. Yang mana satu yang awak nak? Ikut saya pergi makan atau saya masuk ke dalam rumah awak? Saya beri awak lima saat untuk menjawab. Satu... Dua... Tiga..."

Rasa bimbang dengan apa yang bakal Hisyam lakukan membuatkan Maria tidak sempat berfikir dan terus sahaja berkata, "Baiklah, baiklah! Pergilah tunggu saya dalam kereta awak. Beri saya masa sepuluh minit untuk bersiap."

Maria terpaksa beralah. Sikap Hisyam yang suka mendesak membimbangkannya. Dia tahu lelaki itu tidak akan teragak-agak untuk masuk ke dalam rumah sekiranya dia terus menolak. Hisyam bukan seorang yang cepat mengalah. Dia amat pasti tentang itu.

Hisyam tersenyum, tetapi dia menggelengkan kepala.

"Oh, no! Awak ada masa lima minit aje. Kalau tidak, saya akan bunyikan hon sehingga semua jiran-jiran awak keluar tengok kita," jawab Hisyam selamba.

"Kalau awak buat macam itu, saya tak akan keluar dari rumah ini. Nanti biar semua orang anggap awak tu orang gila." Maria membalas sambil menjeling.

"Awak cabar saya ke? Awak betul-betul mahu saya bunyikan hon tu? Jangan ingat saya tak berani, Maria."

Hisyam sudah melangkah ke arah kereta.

Apakah dia akan melakukannya? Apakah dia akan terus membunyikan hon itu tanpa henti? Macam mana nanti? Tentu mereka juga yang malu.

"Hei, awak nak ke mana tu?" soal Maria.

Hisyam menoleh ke arahnya semula. "Kan awak yang suruh saya tunggu dalam kereta?"

Maria terpinga-pinga. Dia masih kebingungan bila lelaki itu melihat jamnya.

"Maria, masa tinggal tiga minit sahaja lagi..." Hisyam mengingatkannya.

Maria tersentak. Dia menjeling tajam.

"Awak ni memang melampau, tahu tak? Suka mendesak, suka mengugut, suka…"

Ketawa Hisyam menambahkan geram di hati Maria.

kereta meluncur laju menuju ke destinasinya. Hisyam ingin menjamu selera di Restoran Bukhara yang terletak di tingkat satu Suria KLCC. Itu restoran kegemarannya. Dia sedang kelaparan. Tadi sewaktu ibunya mengajak dia makan, dia hanya meratah ikan bakar sahaja. Keinginan untuk bertemu wanita ayu di sebelahnya demi mengajak makan tengah hari bersama-sama, begitu kuat.

Bibirnya mengulum senyuman. Bahagia sungguh rasa hati kerana buat pertama kali dia berjaya mengajak Maria keluar dengannya walaupun terpaksa mengugut.

Sebenarnya, Hisyam baru balik dari Vietnam. Ketika di sana, dia asyik teringat kepada Maria yang berada di sebelahnya ini. Dia ingin menelefon, namun mengenangi betapa dingin sikap Maria terhadapnya, dibatalkan sahaja niatnya itu. Namun, sepanjang waktu itu, tidak sekali dia dapat melupakan Maria. Kelembutan Maria seperti sedang menghantuinya di mana sahaja.

"Buat apa awak cari saya lagi? Dah seminggu awak menyepikan diri. Kenapa tiba-tiba aje awak teringatkan saya?" soal Maria memecah kesunyian. Wajah Hisyam yang sedang memandu itu direnungi.

Hisyam tersenyum. "Kenapa, Maria? Awak tunggu panggilan saya ke? Rindu?"

Soalan itu membuatkan Maria terpanar. Benarkah ada rindu dalam hati? Tak mungkin! Dia tidak ada sebab untuk merindui. Hisyam bukan kekasihnya.

Di persimpangan lampu isyarat, Hisyam menoleh ke arah Maria, memerangkap perbuatan Maria kala itu. Merah padam wajah Maria menahan malu bila mata mereka bertentangan.

