Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 15

15

MARIA berjalan-jalan dalam kesuraman lampu taman di sebelah belakang banglo besar itu. Dia ingin melarikan diri daripada Hisyam dan Farah. Perlakuan pasangan itu membangkitkan rasa cemburu yang maha hebat di dada. Dia tidak sanggup melihat kemesraan mereka. Sayu hatinya bila terbayangkan tangan Hisyam memeluk Farah dan Farah menyandarkan tubuhnya dengan manja pada lelaki itu.

Dia kini berada dalam taman orkid milik keluarga itu. Dalam kesamaran malam, dia dapat melihat warna-warna bunga ini. Ada yang berwarna kuning berbintik, ada yang berwarna ungu, warna oren pun ada. Cantik dan terjaga rapi.

Menghadiri majlis malam ini bukan suatu tindakan yang bijak, fikir Maria. Malam ini, hati dan perasaannya semakin hampa, marah dan sakit hati. Kecewa! Walau cuba memejamkan mata, namun bayangan mesra mereka masih menghantui. Masih ternampak-nampak.

Lama dia melayan perasaannya sendirian. Membiarkan air mata terus-menerus mengalir di pipi. Dia tahu dirinya amat lemah ketika ini. Mudah benar dia menangis. Murah benar air matanya. Semakin dia cuba memujuk hati, semakin dia rasa kecewa. Semakin dia rasa terluka.

Mengenali Hisyam dan membenarkan lelaki itu memiliki hatinya adalah satu kesilapan. Kalaulah dia tidak mengalah dengan perasaannya... Kalaulah dia berkeras dengan pendiriannya... Tentu dia tidak akan selemah ini. Tentu dia tidak perlu menangis. Tapi, apalah gunanya menyesal? Sudah tersurat dia tewas dengan kebijaksanaan Hisyam menggodanya. Sudah ditakdirkan dia jatuh cinta pada lelaki itu. Dia tidak mampu menolak.

Tiba-tiba Maria tahu dia tidak lagi keseorangan di situ. Dia dapat merasakan kehadiran Hisyam sebaik hidungnya mengesan keharuman eau de cologne yang sering dipakai oleh lelaki itu. Haruman yang selama ini menyerlahkan pesona lelaki itu kepadanya. Bau yang amat dikenali. Segera dia menoleh. Lelaki itu sudah berdiri dekat di belakangnya, sedang merenung dengan pandangan mata yang memukau.

Maria segera bangun. Air mata yang mengalir di pipi diseka. Dia tidak mahu Hisyam nampak dia menangis. Dia tidak mahu Hisyam tahu kelemahannya. Dia tidak mahu Hisyam tahu apa yang sedang sarat bersarang di dadanya. Cuma, apa yang dia mahu lakukan ialah untuk pergi dari situ. Langkah cuba diatur.

"Nak ke mana tu?" Hisyam bertanya apabila Maria sudah bergerak untuk meninggalkannya. Tangan gadis itu dicapai. Dari dekat, dia dapat melihat air mata yang bersisa di pipi.

Langkah Maria terhenti. Dia tidak dapat meneruskan pergerakan bila tangannya sudah dipegang kemas. "Lepaskan tangan saya, Encik Hisyam. Saya nak balik!" pinta Maria.

"Mengapa awak menangis, Lia?" Tangan Maria tidak dilepaskan, sebaliknya soalan itu yang ditanyakan Hisyam kepada Maria.

Maria ingin ketawa mendengar soalan itu. Haruskah dia memberitahu sebab dia menangis kepada orang yang menyebabkan dia menangis?

"Lia? Kenapa menangis?" Suara garau Hisyam lembut benar ketika itu. Seperti sedang memujuk.

Hisyam tidak sanggup melihat titisan air mata yang mengalir di pipi Maria. Bagaikan suatu tindakan refleks, tubuh gadis itu dipeluknya, berharap agar pelukan itu dapat meredakan tangisan. Melenyapkan kesedihan!

