Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 2

2

Hisyam melangkah masuk ke dalam Restoran Steak Choice dengan gayanya yang tersendiri. Sepasang matanya mencari kelibat gadis yang sedang menunggu. Hampir di setiap sudut diperhatikannya. Akhirnya dia tersenyum. Yang dicari sudah ditemui. Langkah penuh yakin diatur ke arah itu.

"Maaf, Lin, I lambat sikit. Ada hal yang tak dapat nak dielak kat ofis tadi," kata Hisyam sambil melabuhkan punggung di atas kerusi. Di hadapannya, gadis yang memakai pant-suit berwarna pastel itu sedang memandang dengan wajah yang masam mencuka.

Jam di tangan, direnung Hisyam. Patutlah gadis ini marahkan dirinya, dia sudah terlewat hampir satu jam.

"Lin, I tak sengaja okey. Ada hal yang berlaku secara tiba-tiba di pejabat dan I tak dapat nak elak. Tolonglah faham..."

Hisyam tidak berbohong. Sewaktu dia hendak keluar daripada pejabatnya petang tadi, tiba-tiba pengarah syarikat memanggilnya dan beberapa orang pengurus lain. Mahu tidak mahu, dia terpaksa pergi. Ada hal penting yang ingin dibincangkan.

Kemudian, ketika dia memarkir kereta, dia telah diganggu pula oleh gadis bernama Maria. Walau tidak mengenali gadis cantik itu, dia tidak tergamak untuk menolak permintaan gadis itu. Wajah gadis itu meraih simpatinya. Lagipula, peluang seperti itu bukan senang diperolehi. Bukan selalu didapati. Tentu sahaja dia tidak mahu menghampakan. Hisyam tersenyum.

"Itu yang tersenyum-senyum, kenapa?" Salina bertanya. Dia mula mencurigai jawapan yang Hisyam berikan tadi. Senyuman nakal di bibir lelaki itu menimbulkan tanda tanya.

Hisyam cuba melupakan kenangan bersama Maria tadi.

"Senyum tu kan ke sedekah..." jawab Hisyam selamba.

"You tahu you ada hal penting, kenapa tak telefon I? Susah sangat ke nak call?" marah Salina.

Hisyam mengeluh kecil. Kebosanan mula menerjah diri. Hati mula berasa sakit. Soalan yang bertubi-tubi ini melemaskannya.

"Lin, kan I dah mintak maaf. Bukan I sengaja nak datang lambat jumpa you. I dah nak turun, tapi Nora panggil cakap ayah nak jumpa. You bukan tak tahu perangai ayah I tu? Bila jumpa I aje, mesti macam-macam yang dia nak tahu. Semua perkara. Daripada sekecil-kecil benda hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. I tak dapat nak mengelak." Hisyam memberitahu. Menyembunyikan cerita yang satu lagi.

Salina tidak peduli. Dia terus merungut lagi. "I tunggu you kat sini macam perempuan bodoh, you tahu tak? Orang lain keluar masuk, I pulak tak bergerak-gerak sejak satu jam lepas. Dahlah tu, I kena memandu sendiri ke sini. Jalan pulak sesak. Macam mana I tak naik angin?"

"Lin, bukan selalu I lewat macam ni. Hari ini aje. Alahai, baru sejam tunggu I, you dah mengeluh macam ni. Okey, kita pesan makanan dulu, ya? I nak pesan air yang sejuk. Mudah-mudahan you boleh cool sikit," pujuk Hisyam. Pujukan yang mengembalikan senyuman di bibir Salina.

"Syam, you ni tak romantis langsung," sela Salina.

Hisyam ketawa kecil. Tak romantis? Aku? Ya ke? Suka hati dialah nak kata apa pun.

Salina, gadis yang dikenali sejak mereka di sekolah menengah lagi.
Sama-sama pula melanjutkan pelajaran ke Amerika sebaik tamat tingkatan lima. Orangnya jelita, memiliki wajah Pan-Asian kerana berdarah kacukan. Melayu di pihak ayahnya dan ibunya berdarah Inggeris. Berada di samping gadis itu, dia tahu ramai lelaki yang mencemburuinya.

"Syam, you fikir apa?"

Hisyam ketawa.

"Bila dengan you, apa lagi yang boleh I fikir?" Hisyam merapatkan diri kepada Salina. "Tengok kiri kanan kita. Dia orang tu semua cemburukan I, tau."