"Saya baru balik dari Vietnam, Maria. Seminggu saya di sana. Memang saya teringat nak telefon awak. Tapi, bila kenangkan sikap awak yang dingin setiap kali saya call, tak jadilah pulak. Sedih tau bila awak asyik hempaskan gagang... Saya sampai pukul 10.00 pagi tadi. Tak tahulah kenapa, telinga saya ni tetap nak dengar suara awak. Kebetulan, Yana yang jawab panggilan saya tu. Saya pun terus mintak alamat rumah daripada dia. Saya teringin sangat nak jumpa awak. Saya nak tengok awak. Saya…" Hisyam tidak dapat meneruskan kata-kata kerana kereta-kereta di belakang sudah membunyikan hon tanda lampu isyarat sudah bertukar hijau. Dia meneruskan pemanduannya.

Hati Maria bergetar hebat. Hisyam ke Vietnam? Seminggu? Patutlah dia tidak dihubungi. Aku saja fikir yang bukan-bukan. Tapi, apakah yang hendak dikatakannya tadi? Dia apa? Rindu? Mengarut!

DI DALAM restoran, Hisyam makan dengan penuh berselera. Lelaki itu tidak langsung mengangkat muka. Sebaliknya pula dengan Maria. Dia hanya menguis-nguis nasi beriani di hadapannya. Air sirap yang dipesan, disisip perlahan-lahan.

"Berapa hari awak tak makan?" tanya Maria tiba-tiba.

Hisyam mengerutkan dahi, tidak faham maksud soalan itu.

"Awak tu makan gelojoh sangat. Itulah yang saya nak tahu. Dah berapa lama awak tak makan?"

Hisyam mengambil kesempatan itu untuk merenung wajah mulus Maria lama-lama. Rasa terlerai rindu di hati bila menatap seraut wajah itu. Rindu? Entahlah. Mungkin ya, mungkin tidak. Cuma, perasaan yang sedang dialaminya ini amat berlainan daripada selalu. Yang pasti, wajah di hadapannya ini sudah pandai menemani tidurnya dan inilah juga wajah pertama yang dilihat bila dia membuka mata.

"Awak ni kenapa? Takkanlah nak marah bila saya cakap macam tu?" tanya Maria bila dilihatnya Hisyam berhenti menyuap dan asyik merenungnya.

Hisyam ketawa. Hangat pipinya menahan malu kerana ditegur oleh Maria. "Saya gelojoh ya? Mahunya tak lapar. Tengok ni, dah dekat pukul 2.00. Saya pujuk awak datang tadi dekat setengah jam, tahu tak?"

Maria malas hendak berkata apa-apa lagi. Dia diam. Matanya memandang ke persekitaran. Suasana dalam restoran lengang ketika itu. Mungkin kerana waktu yang sudah melangkaui masa makan tengah hari.

"Sedap ke air tu?"

Suara Hisyam mengejutkan Maria. Dia baru menyedari bahawa pinggan nasi lelaki itu sudah kosong. Air barli yang dipesan sudah habis. Pastilah Hisyam sudah kekenyangan.

Maria mengangguk.

"Bagi saya rasa sikit." Hisyam meminta.

Maria membeliakkan mata. Nak berkongsi air? Tak betul ke apa? Dia menyoal dalam hati.

"Pesanlah minuman lain. Ini saya punya," kata Maria.

"Maria, saya nak rasa dua tiga teguk aje. Saya nak hilangkan rasa pedas ni. Janganlah kedekut sangat," bisik Hisyam sambil menarik gelas minuman Maria.

Straw di tangan Maria diambilnya. Dia terus sahaja menyedut air sirap itu tanpa mempedulikan reaksi Maria.

Maria hanya dapat merenung dengan perasaan geram.

"Kenapa? Ops… maaf. Dah habis! Awak nak lagi ke?" Hisyam bertanya bila dilihat Maria merenungnya tanpa berkelip-kelip.

Maria menggelengkan kepala.

"Saya gembira sangat hari ini sebab akhirnya awak sudi temankan saya keluar," kata Hisyam tidak lama kemudian.

"Hmm... Jadi, sekarang tentu awak boleh hantar saya balik. Banyak baju yang saya nak jahit di rumah tu," balas Maria sambil merenung jam tangannya.

