Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 12

12

TENGAH HARI itu, Hisyam tergesa-gesa memasuki sebuah restoran di Jalan Memanda 2. Hatinya resah. Dia tidak tahu bagaimana lelaki itu mendapat nombor telefonnya. Dia tidak faham mengapa lelaki itu ingin menemuinya. Lelaki itu berkata, mereka mesti berjumpa. Ada hal penting yang ingin diberitahu. Hal itu terlalu peribadi dan tidak boleh dicakap dalam telefon. Mahu tidak mahu, Hisyam terpaksa datang. Dia perlu tahu apa yang ingin disampaikan oleh Irwan kepadanya tentang Maria.

Hisyam mengatur langkah dengan yakin menuju ke arah meja di mana pada masa itu, Irwan sedang melambaikan tangan kepadanya.

"Apa khabar, Encik Hisyam? Sila duduk." Irwan memulakan bicara.

Hisyam menyambut tangan yang dihulur. Dia duduk. Pada ketika itu, pelayan sampai dan Hisyam memesan air kopi pekat untuknya.

"Tak mahu makan?" Irwan bertanya lagi.

"Pagi tadi saya sarapan nasi lemak di rumah." Hisyam menolak.

Irwan merenung Hisyam. Dalam hati dia mengakui bahawa lelaki itu nampak lebih bergaya daripada dirinya sendiri walaupun mereka sama-sama anak orang kaya. Hisyam juga nampak lebih berkeyakinan daripada dirinya. Tapi, itu semua akan lebur nanti bila lelaki ini tahu siapa Maria sebenarnya.

Hisyam mengacau air kopi yang baru diletakkan di atas meja sambil matanya tepat memandang Irwan. Jadi, inilah lelaki yang pernah dicintai oleh Maria. Memang kacak dan bergaya, fikirnya. Tiba-tiba rasa cemburu hadir tanpa dipinta.

Pernahkan Maria merelakan lelaki ini memegang tangannya, memeluknya? Hati Hisyam tertanya-tanya. Tentu tidak! Maria tentu tidak pernah membenarkan. Tentu sikap gadis itu sama seperti bila mereka berdua bersama. Tentu Maria tidak membenarkan dirinya disentuh oleh lelaki ini.

Ah, kenapa itu yang difikirkan? bentak Hisyam dalam hati. Bukankah dia harus mempercayai Maria? Maria bakal menjadi isterinya. Mereka akan hidup bersama. Jadi, dia tidak boleh berfikir yang bukan-bukan tentang gadis itu.

"Irwan, saya dah ada di sini, jadi kita tak perlu nak berpura-pura. Awak kata, awak ada sesuatu untuk diberitahu kepada saya. Jadi, silakan. Saya sedia mendengar."

Irwan tersenyum sinis. Lelaki di hadapannya ini memang terlalu berterus terang. Terlalu yakin dengan dirinya.

"Awak dan Maria bercinta, ya?" Irwan memulakan bicara.

Hisyam menjongketkan kening. Matanya tajam merenung lelaki di hadapannya. Apa pula kena-mengena cinta mereka dengan lelaki ini? Soalan itu disimpan di dalam hati. Belum masanya untuk dia berkata sesuatu.

"Hmm, Maria, cantik, manja, menggoda dan bijak. Semua lelaki yang didampinginya selalu tewas dengan kelembutan yang ditunjukkan. Termasuk awak, termasuk saya.

Irwan tersenyum kerana dia tahu dia telah mendapat perhatian daripada Hisyam sepenuhnya.

"Awak lelaki yang bersama dengan dia dekat Sogo dulu, kan? Dah agak lama peristiwa itu berlaku, tapi saya tetap tak dapat nak melupakannya lagi."

Hisyam mula gelisah. Hatinya tertanya-tanya apakah yang ingin disampaikan oleh lelaki ini kepadanya? Mesti sesuatu yang penting dan perkara itu berkaitan Maria. Tapi apa? Berdebar hatinya walau sehabis daya cuba disembunyikan daripada pengetahuan Irwan.