Usikan Hisyam membuatkan Salina ketawa. Rasa bangga memenuhi ruang hati. Hisyam memang pandai mengambil hatinya. Hisyam memang suka memuji. Sikap itulah yang membuat dia tertarik kepada lelaki itu. Dia sentiasa rasa dihargai bila mereka bersama.

Pada ketika itu, seorang pelayan sampai membawa hidangan mereka. Dua stik sizzling bersama chocolate shake. Hisyam terus sahaja makan dengan berselera tanpa mempedulikan Salina.

Salina masih lagi merenung Hisyam. Dibiarkan sahaja stik di hadapannya tidak berusik. Dia hanya menyisip air perlahan-lahan.

"Apa hal you tengok I macam tu?" soal Hisyam bila dia menyedari perbuatan Salina.

"Ayah I tanya lagi tentang kita."

Hisyam mendengus. Dia bosan. Sudah berkali-kali perkara ini disebut. Sudah berkali-kali jawapan diberikan. Petang ini, persoalan itu ditimbulkan sekali lagi.

"Apa you jawab?"

Salina bungkam. Wajah Hisyam yang selamba menyakitkan hatinya.

"You nak I jawab apa pada daddy? I tak tahu nak kata apa-apa sebab I tak tahu perasaan you pada I," balas Salina meraih simpati.

"Lin, kan..."

"Syam, umur kita sebaya. I ni dah kira andartu dah. Dah patut I kahwin, tau. Tapi, you? You macam tak serius dengan I. My daddy said, I have to find another man. He told me that you are not serious with our relationship. He said you do not love me but I don’t want to believe it," pintas Salina geram.

"Hah, betullah tu. Kan itu jugak yang I cakap pada you?" Tanpa perasaan Hisyam membalas.

"Syam, kenapa you cakap macam tu pada I?" Salina sebak. Hisyam sekali lagi menolak dirinya.

Hisyam mula naik darah. "Habis tu, macam mana lagi I nak cakap pada you, Lin? Selama kita berkawan, I rasa, I tak pernah beri you harapan, kan? I tak pernah ajak you kahwin. Jadi, you kena fahamlah. Bagi I, tak guna kita kahwin kalau rasa cinta tak ada dalam hati kita!" tegasnya. Tidak dipedulikan air mata Salina yang mula menitis di pipi.

"Tak ada dalam hati you. Itu maksud you, kan?" bisik Salina sedih.

"Lin, sejak lama dulu I dah beritahu yang I cuma nak jadi kawan you. Dari dulu, dah berkali-kali I cakap, yang I anggap you kawan baik I. Tak lebih daripada itu."

Salina gelisah. Bukan ini yang ingin didengarinya dari mulut Hisyam hari ini. Bukan kata-kata ini. Tapi, mengapakah Hisyam masih tidak mahu memahami? Masih tidak mahu mengerti?

"Sampai hati you. Bertahun-tahun I tunggu you, tapi itu jugak yang you ucap pada I."

Sedih sungguh rasa hati. Walaupun dia sememangnya tahu bahawa memang tiada cinta di hati lelaki ini untuk dirinya. Bukan sekali, malah sudah berkali-kali Hisyam mengatakannya. Hanya dia yang tidak dapat menerima.

Sudah lama mereka berkawan. Hisyam sentiasa ada di sisi di saat dia memerlukan pertolongan. Hisyam sentiasa menemani di saat dia kesepian. Tetapi, mengapa tiada cinta di hati lelaki ini untuknya? Apakah kekurangan dirinya? Di mana silapnya?

Hisyam merenung Salina di hadapannya dengan pandangan mata yang tajam. Dia menarik tangannya daripada genggaman gadis itu. Dalam hati, dia sudah lama sedar bahawa Salina masih sabar menunggunya. Sejak sekian lama mereka berkawan, dia tahu Salina mencintainya. Sudah berkali-kali gadis ini meminta dia menghantar wakil untuk meminang. Mereka memang sudah sepatutnya berkahwin, tapi dia yang sentiasa mengelak. Dia yang selalu mencari alasan untuk menolak.

Memang dia gembira bila bersama dengan Salina, namun dalam masa yang sama dia tidak merinduinya bila mereka berjauhan. Memang Salina pandai mengambil hatinya, tetapi dalam masa yang sama dia tidak rasa bersalah jika bersama dengan gadis-gadis yang lain. Bukan dia tidak cuba mencintai Salina, namun perasaan itu tidak pernah hadir.