Bahagianya Maria. Dalam tangisnya, dia tahu dirinya selamat di situ. Lantas, muka disembamkan di dada Hisyam. Usapan lembut di belakang tubuhnya memberi kehangatan yang bukan sedikit. Buat pertama kali dia merelakan perlakuan romantis Hisyam. Buat pertama kali dia menyedari, walau sekuat mana hati menafikan, perasaan yang cuba ditolak ini tetap tidak mahu pergi. Dia mencintai Hisyam. Mencintainya sepenuh jiwa dan raga. Kalaulah lelaki ini tahu...

"Saya rindukan awak, Lia. Rindu sangat-sangat!" bisik Hisyam manja.

Kata-kata Hisyam itu menyedarkan Maria daripada mimpi. Lantas dengan sekuat tenaga, ditolaknya tubuh Hisyam menjauh.

Hisyam kehairanan. Kenapa? Kenapa Maria menolaknya? Dia ingin menarik Maria ke dalam dakapannya semula, namun gadis itu semakin menjarakkan diri. Kata-kata yang keluar daripada mulut Hisyam menggambarkan kemarahan.

"Rindu? Awak rindukan saya, Encik Hisyam?"

Hisyam mengangguk.

"Selepas awak bermesra dengan perempuan tu? Awak ingat saya percaya?" soal Maria sedih.

Hisyam menghampirinya. "Sumpah, Lia. Saya…"

"Jangan bersumpah. Jangan bohong lagi. Saya tak nak dengar."

Hisyam cuba meyakinkan. "Demi Allah, saya tak bohong. Memang saya betul-betul rindu pada awak."

Maria menatap wajah Hisyam. Dia seolah-olah tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh Hisyam.

Tiba-tiba Hisyam tersenyum. Nakal senyuman itu. Dia mengusik. "Cemburu ya?"

Maria menyepikan diri.

"Marah ya?"

Kali ini, Maria memberanikan diri untuk menentang pandangan sepasang mata itu. "Habis, awak nak suruh saya gembira? Ketawa? Awak nak saya rasa seronok tengok awak. Lelaki yang pernah cakap dia sayangkan saya, bermesra, berpeluk, bergurau senda dengan si Farah tu... Awak ingat saya ni…"

Hisyam meletakkan jarinya di bibir Maria. "Lia, lebih baik kita selesaikan perkara ini. Antara saya dengan Farah, tak ada apa-apa hubungan istimewa. Kami hanya kawan. Sejak dulu, hanya itu sahaja. Saya tak pernah ada hati pada dia. Saya tidak pernah mencintainya. Tidak dulu, tidak juga sekarang. Hanya awak sahaja…"

Maria sakit hati mendengar kata-katanya itu. "Saya tidak akan percaya pada awak lagi!"

Wajah Hisyam merah padam mendengar ayat itu. Geramnya dia bila Maria masih tidak mahu percaya. Sungguh kecil hatinya mendengar Maria berkata begitu. Dan, hati membungkam mengenangi sikap gadis itu selama ini. Sikap baik yang penuh kepura-puraan. Masih terbayang di matanya, perlakuan Maria yang memeluk mesra lelaki di atas motosikal dulu. Gambaran itu masih jelas dalam ingatannya kerana saban waktu api cemburunya meledak tidak keruan kerana gambaran itu.

"Sudahlah, Maria, kalau awak tak mahu percaya cakap saya, tak apa. Tapi ingat, saya bukan pembohong. Saya tak berlagak baik. Saya tidak suka berpura-pura. Macam awak!" tengking Hisyam.

Terpinga-pinga Maria mendengar tengkingan Hisyam. Mata tidak dapat dikalihkan. Wajah tampan itu ditatap dalam-dalam. Penuh tanda tanya.

Bila dia berbohong? Bila dia berlagak baik? Bila dia berpura-pura?

