Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 4

4

Sangka Maria, pertemuan dan lakonan itu adalah yang pertama dan terakhir. Dia fikir mereka tidak akan bertemu lagi. Namun, takdir terjadi sebaliknya. Mereka bertemu buat kali kedua. Ketika itu Maria bersama Yana, teman baik dan rakan serumah, ingin makan tengah hari di sebuah gerai di Kampung Baru.

Mereka baru sahaja duduk ketika matanya terpandang kereta CRV berwarna merah hati di tempat parkir. Dalam debaran dada yang tidak menentu, matanya melingas mencari pemilik kereta itu. Dalam hati, dia berdoa dan berharap bahawa kereta itu bukan milik Hisyam yang ditemuinya beberapa hari lalu. Malangnya, dalam pencarian itu, wajah dan senyuman lelaki itu yang dilihat.

Yana diajak untuk makan di tempat lain. Dipujuknya rakannya itu agar menurut kehendaknya.

"Aku letihlah, Lia, makan kat sini ajelah."

Mahu tidak mahu, Maria terpaksa akur. Terus duduk di situ dan berharap agar Hisyam sudah melupainya.

Sekali lagi dia silap. Hisyam tiba di meja mereka tidak lama kemudian.

"Assalamualaikum, Maria. Dah seminggu tak jumpa. Awak apa khabar?"

Tanpa meminta izin, lelaki itu terus duduk di hadapan mereka.

"Lia, siapa ni?"

Soalan Yana mengejutkan Maria. Belum sempat menjawab, Hisyam menyindir dirinya. "Hai, takkan dah lupa pulak? Kan saya ni boyfriend awak minggu lepas?"

Mencerun mata Maria memandang Hisyam.

Eii... mulut tu... Tak boleh diam ke? Mentang-mentanglah seronok dapat pegang-pegang, dapat peluk, dapat duit... Semua dia nak cerita!

Hisyam tidak mempedulikan wajah yang tegang itu. Dengan bersahaja dia bercerita kepada Yana.

"Masa tu, kawan awak ni dah nak menangis. Boyfriend dia, siapa nama lelaki tu? Ha, Irwan! Dia duk ikut cik adik kita ni. Melekat macam lintah. Hai, kalau saya tak ada masa tu, tak tahulah..."

"Ya? Awak dengan Lia buat apa masa tu?" Yana benar-benar ingin tahu.

Maria diam, berpura-pura tidak mendengar.

"Biasalah! Pasangan bercinta yang sedang sangat bahagia," jawab Hisyam riang.

"Oh, patutlah Irwan dah tak telefon ke rumah. Patutlah aku tengok kau cool aje, Lia. Rupa-rupanya dah dapat pengganti Irwan," usiknya.

Merah padam wajah Maria menahan malu.

"Lelaki tu memang tergila-gilakan kawan awak ni. Mulanya saya rasa hairan jugak, maklumlah dia tu nampak hebat. Tapi, memang patut awak jauhkan diri awak daripada dia, Maria. Tak baik runtuhkan masjid orang lain. Berdosa." Hisyam memberi nasihat tanpa diminta.

Yana mengangguk tanda bersetuju. "Irwan tu…"

"Yana! Dahlah tu. Tak payah nak cerita tentang si Irwan tu lagi." Maria bersuara tegas.

Makanan yang dipesan sudah pun sampai. Nasi goreng kampung untuknya, dan nasi pattaya untuk Yana bersama air perahan oren. Yana yang sememangnya lapar terus enak menikmati hidangan. Sedangkan Maria, mampukah menelan bila sepasang mata Hisyam asyik merenungi dirinya?

"Kenapa awak datang sini? Pergi balik ke tempat awak. Kesian saya tengok girlfriend awak tu. Ada ke patut awak tinggalkan dia sorang-sorang kat sana," kutuk Maria.

Hisyam ketawa kecil. "Tak apa, tadi saya dah pesan pada dia supaya masuk dalam kereta lepas dia habis makan."

Maria mendengus. Dia menunggu Yana menghabiskan makanannya. Dia ingin segera pergi meninggalkan lelaki itu.

"Yana, kau dah habis makan, kan? Jom kita balik!"

Maria terus memanggil pemilik kedai itu untuk membayar harga makanan mereka.