"Hisyam, saya panggil awak hari ni, nak jumpa awak, sebab saya nak tolong awak. Sebab itu saya kena cerita sesuatu tentang Maria. Saya harap awak sudi dengar dan lepas itu buatlah keputusan. Kalau awak masih nak bersama dengan dia, terpulanglah."

Hisyam merenung tepat wajah lelaki yang sedang berkata-kata itu dengan hati yang berkecamuk dan perasaan yang berdebar. Namun, dia tidak berkata apa-apa. Hanya matanya yang tajam memerhati lelaki di hadapannya.

"Kali pertama bertemu dengan Maria, saya tahu saya dah jatuh hati pada dia. Kelembutan itu memang tak ada pada orang lain. Sejuk hati saya bila mendengar dia bercakap. Tutur katanya, sopan-santunnya, budi bahasa, memang membuat saya benar-benar gilakannya. Tambahan pula dengan sikap dia yang selalu merendah diri tu. Tak ada perempuan yang seperti dirinya. Tak ada!" ujar Irwan sinis.

"Apa yang awak nak beritahu saya sebenarnya ni, Irwan?" Hisyam tidak dapat bersabar lagi. Dia semakin gelisah. Rasa marah mula hadir dalam hatinya. Cemburu sungguh dia bila Irwan asyik memuji gadis kesayangannya.

"Hisyam, Maria adalah gadis pertama yang saya cinta. Dan, saya adalah lelaki pertama yang dicintainya. Sebenarnya, bukan mudah untuk buat dia jatuh cinta dengan saya. Masa mula-mula dulu, bila saya luahkan perasaan ini pada dia, dia telah menolak dengan lembut. Tapi, saya tak putus asa. Saya terus cuba memikatnya. Saya bagi hadiah, bagi bunga, tapi semua ditolak. Dia kata, dia tak perlukan semua hadiah yang mahal-mahal itu. Itu menambahkan rasa sayang saya kepadanya."

"Pelik? Kata Maria, awak main kayu tiga di belakang dia," sindir Hisyam.

"Ayah Aliza kawan baik ayah saya. Jadi, kami memang dah dijodohkan dari kecil lagi. Saya tak kisah sangat pasal tu. Kemudian saya kenal Maria. Kami bercinta. Bila saya dan Aliza ditunangkan secara rasmi, saya menolak rancangan ibu bapa saya, tapi mereka tak terima. Saya fikir, tak apalah. Lagipun, kalau saya tak setuju nak kahwin dengan Aliza, mereka bukannya boleh buat apa-apa pun."

Hisyam menggelengkan kepalanya. "Senang betul awak buat keputusan ya?"

"Sebab saya sayangkan Maria. Saya tak pernah peduli perasaan Aliza. Berkali-kali saya beritahu dia yang saya tak mahu kahwin dengan dia. Aliza sedih sangat, tapi masa tu saya tak peduli. Dalam hati saya cuma ada Maria. Hanya dia yang saya cintai."

Hisyam bertambah marah. Hatinya tidak dapat menerima bila Irwan berkata begitu. Kisah antara lelaki itu dengan Maria telah lama berlalu, tapi mengapa di pertemuan ini, Irwan meluahkan perasaannya. Mengapa? Dia semakin serba salah bila dilihatnya ada air mata bergenang di pelupuk mata lelaki di hadapannya itu.

"Apa sebenarnya, Irwan? Cuba cakap betul-betul." Keras bunyi suara Hisyam itu.

"Maria mempermainkan hati dan perasaan saya." Irwan meraih simpati.

Hisyam ketawa. Irwan memang lucu. Masakan tidak! Dia menuduh Maria yang bukan-bukan. Apa untungnya kepada Maria untuk mempermainkan cintanya? Malah, gadis itu tentu menyedari bahawa hidupnya akan mewah kalau berkahwin dengan Irwan. Pelik!

