Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 9

9

MARIA tergesa-gesa balik ke rumah. Walau letih kerana berjaga sepanjang malam, digagahi juga dirinya untuk melangkah keluar dari kawasan kilang. Matanya liar mencari Salwa. Dia rasa bersyukur kerana sahabat baiknya itu sanggup mengambilnya pulang dari tempat kerja pagi ini.

"Hai, nak balik? Jomlah saya hantarkan." Satu suara menegurnya.

Maria menoleh ke arah suara itu. Dia benar-benar terkejut. Setelah sekian lama menyepi, Irwan menegurnya kembali. Wajah lelaki itu jelas gembira melihat dirinya. Maria terpanar.

"Hmm… kurusnya awak, Maria. Masih rindukan saya?" Irwan bertanya lagi. Dia tidak mempedulikan jelingan yang Maria beri.

Maria pura-pura tidak mendengar walaupun rasa hairan tetap ada kerana inilah kali pertama pemuda itu menegurnya selepas sekian lama.

"Kekasih awak yang hebat tu mana, Maria? Dah lama saya tak nampak dia? Atau, dia pun dah tinggalkan awak, macam yang saya buat dulu?"

Kali ini Maria tidak mampu lagi berlagak selamba. Dia merenung wajah Irwan. Irwan kelihatan riang. Maria keliru dengan tingkah Irwan. Maria tidak dapat menahan diri.

"Seronok benar awak, ya? Tapi, kalau tak silap saya, dulu tu awak merayu-rayu nak balik pada saya, kan?"

Langkah dipercepatkan untuk menjauhi diri daripada Irwan, namun kata-kata Irwan menghentikan Maria.

"Kenapa, Hisyam merayu-rayu pada awak ke? Tak mungkin, tak mungkin. Dia lebih kuat egonya daripada saya. Saya tahu tu. Tapi, tak tahulah saya kalau awak offer dia sesuatu yang hebat."

Maria menjadi marah. Tuduhan Irwan itu amat berat. Apakah lelaki itu ingat dirinya perempuan hina. Sanggup menggadai maruah?

"Kenapa dengan awak ni? Awak peduli apa kalau Hisyam tinggalkan saya atau tidak. Apa yang terjadi antara kami adalah kisah kami yang tak ada kena- mengena dengan awak, faham?"

Kali ini ketawa Irwan itu bertambah kuat.

"Well, jadi betullah awak dengan dia dah berpisah, ya? Untuk pengetahuan awak, Maria, dia tinggalkan awak atas nasihat saya."

Maria benar-benar terkejut mendengar berita itu. Wajah Irwan dipandang lama. Wajahnya sendiri menjadi pucat serta-merta.

"Saya dah bongkar semua rahsia awak pada dia. Malah, saya dah beritahu dia yang kalau dia ambil awak, dia sebenarnya ambil sisa saya. Itu sebabnya dia tinggalkan awak, tahu?"

Maria menggeleng-gelengkan kepala, cuba menyerap masuk apa yang dia dengar ke dalam otaknya. Cuba memahami.

Irwan menyambung cerita, kali ini dia berkata dengan suara yang lebih kuat. Beberapa orang yang ada di situ turut memasang telinga. Pastilah apa yang mereka dengar pagi ini akan menjadi cerita sensasi di kilang nanti.

"Awak ingat senang-senang saya nak lepaskan awak pada dia? Selepas apa yang awak dah buat pada saya? Selepas awak malukan saya? Maaflah, Maria... Kalau awak boleh mainkan saya, hari ini awak rasa sakit kan bila dia mainkan awak? Betul tak?"

"Saya mainkan awak, Irwan? Memanglah awak ni teruk! Hina!" Maria menjerit.

Irwan semakin sakit hati. "Saya hina? Tengoklah siapa yang bercakap? Awak ingat awak tu baik sangat? Awak lagi teruk. Murah. Belum kahwin dah benarkan jantan tu peluk, cium. Hisy, mujur kita tak kahwin. Entah-entah awak tu dah…"

"Hei, gila! Cakap tu baik-baik sikit. Dah macam-macam fitnah yang awak tabur pada Lia ni. Cukuplah. Belajar-belajar bertaubat. Esok kalau mati, jenuh cari dia nak minta ampun. Takut semua pahala awak tu dapat pada Lia nanti!" sergah Salwa. Entah bila dia sampai. Tetapi, kehadirannya melegakan Maria.