Lelaki yang memakai apron hijau itu datang sambil tersenyum. "Semuanya 12 ringgit, cik."

Maria baru hendak mengeluarkan wang daripada dompet ketika Hisyam menghulurkan dua keping not berwarna merah kepada pemilik kedai itu. Pantas sahaja wang baki diberi kepada Hisyam.

"Terima kasih, encik," kata pemilik kedai itu sambil mengemas pinggan dan gelas serta mengelap meja sebelum berlalu ke gerainya.

Dua pasang mata memandang ke arah Hisyam. Ada kemarahan dalam mata milik Maria.

"Kenapa susah-susah?" soal Maria tegas.

"Tak susah, saudari. Duit yang awak bayar saya hari itu pun tak luak lagi."

Tiba-tiba Yana ketawa semula. "Maria betul-betul upah awak? Berapa dia bayar?"

"Adalah..." sahut Hisyam sambil ketawa kecil.

Maria mengerutkan dahi. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang melucukan mereka berdua. Memandang Yana, dia merasa kecil hati. Memandang Hisyam, dia geram. Lelaki itu seronok sungguh membuka rahsia.

"Encik, dah lama sangat encik dekat sini. Nanti merajuk pulak buah hati encik tu. Lebih baik encik pergi cepat. Kalau dia dah mula marah, susah pulak. Takut diserangnya saya nanti!" marah Maria.

Hisyam tersengih. Wajah Maria ditatap dalam-dalam.

"Sampai hati awak halau saya, Maria. Baiklah, saya boleh pergi. Tapi, sebelum tu, boleh tak awak beri nombor telefon awak pada saya?"

Maria pura-pura tidak mendengar permintaan Hisyam. Hatinya benci melihat perangai lelaki itu. Buaya macam Irwan juga. Teman wanitanya di dalam kereta dan di sini, dia meminta nombor telefon perempuan lain. Bagus sangatlah tu!

"Cik Yana, awak tinggal serumah dengan mak cik ini ke?"

Hisyam mengalihkan tumpuan kepada Yana pula. Dia tahu, Maria tidak akan memberikan nombor telefon yang diminta. Jadi, terpaksalah dia mendapatkannya daripada Yana. Dia yakin, Yana akan memberikannya.

Yana hanya mengangguk tanda menjawab soalan Hisyam.

"Kalau macam tu, awak ajelah yang beri pada saya nombor telefon rumah awak. Boleh, kan?"

Maria jadi marah. Dia semakin sakit hati. Geram. Untuk apa nombor telefon itu? Untuk menghubunginya? Buat apa? Dia tidak sukakan lelaki ini. Sikap lelaki ini amat menyakitkan hatinya. Dia benci!

"Awak nak buat apa mintak nombor telefon rumah kami?"

"Nak telefon awaklah!"

Mak... lelaki ni memang pelik.

"Kan saya dah cakap hari tu, saya tak nak jumpa awak lagi. Kan saya dah suruh awak buat-buat tak kenal saya. Awak dah lupa ke?" tanya Maria.

Hisyam tidak peduli. Tangan dihulurkan kepada Yana. "Yana, please...!"

Yana yang merasa kasihan, tidak mempedulikan jegilan Maria terhadapnya.

Akhirnya, Hisyam mendapat apa yang dia mahu. Dia tersenyum puas.

"Tak salah kan kalau saya call awak? Nak tanya khabar aje? Boleh?" soal Hisyam. Melihat Maria menjeling kepadanya, dia tersengih. "Terima kasih. Maria, saya balik dulu. Nanti saya telefon awak, ya!"

Hisyam tidak jemu-jemu menghubungi Maria. Bila Maria tidak mahu menjawab, terpaksalah dua orang lagi teman serumahnya, Aini dan Salwa, campur tangan. Mencipta alasan demi alasan. Tetapi, lelaki yang seorang ini bagai tidak memahami. Terus menerus menelefon.

"Lia, jawablah telefon tu. Tentu Hisyam tu," bisik Yana kepada Maria yang sedang leka menjahit.

"Malaslah. Kau aje yang jawab. Kalau dia, cakap aku dah nyenyak tidur," balas Maria selamba.

"Tidur? Pukul sembilan? Gila kau!" celah Aini pula.