Kata orang, kalau seseorang itu jatuh cinta, dia akan sering terpandang-pandang wajah pujaan hatinya. Rindu akan datang bertamu kalau sehari tak bertemu. Hati akan bergetar hebat bila bersemuka. Rasa ingin bersama si dia akan hadir setiap masa. Cemburu melanda bila gadis itu tersenyum kepada lelaki lain. Di hati akan selalu terasa ingin menyentuhnya.

Namun, semua itu tidak ada dalam dirinya. Tidak hadir dalam jiwanya. Salina tidak mampu menghadirkan semua rasa itu.

Bila mereka tidak bertemu, dia tidak pernah merasa rindu. Tidak pernah terbayang pun. Di hati, tidak pernah terbit rasa cemburu bila melihat gadis itu bermesra dengan lelaki lain. Dia tidak kisah! Dia tidak peduli!

"Maafkan I," bisik Hisyam.

Hisyam memang kasihan melihat Salina menangis, tetapi untuk kesekian kali, dia terpaksa berterus terang. Dia tidak mahu Salina terus-menerus menanti dirinya.

"Lin, you cantik. Bila-bila masa you akan dapat pengganti diri I. Janganlah menangis. I tahu I salah, tapi I tak mahu tipu diri you. I tak mahu you tunggu I lagi. You berhak dapat lelaki yang lebih baik daripada I." Nada suara Hisyam lebih tegas kali ini.

Dia mengharapkan Salina faham kata-katanya. Dia tidak mahu Salina terus mengharap. Dia yakin dirinya tidak akan jatuh cinta dengan Salina. Dia yakin ruang hatinya tiada tempat untuk Salina.

"Tapi, I tak nak lelaki lain. I cuma nakkan you. I cuma cintakan you. Syam, bukaklah sikit pintu hati you untuk I. Tolonglah... I akan membahagiakan you. I janji!" Salina masih merayu.

Hisyam menggelengkan kepalanya. Bagaimana lagi harus dia menerangkan kepada gadis ini tentang isi hatinya? Mengapakah Salina tidak mahu faham-faham tentang perasaannya?

"Tolonglah, Salina, I tak dapat nak bahagiakan you. Dalam hati I ni, tak ada tempat untuk you. Lin, I bukan tak cuba menyayangi you. Dah! I dah cuba, tapi hati I ni tak dapat dipaksa. Kalau tidak, dari dulu lagi I dah ajak you kahwin. Tapi, I tak cintakan you. You nak I buat macam mana lagi?"

"Jadi, siapa gadis yang bertuah tu? Adilah ke? Atau… Farah? Siapa Syam? I nak tahu juga apa lebihnya mereka berbanding dengan diri I ini. Cakap, Syam!"

Mendengar soalan Salina, tiba-tiba sahaja Hisyam terkenang seraut wajah itu. Seraut wajah yang sungguh lembut dan memiliki sepasang mata bundar yang menawan. Hidung yang mancung, tetapi kecil. Pipi putih yang gebu. Bibirnya yang basah.

Dahi Hisyam berkerut-kerut. Aduh, tak pasal-pasal pula dia teringatkan budak perempuan itu. Perempuan yang pertama kali ditemui, malah mungkin itu juga adalah pertemuan terakhir mereka. Pelik!

Perhatian kembali kepada Salina. "I belum jumpa gadis itu, Lin. You tak perlu marahkan kawan-kawan I yang lain. Bukan sebab mereka I tak terima you untuk jadi isteri I. I saja yang belum bersedia."

Salina mengesat air mata dengan tisu. Dia masih ingin tahu tentang sesuatu. "Maknanya, you masih belum jatuh cinta? You belum ada buah hati? Betul, Syam?" soal Salina.

Hisyam mengeluh lagi. Dia tahu apa yang tersirat di sebalik soalan itu. Tahu yang Salina masih berfikir bahawa satu hari, mereka akan bersama. Aduhai, susah sungguh untuk meyakinkan gadis yang seorang ini.

"Memang I belum jatuh cinta lagi, tapi I tak nak you tunggu I. I nak you faham tu. I nak you cari lelaki lain. I nak you lupakan I. Lin, tolong dengar cakap I ni baik-baik. Hubungan kita hanya setakat kawan. Tak akan lebih daripada itu. Dah, jom kita balik."

Hisyam bergegas bangun. Ingin segera pulang. Dia bosan!

4 comments:

  1. Anonymous said...
     

    salam.. jalan cerita novel ni menarik.. i like it.. kak ana

  2. Anonymous said...
     

    best .. :))

  3. luahan otak fatihah said...
     

    memng best!.. cpat2 lah msukkan n3 yg bru ye...

  4. Anonymous said...
     

    seronok larh..
    best..

Post a Comment