"Dahlah, Wawa. Jom kita balik." Maria menarik tangan sahabatnya.

Irwan masih belum puas rupanya.

"Hei, Maria, kalau awak nak tahu, sekarang ni hati saya puas sangat kerana awak dengan dia dah putus. Saya cerita pada dia macam-macam. Saya kata awak suka sangat bila saya sentuh awak. Saya cerita pada dia awak suka saya kat mana pulak. Hah, ternganga dia! Padan muka awak, padan muka dia. Sama-sama makan hati."

Kali ini, Maria tidak dapat lagi menahan perasaan marahnya. Dia pergi mendapatkan Irwan.

"Selama ini saya memang tahu awak ni jahat, tapi saya tak sangka yang awak sebegini hina. Awak tahu tak yang awak sedang memfitnah saya? Awak tahu apa hukumnya? Tentu awak tak tahu, kan? Dengar sini baik-baik, Irwan. Awak boleh kata apa saja tentang saya, saya tak peduli. Tuduhlah apa sahaja, saya tak kisah. Nak tahu kenapa? Kerana Allah Maha Mengetahui siapa saya. Suka hati awak nak beritahu satu dunia sekalipun tentang keburukan saya, tak apa. Sebarkanlah fitnah awak tu. Semoga awak gembira dengan hidup awak, dengan perbuatan awak. Assalamualaikum!"

Maria berlalu meninggalkan Irwan berdiri terpaku di pintu kereta.

Muka Irwan sudah berubah. Entah mengapa dia jadi gentar mendengar kata-kata Maria. Dahinya berkerut seribu.

Maria menghenyakkan dirinya di sebelah Salwa.

Tanpa suara, Salwa memecut keluar dari kawasan kilang. Hatinya belas melihat titisan air mata Maria. "Tak sangka kau dengan Hisyam berpisah kerana Irwan, Lia," keluhnya.

Maria diam. Dia tidak mampu bersuara. Dia sangat marahkan Hisyam ketika itu. Hisyam yang selama ini diharapkannya, rupa-rupanya telah termakan hasutan Irwan. Hisyam yang mengaku cintakan dirinya sepenuh hati, rupa-rupanya lebih mempercayai Irwan sehingga tidak mahu bertanya perkara sebenar kepadanya. Rupa-rupanya Hisyam terpedaya dengan hasutan Irwan sehingga lelaki itu lupa bahawa dia seharusnya tidak mendengar cerita daripada sebelah pihak sahaja.

"Pelik betul Hisyam tu, kan? Dia kata dia sayangkan aku, tapi dia percaya cakap Irwan. Dia sepatutnya dengar penjelasan aku sebelum buat keputusan untuk tinggalkan aku. Ini tidak, dia pergi begitu aje. Siapa aku ni sebenarnya dalam hati dia? Apa aku tak berhak membela diri? Lelaki… macam inilah selalunya. Bila kita dah suka pada dia setengah mati, mulalah buat hal. Irwan ke, Hisyam ke, abah aku ke... semuanya sama! Menyakitkan hati aje!"

Salwa tidak menjawab. Melihat penderitaan Maria, dia membulatkan tekad untuk tidak jatuh cinta. Dia bimbang menjadi selemah sahabatnya itu bila dirinya dikecewakan. Dia tidak mahu membuang air mata hanya untuk seorang insan bergelar lelaki seperti mana yang Maria lakukan. Semua itu sia-sia. Dia memberitahu dirinya.

"Aku berjanji tak akan jatuh cinta lagi. Cukuplah sekali ini aje. Aku dah serik," kata Maria tegas.

Salwa sempat mengerling ke arah sahabatnya. Betulkah janji itu atau… akan lemahkah Maria bila Hisyam ingin kembali setelah mengetahui perkara sebenar? Biarlah masa yang menjadi saksi.

0 comments:

Post a Comment