"Tolonglah, Lia. Jawablah cepat. Kesian Hisyam tu tunggu kau," pujuk Yana.

Mahu tidak mahu, Maria terpaksa juga mengangkat gagang telefon.

"Assalamualaikum, boleh saya cakap dengan Maria?"

Memang suara garau itu milik Hisyam.

Maria mendiamkan diri. Malas dia hendak menjawab. Dalam hati, dia geram kepada lelaki yang seorang ini. Tidak pernah dia ingin bercakap di talian, tetapi lelaki ini berpura-pura tidak peduli. Berpura-pura tidak mengerti.

"Hmm, itu mesti awak, kan? Tak baik tahu, tak jawab salam saya. Berdosa!" kata Hisyam dengan iringan tawa kecil.

Eleh, orang jawab dalam hatilah... gumam Maria.

"Maria, Maria... Diam dan beku. Sampai bila awak tak nak cakap dengan saya?"

Maria mengerutkan dahi mendengar pertanyaan itu. Ada rajukkah dalam nada suara itu tadi? Dia berkecil hatikah? Dia marahkah? Hisy, biarlah! Pedulikan! Bukan aku yang suruh dia telefon.

Maria mendengar lagi. Suara Hisyam menjadi lebih lembut. Malam-malam begini, suara itu Maria rasakan terlalu romantis pula. Aduh, macam-macam.

"Maria, cakaplah dengan saya. Kalau awak nak marah pun tak apa, saya rela."

Pulak! Lelaki ni dapat penyakit apa agaknya? Kena marah pun tak apa. Baiklah!

"Encik Hisyam, kan saya dah kata, jangan telefon saya. Kenapa encik telefon jugak? Nasiblah kalau saya tak nak cakap dengan awak. Saya dah pesan, tapi awak yang tak dengar. Kenapa merungut pulak?" bebel Maria. Nada suaranya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati.

Hisyam menghela nafas. "Susah betul nak dekati awak, Maria. Ini semua kerana lelaki itu, kan? Disebabkan Irwan, awak anggap semua lelaki sama macam dia. Betul tak?"

"Tak betul!"

"Habis, kenapa awak tak mahu cakap dengan saya? Kenapa tak mahu kawan dengan saya?" soal Hisyam.

"Awak jangan paksa saya, boleh tak? Dah saya tak mahu, awak carilah perempuan lain," jawab Maria tegas.

"Kerana dia, niat hati saya yang ikhlas nak kawan dengan awak, awak tolak," rajuk lelaki itu.

"Pintu hati saya belum terbuka, nak buat macam mana?"

"Maria, saya tahu awak masih sedih, tapi awak kena faham yang bukan semua lelaki macam dia."

"Ya ke? Encik Hisyam, awak pun dua kali lima macam dia jugak. Awak tu dah ada girlfriend, kan? Tapi masih nak…"

Hisyam memintas.

"Kalau perempuan yang makan dengan saya tu awak ingat girlfriend saya, awak salah. Kami kawan aje!"

Maria diam. Malas dia hendak membalas. Sudah tentu lelaki itu akan memberi pelbagai alasan untuk menafikan hubungannya dengan mana-mana perempuan lain. Dia faham benar dengan spesies ini. Bila hendak memikat, perempuan lain semuanya jahat. Tak sesuai! Hanya yang ingin dipikat itulah yang terbaik.

Bila sudah dapat, mulalah berniat mencari yang lain pula. Kekasih yang dipuji tadi akan dikutuk mati-matian. Begitulah sikap Irwan dahulu. Pastinya lelaki di hujung talian ini tidak berbeza.

"Maria, awak kecewa sangat dengan dia, ya?" Nada suara Hisyam berbaur cemburu.

"Kenapa tanya macam tu?"

"Luka hati awak tu perlu diubati."

"Dan, orang yang paling layak ialah awak, begitu?" sindir Maria dalam tawa.

"Ya!"

Aduhai, lelaki ini memang tidak tahu malu, marah Maria dalam hatinya.

"Saya tahu saya dapat membahagiakan awak."

"Jangan mimpilah!" balas Maria lalu terus menghempas gagang telefon itu. Hatinya tidak dapat menerima sikap Hisyam. Kata-kata dan sikap lelaki itu tidak disukai. Terlalu mendesak. Terlalu egois.