"Mengarut! Apa untungnya dia menolak cinta awak? Awak kan anak orang kaya? Kahwin dengan awak tentu akan membahagiakan dia dari segi wang ringgit. Bukan begitu?" Hisyam menyindir.

"Awak boleh ketawa kerana awak tidak mengalaminya. Belum mengalaminya!" kata Irwan pura-pura sedih.

"I don’t have to hear this!" balas Hisyam sambil berdiri. Dia ingin pergi tetapi, Irwan segera menahan.

"Tolonglah Hisyam, dengarlah. Penting ni. Duduklah. Perkara ni penting sangat. Kalau tidak, saya tak akan buang masa awak macam ni."

Hisyam akhirnya duduk kembali.

"Hisyam, Maria bencikan orang kaya. Saya tak tahu kenapa, tapi itu adalah hakikatnya." Hisyam menggelengkan kepalanya. "Karut! Dengan saya dia okey aje."

"Awak tahu ayah dia pernah tinggalkan dia dan adik-adiknya?"

Angguk. "Ayah dia kahwin lain."

"Memang benar ayahnya kahwin lain, tapi dia meninggalkan Maria, ibu dan adik-adiknya dalam keadaan melarat kerana nak berkahwin dengan perempuan kaya."

Dahi Irwan berkerut-kerut merenung wajah Hisyam yang keliru. "Oh, rupa-rupanya awak tak tahu, ya?"

Hisyam diam membungkam. Geram kerana selama ini Maria tidak pernah bercerita tentang itu. Dia hanya tahu ayah gadis itu kahwin lain. Dengan siapa? Dia tidak pernah bertanya. Dia rasa marah kerana terpaksa mengetahui daripada lelaki ini.

"Masa umur Maria sembilan tahun, ayahnya kahwin lain dengan perempuan kaya. Beberapa hari selepas ayahnya pergi, dia adik-beradik dengan emaknya dihalau kerana tak bayar sewa rumah. Mujur ada yang sudi benarkan dia orang tinggal dalam satu pondok buruk. Kata Maria, pondok tu berlubang-lubang, bocor, sempit.

"Saya tak tahu," kata Hisyam sedih.

"Tentu awak juga tak tahu yang Maria sekolah sampai tingkatan empat sahaja, kan?"

"Hah?" Hisyam nyata terkejut.

Irwan menyambung, "Ya, dia sekolah sampai tingkatan empat. Dia kena rogol!"

"Masya-Allah! Betul ke apa yang awak cakap ni?" Hisyam terkedu. Dia benar-benar terkejut.

"Betul, saya tak ada sebab nak bohong. Maria sendiri yang beritahu saya," tegas Irwan. Kesempatan ini akan digunakannya sebaik mungkin.

"Sejak itu dia dendam dengan ayahnya. Bagi Maria, ayahnyalah yang menjadikan nasib dia teruk sampai begitu sekali. Dahlah ayah dia pergi tanpa khabar berita, dia pulak jadi macam tu. Sebab itu dia benci sangat pada ayah dia. Dia marah benar dengan perempuan kaya tu. Dia kata perempuan kaya itulah yang menyebabkan ayahnya tinggalkan mereka dan rumah tangga ibu dan ayahnya porak-poranda. Hidup mereka melarat dan dia…"

"Saya tak tahu. Dia tak pernah cerita pada saya."

Hisyam ternyata sedih mengenangkan Maria yang tidak mahu berkongsi rahsia itu dengannya. Mungkin dirinya tidak penting pada gadis itu sampaikan rahsia besar seperti ini pun disembunyikan, getus hatinya.

"Maaflah. Saya ingat dia dah beritahu awak cerita penting ni. Dengan saya dulu, awal-awal lagi dia dah cerita. Katanya, dia tak mahu saya dengar daripada orang lain. Katanya, dia tak mahu saya menyesal kahwin dengan dia yang sudah tak suci lagi." Irwan berkata. Sengaja ingin membakar perasaan Hisyam.