Hisyam mengerti isyarat yang diberi, tetapi dia belum mahu berpisah lagi. Banyak yang ingin diketahui tentang gadis ini.

"Saya dah kenyang sekarang, tapi belum masanya untuk kita balik lagi."

"Hah?"

"Saya nak tahu tentang Irwan. Saya nak dengar penjelasan awak."

Maria mengeluh. Rupa-rupanya lelaki ini ingin benar mengetahui sebab mengapa dia telah memperalatkan dirinya tempoh hari. Mungkin egonya tercalar bila dipergunakan begitu.

"Tak ada apa-apa yang menarik tentang hubungan kami."

"Seorang lelaki dan seorang perempuan tidak akan bercinta kalau masing-masing tidak tertarik antara satu sama lain," balas Hisyam.

Maria mengangkat bahu.

"Dah berapa lama awak berkawan dengan dia?" soal Hisyam lagi bila Maria masih diam.

"Setahun."

"Lama juga tu. Tentu awak dah kenal hati budi dia?"

"Entahlah. Ada masanya saya fikir saya kenal dia, tapi rupa-rupanya saya silap. Selama tempoh kami berkawan tu, dia boleh bertunang dengan perempuan lain. Tak sangka betul. Entah macam manalah saya boleh terfikir yang saya dah jatuh cinta pada dia."

"Awak jatuh cinta pada dia. Hmm…"

Suara Hisyam seolah-olah menyindir. Bila Maria memandangnya, dia menjongketkan bahu sambil menyuruh gadis itu meneruskan cerita.

Maria akur. Dia menceritakan peristiwa yang berlaku suatu masa dahulu apabila tunang Irwan datang menyerangnya. Masa itu, dia dan Irwan sedang menjamu selera di dalam sebuah restoran. Betapa gadis itu menuduh dirinya seorang perampas. Sungguh, dia mengharapkan Irwan membela dirinya, tetapi lain yang terjadi. Untuk menyelamatkan diri, Irwan turut menuduhnya yang bukan-bukan. Dia dikatakan burung pipit yang ingin terbang sama tinggi dengan enggang. Dia dituduh ingin hidup mewah. Perempuan kilang yang tidak sedar diri. Seorang operator yang ingin menjerat seorang jurutera.

Semuanya masih jelas di pendengaran. Dia masih ingat perasaannya waktu itu. Geram, marah, sedih, benci, semuanya bercampur baur. Maria rasa benar-benar terhina.

"Irwan kata saya yang terhegeh-hegeh hendakkan dia. Dia kata saya nak hidup mewah. Materialistik! Gila." bentak Maria.

"Lepas tu apa yang berlaku?" tanya Hisyam. Dia seolah-olah tidak sabar pula menunggu penjelasan Maria.

Maria tersenyum sinis. "Lepas tu mereka kahwinlah."

"Mereka kahwin dan awak masih boleh tersenyum?" soal Hisyam. Dia hairan mengapa Maria masih boleh tersenyum begitu.

"Dah saya tak sedih. Sikit pun tidak. Takkanlah nak nangis pulak," jawab Maria.

"Dia kan kekasih awak? Takkanlah buah hati kahwin, awak tak sedih?"

Hisyam masih tidak percaya.

"Tak ada jodoh kami, Encik Hisyam. Tak payahlah nak sedih."

"Lakonan kita hari tu untuk apa?"

Alamak, dia tak puas hati lagilah...

"Apa yang dia hendak?" soal Hisyam tidak sabar-sabar.

"Itulah yang saya pelik tu. Dia merayu saya macam-macam. Dia kata dia rindu pada saya. Dia masih sayang, masih cinta pada saya. Lepas tu dia menuduh saya masih ingatkan dia, sayangkan dia. Dia kata saya masih cinta pada dia..."

"Betul ke?" Hisyam memintas dan pandangan matanya tajam menanti jawapan Maria.

Maria ketawa. Soalan Hisyam terasa lucu di pendengarannya.

"Kenapa awak gelak? Awak tak ingatkan dia? Tak rindu pada dia?" Hisyam bertanya lagi. Dadanya berdebar-debar menanti jawapan Maria. Tidak sabar menunggu jawapan itu.