Maria semakin berang apabila telefon berbunyi sekali lagi.

Sebaik gagang diangkat, dia menjerit, "Kan saya dah kata, jangan telefon lagi. Saya tak suka dengar suara awak dan saya tak mahu dengar. Kenapa masih tak faham-faham juga?"

Maria tidak mengendahkan wajah kawan-kawan yang penuh tanda soal ketika merenungnya. Dia memang marah. Dia memang sudah hilang sabar. Lama kebisuan di hujung talian sehinggalah Maria dikejutkan oleh suara adiknya, Mazlan.

"Assalamualaikum, along. Apa khabar? Along marah pada siapa?"

Maria terdiam. Malunya... Kiranya Mazlan yang menghubungi, bukan Hisyam. Aduhai, bagaimana harus berterus terang dengan adiknya itu?

"Waalaikumussalam, Lan. Along baik. Dah lama sampai dari Teluk Intan?"

Adiknya balik kampung semalam. Dia sepatutnya membonceng motosikal Mazlan seperti selalu, namun kerana banyak baju pelanggannya yang masih belum dapat disiapkan, dia terpaksa membatalkan niat. Rindu kepada emak dan adik terpaksa disimpan diam.

"Lan baru tiba. Lan telefon ni sebab nak sampaikan salam mak dan Muaz pada along."

"Waalaikumsalam. Mak dengan Muaz sihat ke, Lan?"

"Alah, emak macam biasalah, sibuk memanjang. Dia orang sihat walafiat. Macam selalu, mak suruh sampaikan pada along supaya along jaga diri baik-baik. Dia suruh along selalu telefon dia. Bukan along tak tahu mak tu. Dua tiga hari tak dengar suara along, macam setahun lamanya. Jangan lupa, tau! Okeylah, Lan nak studi ni. Selamat malam."

"Lan memang selalu macam ni. Cakap dengan along kejap aje... Tapi, kalau cakap dengan makwe?"

Mazlan hanya ketawa sebelum meletakkan gagang.

Maria bungkam. Kata-kata Mazlan tadi kembali diingat.

"Emak pesan supaya along jaga diri baik-baik."

Sampai hari ini, walau sudah hampir lapan tahun dia berhijrah ke ibu kota, Maria masih mengingati kata-kata daripada ibunya.

"Duduk jauh daripada keluarga, Lia bebas untuk melakukan apa sahaja. Bebas melakukan perkara baik, bebas juga untuk membuat yang buruk. Terserah kepada Lia. Buatlah pilihan. Mak tak ada di sisi Lia untuk sentiasa mengingatkan. Tapi, mak hanya nak beritahu Lia satu perkara... Maruah diri amat penting bagi seorang perempuan. Ingat, sekali maruah tergadai, sampai bila-bila pun ia tidak akan dapat diambil semula. Mak mahu Lia sentiasa menjaga diri, jaga maruah. Itu sahaja harta yang Lia ada. Memang benar, kalau Lia nak buat jahat di Kuala Lumpur tu, mak takkan tahu. Ada macam-macam cara yang Lia boleh gunakan untuk membohongi mak. Tapi, sayang, Allah sentiasa melihat apa yang Lia buat. Ingat tu!"

Maria mengeluh. Dia menjadi malu tiba-tiba. Diri rasa tersindir.

Peristiwa yang berlaku bermain semula di fikiran. Rasa malu hadir setiap kali dia terbayangkan wajah lelaki itu. Maruah dirinya dirasakan benar-benar hilang waktu itu. Kalaulah ibunya tahu, tentu ibunya juga merasa malu dengan kelakuannya yang gedik. Sanggup membiarkan lelaki itu memeluk, membelai, mengusap lengannya, pinggangnya. Aduhai, harga diri dirasakan terbang melayang.

Sesekali hatinya sakit bila teringatkan perangai Hisyam. Dia tahu lelaki itu sebenarnya mengambil kesempatan ke atas dirinya. Lelaki itu tahu bahawa dia tidak berdaya waktu itu. Hisyam tahu betapa nekadnya dia ingin meninggalkan Irwan lalu dia sengaja berlakon kononnya supaya nampak real. Supaya Irwan yakin bahawa mereka berdua sedang benar-benar bercinta. Hai, semakin dia mengingati lelaki itu, semakin sakit hatinya.