Tiba-tiba Hisyam merasa kecil hati dengan sikap Maria. Mereka akan berkahwin, tapi gadis itu tidak memberitahu apa-apa kepadanya. Sakit hati pun ada.

"Bila saya kata saya tak peduli kisah silam dia, bila saya beritahu yang saya sedia menerima dirinya tak kira siapa pun dia, dia marah. Dia kata saya tipu. Dia kata tak mungkin ada seorang lelaki yang sanggup terima perempuan kotor macam dia. Dia tak percaya. Tapi apa yang lebih menyedihkan saya bila dia kata yang dia berpura-pura cintakan saya. Dia berpura-pura membalas cinta saya. Dia kata dia buat semuanya kerana dia nak membalas dendam. Boleh awak bayangkan perasaan saya masa tu, Syam?"

Hisyam menggelengkan kepala. Tak mungkin Maria begitu, tak mungkin, desis hatinya.

"Hisyam, dengar cakap saya ni. Maria betul-betul benci pada orang kaya. Saya dah mengalaminya, saya tahu. Sakit masih terasa di sini!"

Irwan menunjukkan dada seolah-olah di situ terletak hatinya. Matanya tajam merenung Hisyam yang mula resah. Dia terus cuba meracuni fikiran lelaki di hadapannya itu.

"Tentulah dia benci pada awak juga sebab awak kahwin dengan perempuan lain, Irwan. Awak kata awak sayang dia, tapi awak kahwin dengan…"

"Aliza." Irwan menyampuk. Lama dia diam, menatap wajah Hisyam yang nyata semakin resah. "Ya, saya kahwin dengan Liza. Bila Maria kata dia benci saya, dia nak balas dendam perbuatan ayahnya, saya marah. Saya buat perkara paling bodoh tu. Niat hati saya nak balas dendam pada dia. Tapi, saya silap. Kasih sayang saya pada dia banyak sangat."

Sesak dada Hisyam mendengar pengakuan Irwan. Timbul curiga kepada Maria. Berkali-kali dia menelan liur. Wajahnya muram.

"Memang saya kahwin dengan Aliza, tapi hati saya tetap pada dia. Masa tu saya ingat perkahwinan saya dengan Aliza adalah satu kesilapan. Sebab itu saya merayu, menagih cinta Maria. Berbagai-bagai cara saya gunakan untuk dia menerima saya semula, tapi dia enggan. Dia marah Liza! Maria kata Liza macam-macam. Perempuan kaya semuanya sama, suka rampas hak orang, menyusahkan hidup orang lain. Menindas! Hipokrit!"

Irwan membisu, seolah-olah sedang teringatkan suatu peristiwa yang benar-benar menyedihkannya. Suaranya sedih benar.

"Tapi, awak tetap cari dia lagi. Masa kita jumpa tu, awak dah kahwin, kan? Tapi awak kejar dia," perli Hisyam.

"Sebab cinta tu buta!" Irwan mencelah.

Hisyam mendengus.

"Sebenarnya Hisyam, saya keliru dengan perasaan sendiri. Saya marah bila saya tahu dia menipu saya, dia tak ikhlas cintakan saya." Irwan terus-menerus bercerita seolah-olah Hisyam tidak ada di situ. Seolah-olah dia sedang bercakap sendiri.

Hisyam jadi marah mendengar kata-kata Irwan itu. Dia tidak dapat menerima Irwan mengata Maria, tetapi dia gelisah. Dalam tidak percaya, masih terselit keraguan.

"Waktu saya nampak awak berpeluk dengan dia dulu tu, saya tahu dia dah betul-betul membuang saya dari hatinya. Saya dah tak bererti apa-apa dalam hidupnya lagi. Saya rasa sedih sangat masa tu," rintih Irwan.

"Habis tu, kenapa masih merayu?"

"Entahlah. Mungkin cinta pertama susah nak lupa agaknya?" kata Irwan sambil tersenyum.

Hisyam mengepal penumbuknya. Kalau diikutkan hati...