Maria menggeleng. "Kalau saya masih rindukan dia, tentu saya sentiasa teringat pada dia, kan? Kalau masih sayang, tentu saya sedih dia berkahwin dengan orang lain."

Sepasang mata milik Maria sedang menatap wajah Hisyam dan tutur katanya menjadi lebih serius.

"Saya tak pernah ingat pada dia selepas hubungan kami putus. Tak pernah telefon dia pun. Jadi, saya yakin bahawa apa yang saya rasa tu bukan cinta. Bukan ke bila kita rindukan seseorang, kita ingin selalu dengar suara dia? Kita ingin selalu tengok muka dia? Kalau boleh, nak sentiasa bersama? Semua perasaan tu tak ada dalam diri saya untuk Irwan."

Hisyam menganggukkan kepala. Hai, Maria, itulah yang sedang saya alami sekarang. Hari-hari saya ingin nak dengar suara awak. Saya ingin nak tengok wajah awak. Saya ingin selalu bersama awak. Jadi, rindukah saya pada awak? Dan, jika saya rindukan awak, apakah itu bermakna saya dah jatuh cinta pada awak?

Tiba-tiba lamunan Hisyam dikejutkan oleh suara Maria yang masih cuba meyakinkannya.

"Semuanya dah saya beritahu pada dia dengan jelas dan terang, tapi dia tetap tak percaya. Saya dah tak tahu nak buat apa lagi. Jadi, hari itu tanpa berfikir panjang…"

"Awak mintak bantuan saya!" Hisyam memotong sambil tersenyum.

Maria tertunduk malu. Tidak sanggup membalas renungan sepasang mata itu. Tidak sanggup membalas senyuman yang nakal itu. Lama, baru dia mendapat suaranya semula.

"Saya minta maaf kerana melibatkan awak dalam masalah saya. Saya tahu awak tak suka dengan apa yang berlaku, tapi saya janji, lepas ini saya tak akan ganggu awak lagi."

Hisyam menggelengkan kepala. Wajahnya jelas dalam kekeliruan. "Tadi awak kata Irwan tu satu tempat kerja dengan awak, kan?"

Maria mengangguk. "Dia jurutera kat kilang tu."

"Nampaknya, kita tak boleh putuskan hubungan. Kalau kita tak jumpa-jumpa lagi, dia mesti tahu yang awak dengan saya bukan kekasih. Dia mesti tahu awak menipu. Dia akan ambil peluang tu. Nanti tak pasal-pasal awak kena serang dengan isteri dia lagi."

"Tak adalah. Dia dah tak ganggu saya dah. Saya percaya, dia akan terus begitu."

"Jangan terlalu yakin, Maria. Cuba awak fikir. Selama ini, ada tak saya jemput awak kat tempat kerja? Tidak, kan? Lelaki macam dia, takkan mudah putus asa, awak tahu? Sekarang ni memanglah dia diam. Tunggulah esok lusa. Tentu dia akan ganggu awak semula."

Maria mengerutkan dahi. "Awak ni menakutkan saya ajelah..."

"Bukan itu tujuan saya. Saya cuma nak melindungi awak daripada dia. Dia tak layak untuk awak!" tegas Hisyam.

Jadi, siapa yang layak? Hisyam bertanya kepada dirinya sendiri. Dia tersenyum. Dalam hati dia membisikkan hanya dia yang layak untuk gadis yang berada di hadapannya ini. Hanya dia!

"Susah-susah nanti, saya berhenti kerja. Habis cerita," kata Maria tegas.

"Tak boleh macam tu, Maria. Takkanlah sampai berhenti kerja pulak. Mesti ada cara lain untuk selesaikan masalah ini." Hisyam cuba berdiplomasi. Wajah ayu di hadapannya ditatap lagi.

"Saya melawak ajelah. Takkan saya nak berhenti kerja hanya disebabkan dia. Encik Hisyam, janganlah bimbangkan saya. Insya-Allah, takkan jadi apa-apa."

"Macam mana kalau jadi apa-apa?"