Kini, Hisyam pula yang mengganggu. Lelaki itu semakin kerap menelefon. Dia seakan-akan tidak mengenali erti jemu. Tidak memahami erti putus asa. Seperti malam ini. Dia sedang mempelawa Maria makan malam bersama.

Seperti masa-masa yang lepas, Maria menolak setiap pelawaan. Sudah kering ideanya mencipta alasan.

Hisyam tidak pernah mahu memahami. Dia tetap mahu Maria menerima jemputannya. Dan, sekali ini, dia sudah mula mengungkit.

"Awak masih berhutang dengan saya, Maria. Saya tahu awak masih belum lupa tentang itu."

"Jadi, kerana terhutang budi, saya mesti keluar dengan awak? Maknanya, pertolongan awak hari tu tak ikhlas, kan?" tengking Maria.

Hisyam marah dituduh begitu. "Awak menyesal upah saya, itu kan yang sebenarnya? Itu mestilah sedang menggelengkan kepala tu. Tak payah geleng, saya tahu tekaan saya tepat."

"Awak ni memang pandai buat saya sakit hati, tahu!" jerit Maria.

"Yalah. Sakit hati sebab tak dapat Irwan."

"Kenapa awak ni?" Maria sudah tidak dapat mengawal diri.

"Hari tu, awak sebenarnya nak buat Irwan cemburu. Sebenarnya awak harap agar dia merayu pada awak. Sekarang rancangan awak dah gagal. Dia tak contact awak dah. Sebab itu awak marahkan saya. Bagi awak, sayalah yang buat si Irwan tu tinggalkan awak. Betul tak? Maria, dia dah kahwin. Awak tak sepatutnya mengharap pada dia lagi. Tak baik awak ganggu suami orang," marah Hisyam.

Geramnya Maria mendengar tuduhan itu. "Awak ni memang melampau. Ada ke tuduh saya macam tu? Untuk pengetahuan awak, saya tak kisah sama ada Irwan tu dah kahwin atau tidak. Saya dah tak mahukan dia lagi. Faham!"

"Habis tu kenapa susah sangat nak terima saya?"

Terkejut Maria mendengar pertanyaan itu. Lelaki ini tidak berselindung langsung. Direct to the point!

"Kenapa awak diam? Jawablah soalan saya tu." Hisyam masih lagi mendesak.

Maria mengendurkan suaranya. "Encik Hisyam, awak cari gadis lain, ya. Saya tak dapat nak terima awak."

Bila Hisyam mendiamkan diri, Maria menyangka lelaki itu sudah dapat menerima jawapannya. Rupa-rupanya tidak! Sakit hatinya pada lelaki itu makin meluap-luap.

"Mengaku ajelah yang awak masih rindukan lelaki bernama Irwan tu!"

"Kenapa dengan awak ni? Tak habis-habis awak menuduh saya yang bukan-bukan. Jahat sangat ke saya ni di mata awak? Murah sangat ke harga diri saya?"

"Apa? Tuduh yang bukan-bukan? Maria, kalau awak tak ada apa-apa perasaan pada dia, tentu awak dah terima pelawaan saya. Ini tidak! Awak asyik menolak. Apa lagi yang saya nak fikir?" marah Hisyam berterusan.

"Kenapa awak ni masih tak faham-faham? Bukan sebab dia, saya tak terima awak, tahu tak?"

"Mesti ada alasan yang kukuh, kan?"

"Tak ada! Saya belum bersedia. Itu aje!"

"Maria, kita kawan aje dulu. Takkan itu pun tak boleh..." pujuk Hisyam lembut.

"Malaslah nak layan awak. Saya kata tak nak, tak naklah!"

SEJAK kejadian itu, Hisyam tidak lagi menghubungi Maria. Maria mula merasa gelisah. Dia tertanya-tanya mengapa lelaki itu menyepikan diri. Apakah Hisyam marahkan dirinya? Sudah berputus asakah lelaki itu untuk terus mencuba? Atau, adakah lelaki itu sudah bosan dengan sikap keras kepalanya? Mungkinkah lelaki itu sudah berkecil hati? Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia jadi rindu untuk mendengar suara garau itu.

0 comments:

Post a Comment