Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 6

6

AISYAH sudah siap mengemas dapur. Dia kepenatan, namun masih ingin menjenguk anak sulungnya yang sedang nyenyak tidur di dalam bilik. Jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Malam sudah bertukar ke dinihari. Sesekali kedengaran bunyi ayam jantan berkokok.

Dengan perlahan-lahan Aisyah menaiki anak tangga. Tidak lama kemudian, dia memasuki bilik tidur anak gadisnya. Wajah mulus itu ditatapi. Bangga rasa hati kerana melahirkan seorang anak yang cantik begini. Wajah Maria mirip wajahnya. Namun, kulit Maria yang cerah itu diwarisi daripada suaminya. Bila terkenang lelaki itu, rasa sedih datang bertandang. Terutama bila memandang seraut wajah anaknya itu. Anak yang sudah terlalu banyak berkorban untuk dirinya. Malah, pengorbanan Maria juga tidak terhitung untuk kedua-dua orang adik lelakinya.

Aisyah teringatkan peristiwa yang berlaku beberapa bulan yang lepas. Peristiwa yang sama sekali tidak diduga akan berlaku. Pada ketika itu dia sedang memasak di dapur. Dia sedang bersendirian seperti selalu. Muaz masih di sekolah.

"Assalamualaikum..."

Suara yang amat dikenali memberi salam. Dan, ketika Aisyah menoleh, suaminya, Mustafa, sedang berdiri di muka pintu.

Selepas begitu lama menghilangkan diri, lelaki itu muncul semula. Aisyah benar-benar terperanjat. Terlepas senduk yang dipegang. Terpandangkan Mustafa, hatinya segera mengingati anak perempuannya. Wajah Maria terbayang di ruangan mata dan kemarahan yang terpendam sekian lama, hadir semula.

"Waalaikumsalam. Hah, abang? Abang buat apa datang ke rumah saya ni?"

Itulah soalan pertama yang ditanyakan Aisyah kepada lelaki yang masih bergelar suaminya. Walau sudah bertahun-tahun dia ditinggalkan. Lelaki yang masih merupakan ayah kepada tiga orang anaknya. Walau selama ini tidak ada nafkah yang diberikan.

"Aisyah, boleh abang masuk?"

Pertanyaan itu tidak dijawab. Walau marah, lelaki itu adalah tetamunya. Jadi, Aisyah telah menjemput suaminya duduk, malah telah meletakkan secawan kopi di atas meja.

"Anak-anak mana, Aisyah?"

Aisyah sebenarnya hairan mendengar suara yang kedengaran begitu lembut dan asing di telinga. Dia bertambah bingung bila memikirkan mengapa lelaki ini perlu tahu tentang anak-anak.

"Hai, tak pernah-pernah dibuat bertanya tentang mereka, apa pulak mimpi awak kali ni?" sindir Aisyah.

Melihat Mustafa diam, Aisyah bertanya lagi. "Awak buat apa kat sini, bang? Dah tujuh tahun awak sepi tanpa berita. Mimpi apa semalam, tiba-tiba awak datang dan bertanyakan anak-anak? Dah buang tabiat?"

Mustafa menghela nafasnya perlahan-lahan sebelum berkata, "Apa khabar Lia sekarang? Tentu dia dah dewasa, kan? Saya rindu sangat pada dia."

Kelembutan suara itu menyakitkan hati Aisyah. Masih terbayang perbuatan suaminya itu kepada satu-satunya anak perempuan mereka. Tiba-tiba hatinya berasa sakit. Kesakitan itu semakin bertambah bila lelaki itu bertanya khabar seolah-olah dia begitu mengambil berat?

"Awak rindukan dia, bang? Hai, kalaulah Lia ada kat sini, mestilah dia ketawa sakan. Mana tidaknya, lelaki yang pernah memukul dia setengah mati, mengaku rindukan dia. Hai, memanglah awak ni dah tak betul. Dah nak mati, kut!"

Ringan sahaja mulut Aisyah mengeluarkan kata-kata itu. Peduli apa, fikirnya. Inilah lelaki yang telah menyakiti anaknya sendiri sehingga Maria tidak dapat bergerak. Pukulan di bahagian belakang badan anaknya itu menyebabkan Maria terpaksa meniarap menahan sakit. Akibat perbuatan suaminya itu, Maria tidak dapat pergi ke sekolah. Selama dua minggu, dia terlantar. Malangnya, di sekolah, ada cerita lain yang timbul. Maria telah dituduh dengan pelbagai fitnah. Ada yang menggelarnya bohsia. Ada yang mengejek menuduh Maria jatuh motosikal kerana turut merempit. Tidak cukup dengan itu, Maria juga dituduh telah menggugurkan kandungan. Maruah anaknya tercemar hanya kerana perbuatan suami di hadapannya ini. Waktu itu tidak ada sesiapa mempercayai kata-kata mereka.