Maria tersengih. "Awak kan ada? Nanti saya mintak tolong pada awaklah."

Hisyam turut ketawa. Dan, dia mengambil peluang ini untuk mengusik. "Boleh, tak ada masalah. Cuma, saya kena naikkan bayarannya."

"Alamak, pokailah saya macam ni!"

Hisyam masih belum mahu berpisah. Walau Maria kelihatan tidak selesa bersamanya, dia tetap berpura-pura selamba. Selepas menghabiskan masa hampir dua jam di restoran, dia telah mengajak Maria berjalan-jalan di dalam pusat membeli-belah yang luas itu. Dia tahu Maria keberatan, namun langsung tidak diendahkan.

Ketika di tingkat dua, Hisyam mengajak Maria masuk ke bahagian yang menjual haruman.

"Awak boleh tolong saya tak, Maria? Saya nak hadiahkan minyak wangi kepada seseorang, tetapi saya tak tahu bauan macam mana yang dia suka."

Hai, untuk buah hatilah ni, fikir Maria. Rasa bersalah menerpa tiba-tiba. Lelaki ini sudah ada kekasih dan dia tidak harus berdua-duaan dengannya. Namun, dia tertanya-tanya siapakah gadis bertuah itu? Gadis yang berjaya memiliki lelaki tampan ini? Adakah dia wanita anggun jelita yang menemaninya di Kampung Baru dahulu? Atau ada yang lain lagikah?

Dengan rasa ingin tahu, Maria memandang wajah Hisyam. Hisyam yang ketika itu sedang merenung, melarikan pandangan. Wajah merona merah.

"Bagaimana orangnya? Maksud saya, buah hati encik tu."

"Kenapa?"

"Encik Hisyam, kalau kita hendak menghadiahkan seseorang dengan minyak wangi, kita kena tahu perwatakan dia. Sama ada dia seorang yang lemah lembut, romantis, lasak, cergas atau manja sekalipun. Kalau girlfriend encik seorang yang aktif dan suka bersukan, awak pilihlah minyak wangi yang baunya sedikit keras. Tetapi, kalau teman wanita awak ni seorang yang romantis dan lemah lembut, awak perlu memilih minyak wangi yang berbau sedikit lembut. Lavender atau haruman sitrus." Maria memberitahu.

Maklumat itu diperolehi Maria melalui pembacaan. Setiap minggu, di suatu ruangan di dalam akhbar Mingguan Malaysia, pasti ada maklumat yang ingin dikongsi oleh syarikat daripada jenama yang terkenal dengan pembaca. Sama ada tentang haruman, mekap, gaya hidup mahupun untuk penjagaan kesihatan. Semua dapat memberi pengetahuan tambahan kepada pembaca.

Hisyam tersenyum. Hatinya gembira kerana dia yakin mereka mempunyai hobi yang sama, iaitu membaca.

"Dia? Romantis tu, saya tak tahulah, tapi kalau bercakap tentang orangnya… dia memang seorang yang lemah lembut dan berbudi bahasa," jawab Hisyam.

"Hmm, kalau macam tu, saya dah tahu. Jom!"

Hisyam menurut sahaja bila Maria mengajaknya pergi ke kaunter Dior. Ketika jurujual mengesyorkan bauan tertentu, mereka sama-sama mengerutkan dahi. Kepala kemudiannya digelengkan. Bersama-sama, mereka terus bergerak dari satu kaunter ke satu kaunter yang lain sehinggalah mereka sampai di kaunter jenama Chanel.

Hisyam dapat melihat Maria berkenankan satu haruman di kaunter ini. Dan, dia sendiri mengakui dia juga sukakan bau yang lembut itu. Bau lavender dan bunga-bungaan sitrus.

Aduhai, bergetar jiwanya.

"Awak suka ke?" tanya Hisyam.

Maria mengangguk. "Tapi, terserah kepada awaklah, Encik Hisyam. Awak rasa buah hati awak tu suka tak dengan pilihan saya ni?"

"Kalau awak suka, saya yakin dia pun suka," balas Hisyam pula.

"Awak? Awak suka tak?" Maria masih bimbang.