Hisyam tidak peduli lagi kali ini. Dia nekad meneruskan kata-katanya. Dia masih tidak puas menyakiti hati perempuan itu. Tidak dipedulikan kesedihan yang jelas di wajah Maria. Tiada lagi rasa kasihan yang singgah di hati. Maria sudah melukakan perasaannya dan dia ingin membalas. Maria pernah melukakan hatinya dan dia ingin melukakan kembali hati Maria. Biar pedihnya sama dirasai. Biar deritanya sama ditanggung.

"Kenapa diam? Tak benar ke apa yang saya cakap ni? Awak ni perempuan murah. Perempuan yang tak ada maruah. Saya setuju dengan Irwan. Perempuan macam awak ni memang sanggup lakukan apa saja asalkan awak boleh bersama dengan kami. Dengan orang kaya. Mujur Irwan beritahu apa niat awak sebenarnya. Kalau tidak, tentu sampai hari ini pun saya masih tertipu."

Maria menarik nafas dalam-dalam. Penghinaan demi penghinaan menujah telinga. Dia tidak sanggup mendengar lagi. Cukup! Hatinya sudah terhiris. Dia ingin pergi dari situ. Tapi…

"Irwan! Kerana Irwan, selama tiga bulan awak buang saya jauh-jauh dari hati awak? Kerana Irwan, awak langsung tak jawab panggilan telefon saya? Tak balas mesej saya? Apa sebenarnya yang berlaku, Syam? Apa Irwan cakap sehingga awak buat saya macam orang bodoh? Sehari sebelum tu, beria-ia awak nak kahwin dengan saya, tapi tiba-tiba esoknya awak terus tinggalkan saya tanpa khabar berita. Awak buat saya macam saya ni tak ada maruah. Awak buang saya macam saya ni sampah," ujar Maria lemah.

Hisyam menjegilkan matanya. "Silap tu! Bukan kerana dia saya tinggalkan awak!" jerkah Hisyam.

"Oh, jadi ada alasan lain, ya? Cakaplah sekarang. Cakap terus terang supaya saya boleh tahu apa sebabnya awak buat saya macam tu," pinta Maria.

"Huh, apa perlunya saya beritahu? Awak dan perbuatan awak pada saya dah cukup menyakitkan hati, tahu tak?"

"Apa yang awak nak beritahu saya, Syam? Bahawa awak tinggalkan saya kerana kesilapan saya, macam tu?" Maria jelas keliru.

"Habis tu? Takkan silap saya pulak, kut..."

"Jangan cakap berbelit-belit, Encik Hisyam. Berterus teranglah! Apa salah saya? Apa yang saya dah buat sampai begini sekali awak buat saya? Benci saya?"

"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak?"

"Apa yang awak nampak?"

"Awak dengan lelaki tu! Mat motor yang awak peluk rapat tu. Hari yang saya ajak awak keluar sama dan awak kata awak ada hal penting. Tapi, apa yang penting sangat? Mat motor tu? Dia lebih penting daripada saya? Daripada perkahwinan kita? Saya betul-betul tak sangka, Maria. Saya benar-benar ingat awak ni perempuan baik, tapi perangai awak kalahkan minah rempit. Dengan saya bukan main alim, tapi bila dengan jantan tu..."

Maria kembali menitiskan air mata. Tidak disangka, Hisyam meninggalkan dirinya hanya kerana salah anggapnya terhadap Mazlan. Tapi, kenapa lelaki itu tidak bertanya? Kenapa tidak mahu bersemuka? Kenapa membiarkan diri mereka dalam keadaan ini?

"Tiga bulan awak mendiamkan diri, awak tak hubungi saya, kerana Lan? Awak tak jawab panggilan saya, tak balas SMS saya kerana awak cemburukan Mazlan?" Maria bertanya walaupun kini dia sudah pasti itulah puncanya.