"Kenapa awak ceritakan semua ini pada saya? Supaya saya tinggalkan Maria, bukan? Awak ingat, saya percaya pada awak?" Hisyam meninggikan suaranya. Jelas dia sudah tidak mampu mengawal api kemarahannya.

Irwan menggelengkan kepala.

"Jangan salah faham, Hisyam. Saya cuma nak awak berhati-hati, itu sahaja. Saya tak ada niat lain. Saya tak ada sebab nak menghalang awak bercinta dengan dia. Malah, berkahwin pun. Hanya saya nak pesan supaya awak berhati-hati sebelum cinta awak menjadi terlalu dalam kepadanya. Saya tak mahu tengok awak kecewa. Itu saja!"

"Itu saja? Irwan, kita tidak mengenali antara satu sama lain. Tiba-tiba sahaja awak menelefon saya, ajak saya jumpa awak. Awak ceritakan keburukan Maria dan awak kata niat awak baik?" Hisyam berkata dengan suara yang tinggi. Hati yang sedang marahkan Maria menjadi bertambah geram mendengar kata-kata Irwan.

"Terserahlah kepada awak, Hisyam. Kalau awak tak percaya pada saya, tak apa. Nak buat macam mana. Saya dah jalankan tanggungjawab saya. Maria memang istimewa," keluh Irwan lagi. Kini, dia berdiri sambil menghulurkan tangannya kepada Hisyam.

"Terserah kepada awak apa yang awak nak fikirkan tentang saya. Tapi, percayalah, Maria tidak sesuai dengan awak. Malah, dia tak akan pilih awak pun kerana dia sangat bencikan orang kaya. Dia cuma nak awak rasa sakit bila dia tinggalkan awak nanti. Dia hendak melihat awak menderita bila awak ditinggalkannya. Awak akan menderita Hisyam jika awak betul-betul mencintainya. Percayalah cakap saya. Saya tak mahu tengok seorang lagi lelaki tersungkur di kakinya. Maria mampu melakukannya! Fikirlah baik-baik. Okeylah, saya pergi dulu. Hari ini, saya belanja awak."

Irwan berjalan menuju ke kaunter dengan perasaan yang sungguh puas. Dia tahu, sedikit sebanyak Hisyam sudah mula mencurigai Maria. Dia tahu, walaupun Hisyam cuba sedaya upaya menolak ceritanya, namun lelaki itu sudah tertipu juga. Wajah Hisyam yang kelat membuktikan bahawa dia sudah menang. Tidak lama lagi pastilah Maria akan menderita jiwanya ditinggalkan oleh lelaki itu. Baru padan muka perempuan itu.

Kini, dendamnya sudah berbalas. Ketika dia merayu kepada Maria, mengharap supaya Maria menerima dirinya semula, perempuan itu sombong sangat. Angkuh! Dia nekad untuk menyakitkan hati gadis itu sebagaimana hatinya disakiti. Dan, hari ini dia berjaya melakukannya. Tidak lama lagi akan berpisahlah Maria dengan lelaki itu. Puas hatinya!

Hisyam termangu di meja. Tak mungkin Maria begitu, desisnya di hati. Maria tidak akan mengetepikan dirinya hanya kerana ingin membalas dendam kepada ayahnya. Tapi, bukankah gadis itu sangat sedih bila terkenangkan ayahnya dahulu?

Hisyam teringat semula kepada kejadian yang berlaku. Waktu dia bertanya tentang keluarga gadis itu, Maria gembira bercerita tentang emak dan adik-adiknya. Tentang ayahnya? Maria mengelak. Dengan mata yang berkaca, dia meminta supaya mereka berbual tentang perkara lain. Apakah kebencian menguasai hati gadis itu? Sampai sanggup menyimpan dendam?

Argh, ini semua mungkin hanya kerana Irwan tidak berpuas hati kepada Maria. Maria wanita yang baik. Tidak mungkin dia akan berbuat begitu. Hisyam memujuk hati.

Tapi, bagaimana kalau semua cerita ini benar?

0 comments:

Post a Comment