"Hmm, bau tu buat saya rasa macam nak… cium dia!" bisik Hisyam.

Bulat mata Maria mendengar jawapan Hisyam. "Gatal betul!" gumam Maria.

"Apa awak kata?" soal Hisyam sambil tersengih.

Melihat sengihan itu, Maria yakin bahawa Hisyam mendengar kata-katanya tadi, namun dia tidak mahu memanjangkan cerita.

"Pergilah bayar cepat, saya nak balik. Dah lama sangat dah kita keluar ni. Nanti kawan-kawan saya risau pulak."

Hisyam ke kaunter bayaran, namun sepasang matanya masih memerhati gelagat gadis itu. Dia sebenarnya masih tidak pasti perasaan apakah yang sedang dialaminya ini. Namun, dia dapat merasai keindahannya.

KERETA milik Hisyam sudah berada di hadapan rumah sewa Maria yang terletak di Pandan Jaya. Ketika Maria ingin melangkah turun, Hisyam menahan.

"Maria, tunggu dulu."

Maria menunggu Hisyam meneruskan kata-katanya. Wajahnya tenang.

"Boleh kita jumpa lagi?"

Maria tersenyum. Sudah diduga, inilah yang akan disoal lelaki itu kepadanya. "Untuk apa? Encik Hisyam, masa saya banyak saya habiskan untuk awak hari ini. Saya rasa, saya dah pun membalas budi awak dulu tu. Betul, kan?"

Hisyam gelisah, tidak suka Maria berkata begitu. "Bukan. Sebagai kawan, saya nak lebih mengenali awak."

"Saya takut kena serang dengan buah hati awak."

"Kalau saya dah ada girlfriend, saya tak akan ajak awak."

Maria tersenyum sinis. "Awak ni lucu jugak. Baru tadi saya tolong pilihkan minyak wangi untuk buah hati awak. Sekarang, awak kata awak tak ada girlfriend pulak. Hisy, lelaki semuanya sama!"

Hisyam menghulurkan sebuah beg plastik yang dicapai daripada tempat duduk belakang. "Minyak wangi itu untuk awak. Dan, ini, saya beli di Vietnam. Juga untuk awak."

Tidak berkelip mata Maria merenung Hisyam. Dengan tangan yang sedikit terketar, dia menjenguk ke dalam beg plastik yang diberikan. Dua helai kain sutera Vietnam yang cantik diisi dalam beg itu. Maria terkesima.

"Maria..."

Suara Hisyam menyapa telinga. Lembut. Mesra.

Maria menggelengkan kepala. "Saya tak nak semua ini. Maaflah. Ambillah balik."

Sewaktu Maria ingin membuka pintu kereta, Hisyam memegang tangannya. Dia merasa jengkel dengan perbuatan Hisyam itu. Dia marah. Matanya nampak garang merenung Hisyam yang selamba.

"Lepaskan tangan saya!"

Bila Hisyam mendiamkan diri dan masih terus merenung, Maria mencuri peluang. "Hisy, awak ni kenapa? Awak ingat, bila awak dah tolong saya sekali, awak boleh sesuka hati memegang saya? Awak ingat, sekali saya membenarkan awak menyentuh saya, saya akan sentiasa merelakan? Sekali saya tersilap, awak anggap saya ni murah, macam tu?"

"Dah habis cakap?" soal Hisyam pula.

"Belum, selagi awak tak lepaskan tangan saya. Eii... geram betul saya dengan perangai awak ni. Tak sukalah!"

Hisyam ketawa kecil, menambah sakit di hati Maria. Tangan yang baru dilepaskan direnung Maria. Merah pergelangan tangannya, bekas cengkaman tangan lelaki itu. Maria sudah tidak dapat bersabar lagi. Dia perlu keluar dari kereta. Dia tidak tahan dengan perangai lelaki yang seorang ini. Namun, suara lembut itu menghentikan pergerakannya.

"Maria, awak tahu tak apa yang awak dah buat pada saya?" Hisyam mengatur bicara.

Perhatian Maria sudah diperoleh. Kini, gadis itu sedang memandang ke arah Hisyam dengan wajah yang penuh persoalan.