Mazlan? Nama itu yang Maria sebut tadi. Tapi, itu kan nama…

Hisyam benar-benar terkejut. Bulat matanya merenung Maria. Betulkah apa yang sedang didengarinya kini? Betulkah apa yang baru Maria sebut? Mazlan? Lelaki bermotor itu namanya Mazlan? Mazlan adik Maria?

"Lia, jawab soalan saya ni. Tadi awak kata Mazlan. Mazlan yang naik motor dengan awak tu? Mazlan, adik awak?" Hisyam bertanya dengan hati yang berdegup kencang. Wajahnya kebingungan. Sepasang matanya fokus kepada Maria. Dia benar-benar ingin tahu.

Maria diam. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak.

"Tuhan, selama ini saya cemburu pada Mazlan?" Hisyam bersuara lemah.

Jari-jemari Hisyam menyisir rambut yang kusut. Mula menyedari bahawa segala keraguannya terhadap Maria selama ini hanyalah sia-sia. Bahawa dia telah bertindak terburu-buru. Membuta tuli!

"Lia? Betul ke dia tu Mazlan?" Hisyam betul-betul seperti kehilangan arah.

"Semua itu dah lepas. Dah tak penting lagi." Lirih benar Maria bersuara.

"Tidak. Jangan cakap macam tu. Semua ini penting bagi saya. Kalau saya tahu itu Mazlan..."

"Awak tak perlu cakap apa-apa sekarang. Tolong jangan cakap apa-apa lagi. Dah terlambat. Selama tiga bulan awak sepi, awak tak mintak penjelasan saya. Awak biarkan saya tertanya-tanya apa salah saya. Tu, orang yang nak dijatuhi hukuman gantung tu pun diberi peluang untuk membela diri dia. Tapi, awak? Awak terus hukum saya hanya kerana awak nampak saya dengan Mazlan. Awak diam. Awak tak balas SMS saya. Panggilan telefon saya awak biarkan sepi. Undang-undang mana yang awak pakai? Tanpa usul periksa saya dah jadi pesalah awak. Adilkah itu? Sudahlah, Encik Hisyam. Seperti awak yang tak mahu dengar penjelasan saya dulu, begitu juga saya sekarang. Awak dah buat pilihan awak, jadi saya juga dah buat keputusan saya. Hubungan kita sampai di sini." Maria memintas.

"Maafkan saya, Lia. Saya tahu, saya salah. Maafkan saya," bisik Hisyam lemah.

"Baiklah, saya maafkan awak. Puas hati?"

"Lia, tolonglah... Saya tahu, banyak benar kesalahan yang dah saya buat pada awak. Tapi, tolonglah faham. Semua itu terjadi kerana saya terlalu cemburu. Dengar cerita Irwan tentang awak dengan dia, tengok pulak awak dengan Mazlan, buat saya jadi tak menentu. Saya keliru. Tapi, sekarang saya dah sedar. Saya yang silap. Awak memang gadis yang baik dan saya tak patut meragui awak. Lia, saya rayu pada awak. Kembalilah pada saya semula. Saya janji, semua ini tak akan berulang. Saya nak kita bercinta semula, Lia..." Hisyam merayu.

"Janganlah beritahu saya yang awak masih mengharapkan saya yang hina-dina ni. Selepas saya dibiarkan tanpa khabar berita selama tiga bulan, saya dah faham yang kita tak layak bersama, saya dah tahu dah. Bukan sekali awak menghina saya, Encik Hisyam. Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya tadi, saya tidak mungkin akan balik ke pangkuan awak. Saya perempuan kilang yang tidak sedar diri. Saya perempuan yang tidak senonoh, yang suka berpeluk tak kira dengan mana-mana lelaki pun. Lupakan saya, lupakan minah rempit ni. Lupakan perempuan murah ni." Maria mencurahkan kesakitan di hati.

"Lia…"

"Tolonglah, berilah saya peluang untuk bercakap." Maria tidak mahu mendengar penjelasan Hisyam. Wajah dipalingkan ke arah lain. Setelah agak lama, barulah Maria dapat berkata-kata semula. Nada suaranya lebih perlahan sekali ini.

"Encik Hisyam, saya tidak sanggup dihina setiap kali encik marah pada saya. Saya tidak cukup tabah menghadapi kata-kata nista. Dan, awak jangan lupa. Awak dah putuskan hubungan kita. Memang benar, di sekeliling awak, ada ramai lagi gadis-gadis yang lebih sesuai, yang sama taraf dengan awak. Awak sendiri yang kata macam tu tadi."

Maria sudah menangis walaupun puas ditahankan air mata itu. Kerana tidak sanggup dipandang oleh Hisyam, dia mula melangkah pergi.

"Tapi, mereka bukan Maria binti Mustafa!"

Dengan teragak-agak, Maria memusingkan dirinya untuk berhadapan dengan. Hisyam. Suara yang tersekat-sekat itu mematikan pergerakannya. Ada kesedihan dalam suara itu. Dan, apa yang dilihat bakal merobohkan tembok ego yang baru terbina. Hisyam sedang melutut di hadapannya. Air jernih sedang bergenang di kelopak mata itu.

"Tolong maafkan segala keterlanjuran saya, Maria. Tolong maafkan semua kekasaran saya tadi. Tolong beri peluang kepada saya sekali lagi untuk mencintai awak. Tolonglah...

Maria terpaku di tempat dia berdiri. Bercampur baur perasaannya. Lelaki ini amat dicintai. Pengakuan itu menimbulkan resah di dada. Dia ingin memaafkan. Dia ingin menerima Hisyam semula. Tapi, dapatkah dia melupakan segala kedukaan ini?

"Maria, jangan menangis. Tolonglah..."

Suka hati akulah kalau aku nak menangis pun! bisik Maria dalam hatinya.

Hisyam merapatkan dirinya kepada Maria. Air mata yang sedang mengalir di pipi gadis itu dilap dengan jari-jemarinya. Namun, perbuatannya itu bukan meredakan tangisan si gadis, malah menambah deras aliran air mata itu.

"Maria, saya cintakan awak dengan sepenuh hati. Tidak ada gadis lain, hanya awak sahaja. Apa yang berlaku tadi bukan niat saya. Tidak pernah terlintas di hati saya ni untuk menyakiti hati awak, Lia. Percayalah cakap saya ni," pujuk Hisyam.

"Betulkah awak cintakan saya, Syam?" soal Maria lemah.

Mendengar soalan itu, Hisyam segera mengangguk.

"Kalau macam tu, lupakan saya," pinta Maria.

Terpempan Hisyam mendengar permintaan itu. "Tidak! Saya tidak akan lakukan itu! Lia..."

Maria tidak mendengar. Dia sudah letih. Langkah diatur untuk meninggalkan Hisyam. Dia ingin pulang.

"Lia, awak nak ke mana tu?" soal Hisyam kalut.

"Saya nak balik, Encik Hisyam. Rasanya, saya dah tak ada apa nak cakap pada awak lagi." Maria menepis tangan sasa yang ingin memegang tangannya.

"Lia, kenapa? Awak tak dengar ke semua yang saya cakap ni? Macam mana lagi harus saya merayu?" Hisyam meminta pengertian.

"Encik Hisyam, awak janganlah merayu saya lagi. Lupakan saya. Saya tak nak jadi kekasih awak. Mulai hari ini, jangan datang cari saya lagi. Orang kaya macam awak, macam Irwan, tak boleh jatuh cinta dengan orang macam saya. Saya yang miskin ini. Saya tak mahu nanti awak tuduh saya nakkan harta awak pulak. Jadi, lebih baik kita berpisah saja. Hal ini mungkin kecil pada awak, tapi bagi saya tak guna saya terus harapkan awak kalau kepercayaan awak tak ada pada saya."