"Saya dah tergoda dengan awak."

Bulat mata Maria mendengar pengakuan lelaki itu.

Hisyam ketawa. "Janganlah panik!"

"Dah awak cakap yang pelik-pelik pada saya, lepas tu awak kata jangan panik? Beritahu saya, Encik Hisyam, dah berapa lama awak kenal saya?"

"Masa bukan ukuran."

"Awak ni merapu betul. Biar saya berterus terang. Saya tak suka awak. Saya keluar dengan awak hari ini sebab awak ugut saya. Jugak sebab saya nak balas budi yang asyik awak ungkit. Lepas ini, tak payahlah call saya lagi. Saya tak layak kawan dengan awak."

Maria mengharapkan lelaki ini memahami kata-katanya. Bagaimanapun Hisyam seolah-olah tidak mendengar apa yang baru sahaja diucapkannya. Lelaki itu meletakkan beg-beg plastik yang berisi hadiah itu di atas ribanya.

"Terimalah. Memang tujuan saya beli semua ini untuk awak. Bukan untuk perempuan-perempuan lain," ucap Hisyam.

"Encik Hisyam, awak tak dengar ke apa yang saya beritahu awak?" soal Maria lemah.

Hisyam ketawa. "Dengar."

"Habis tu?"

"Kan saya pernah cakap yang saya nak kawan dengan awak. Kalau awak tak mahu hubungan yang serius, saya faham. Hati awak masih luka. Sebab itu awak sangat berhati-hati. Awak takut nak jatuh cinta lagi. Maria, tak bermakna bila saya beri awak hadiah ini, saya perlukan komitmen daripada awak. Tidak! Hadiah ni tanda terima kasih saya sebab awak sudi temankan saya hari ini. Percayalah. Saya tak ada niat lain."

"Tapi, saya tak biasa terima semua ni. Dengan Irwan dulu pun semuanya saya tolak." Akhirnya, Maria berkata setelah lama membisu.

"Baguslah. Cuma, kalau saya yang beri, saya nak awak terima."

"Tapi…"

"Jangan risau, Maria. Saya tahu saya tak boleh beli hati awak dengan hadiah-hadiah ni semua. Saya tahu awak takut dengan sikap saya ni. Percayalah, saya tak akan paksa awak buat perkara yang awak tak suka. Apa yang saya nak sekarang ialah berkawan dengan awak. Kita berkawan aje. Takkan itu pun tak boleh..."

Maria mengeluh.

"Awak tentu tak akan beri saya turun kalau saya tak terima hadiah awak ni, kan?"

Hisyam ketawa besar mendengarnya. "Tahu pun!"

"Kalau macam tu, terima kasih."

"Maria…"

Maria membeliakkan matanya. "Apa lagi ni? Dah lama tau awak berhentikan kereta. Entah apa yang jiran-jiran saya kata nanti. Dalam rumah saya tu, kawan-kawan saya semuanya menanti peluang untuk mengusik. Simpan saja apa yang awak nak cakap tu."

Maria mendengar Hisyam ketawa lagi bila dia melangkah keluar dari kereta.

Hisyam menurunkan cermin tingkap. "Maria, malam nanti, saya telefon awak."

"Hisy, tak payahlah! Dah sehari suntuk kita jalan sama-sama. Cukuplah!"

"Saya tak peduli. Saya nak cakap dengan awak jugak."

"Suka hati awaklah. Tak kuasa nak layan."

"Maria…"

Maria mengetap bibir.

Hisyam ketawa. "Dalam beg tu, ada tiga beg dompet untuk kawan-kawan serumah awak."

Tanpa menunggu reaksi Maria itu, Hisyam melambaikan tangannya sebelum memandu pergi meninggalkan Maria yang masih berdiri terpaku. Pada ketika itu, Maria tahu bahawa ada sesuatu sedang berlaku pada hatinya, tetapi dia tidak mahu mengakui.

Masakan baru sekali keluar bersama dengan lelaki itu dia sudah jatuh hati?

Mustahil! Maria cuba menghalau apa juga perasaan yang sedang menghantui.

0 comments:

Post a Comment