Hisyam terpaku di tempat dia berdiri. Jelas, Maria benar-benar ingin meninggalkannya. Mereka kini sudah benar-benar akan berpisah. Semua kerana silapnya. Dia memusnahkan kepercayaan Maria kepadanya. Keraguannya pada kesetiaan Maria akhirnya membawa kedukaan ini. Dia tahu kini, bahawa inilah kesilapan paling besar dalam hidupnya. Dia akan melepaskan cintanya pergi.

"Jangan pergi, Lia!"

Rayuan itu menghentikan langkah Maria, namun dia tidak menoleh. Dia tidak mahu menatap renungan Hisyam yang redup. Dia tidak mahu tewas.

"Tolong jangan pergi. Maafkan saya kerana terlalu berkasar dengan awak. Tolonglah, jangan tinggalkan saya. Saya perlukan awak, Lia. Saya sayang awak."

Maria kembali meneruskan langkahnya setelah Hisyam habis berbicara.

"Apakah tidak ada langsung ruang kemaafan untuk saya? Sampai hati awak membuang saya macam ni? Tidakkah ada perasaan sayang awak terhadap saya walaupun sedikit, Lia?" tanya Hisyam sayu.

Maria terpanar mendengar soalan-soalan itu. Kalau diturutkan perasaan, dia pasti berpatah balik. Dia pasti akan menunggu Hisyam merapati dirinya. Meraih dirinya dalam pelukan mesra lelaki itu. Membiarkan tangan sasa itu memeluknya kejap-kejap. Tapi, di manakah maruahnya? Ke mana dia harus mencampakkan harga diri yang sudah lumat dihiris-hiris oleh umpat keji lelaki itu tadi? Caci maki dan hinaan, sanggupkah dia melupakan? Tidak! Dia tidak rela menyerah hanya kerana cinta. Dia tidak mahu mengalah dan tewas bila dipujuk rayu. Dia bukan perempuan yang lemah. Bukan! Lalu langkah diteruskan. Suara Hisyam memanggilnya tidak dipedulikan.

Untuk sambungan novel ini, dapatkan novel TAK MUNGKIN KUHINDAR di kedai-kedai berhampiran anda atau secara online terus daripada penerbit di http://fajarpakeer.blogspot.com

12 comments:

  1. My Daughter's World said...
     

    bila nak sambung cita ni? x sabar nak baca...

  2. epal said...
     

    mSiH dEw kEw nOveL nY dI pSaran,???
    noveL nY dijUaL mRata tMpT kew,???

  3. Anonymous said...
     

    boleh tak kalau post part seterusnya kat blog aje, ye?

  4. Anonymous said...
     

    nape tk habs kn je??huhuhu

  5. Are Fieyfah said...
     

    sedih betul lah cerita nie... rasa nk menangis plak... kenape x de sambungan nyer terus... x sabar rasnya nk baca... :)

  6. teddy_nad said...
     

    huhu,,sambungannye xde ke????kat pasaran masih ade ker??

  7. Anonymous said...
     

    kat na da jual novel nie g owh ? sy da p popular da . siap tanya pekerja lg , mrk p sampai stor cr tp x da pun . sodeh den . x dpt bc sampai hbs . novel nie ssh nak cr la .. :( ..

  8. Anonymous said...
     

    huuuuuu....best la citer ni..kat ner ad jual ek..harap dapat luaskan pasaran bg novel ni n banyakkn lg pengeluaran...

  9. Anonymous said...
     

    warghhh...bestnya citer ni..post la lg..xjmpa dah novel ni..huhu:(

  10. Anonymous said...
     

    best la...

  11. dillahamir said...
     

    Waaahhh..best gile la novel nie...tk sbr tggu ksinambungan cite nie

  12. nurul said...
     

    ade lagi ke novel ni? best..saye baru jmpetahun 2019 ;)...

Post a Comment