Maria telah dipanggil oleh pihak bimbingan dan kaunseling di sekolah. Dia diminta berterus terang. Sebagai anak, sanggupkah Maria membongkar perbuatan ayahnya yang kejam? Sanggupkah dia memberitahu bahawa dirinya disebat dengan rotan hanya kerana tidak membenarkan si ayah merampas duit simpanan ibunya?

Disebabkan dia membisu, pihak sekolah membuat kesimpulan sendiri. Segala tuduhan dianggap benar. Persekolahannya digantung. Kerana malu, Maria nekad berhenti sekolah. Walau dihalang, Maria tetap berkeras dengan keputusannya. Walau dipujuk, Maria tidak mengendahkan. Hati yang tercalar tidak dapat dipulihkan lagi.

"Kenapa awak diam pulak, bang? Kalau dulu, bukan main awak naik minyak. Sekarang awak dah tak kuat ke? Atau pun Allah dah balas perbuatan awak pada kami, terutamanya pada Lia. Itukah sebabnya, bang? Sebab awak rasa berdosa dan dosa memukul anak itu sedang mengejar awak?" Aisyah terus-terusan mengungkit.

Tiba-tiba Aisyah melihat Mustafa terketar-ketar membetulkan duduknya di kerusi. Ketika lelaki itu merenungnya, ada air jernih bergenangan dan menitis keluar dari kelopak mata. Tidak lama kemudian, lelaki itu sudah menangis teresak-esak sambil berkata-kata. Aisyah terpaksa membuka telinga dengan lebih luas untuk memahami apa yang dikatakannya.

"Maafkan abang, Aisyah. Maafkan abang. Abang tahu, abang berdosa dengan Aisyah dan anak-anak. Ampunkan dosa-dosa abang. Izinkan abang jumpa dengan Lia. Abang nak minta ampun dengan dia. Abang nak cium dia. Abang rindu sangat pada dia."

Walau timbul rasa kasihan, namun rasa marah yang terpendam sekian lama mengatasinya.

"Abang nak minta ampun dengan dia? Abang nak minta maaf? Abang, kalau abang dimaafkan, diampunkan, dapatkah abang bagi balik pada Lia tujuh tahun itu?" Panas sungguh hatinya dengan perangai suaminya itu. Dia ingat, begitu mudah untuk memohon maaf? Dia terus-menerus memarahi Mustafa.

"Abang tahu tak, kerana abang pukul dia, Lia tak dapat pergi ke sekolah, Saya nak bawa dia ke hospital, tapi dia tak mahu. Sebab dia tahu, kalau ke hospital tentu akan jadi kes polis. Tentu awak akan kena tangkap."

Kini Aisyah pula yang menangis.

"Tengoklah, bang. Dalam kesakitan, dia masih sayangkan awak. Masih jaga keselamatan awak. Dia sanggup menderita di rumah…" kata Aisyah lirih.

Hanya tangisan mengisi ruang ketika itu. Aisyah sedih mengenangi kesakitan yang ditanggung anaknya.

Mustafa menyesali perbuatannya.

Aisyah cuba mengawal diri. "Awak tahu tak apa yang berlaku lepas itu? Lia terpaksa berhenti sekolah, bang. Kerana ingin menjaga maruah ayahnya yang tidak bertanggungjawab, dia dituduh yang bukan-bukan. Kerana malu, dia minta izin saya untuk sambung belajar di KL, kat rumah Leha. Tahu apa yang jadi? Bila dia tengok Leha hidup susah, dia batalkan niatnya. Terus dia bekerja di kedai kain dengan gaji 300 ringgit. Dia bagi Leha 100. 150 dia bagi saya untuk belanja rumah, 50 untuk dia, makan, pakai, tambang bas. Tapi, dia tak pernah merungut. Awak kat mana masa tu? Awak senang-lenang dengan bini awak yang kaya. Awak tak ambil tahu hal anak-anak."

"Aisyah…"

"Tak, awak dengar dulu cerita saya."

Aisyah tidak membenarkan Mustafa untuk bercakap. Dia meneruskan, "Bila umur dia 18 tahun, Lia mintak kerja kilang. Sambil-sambil tu, dia ambil upah menjahit. Tak pernah dia lupa nak bagi saya dan adik-adik dia duit belanja. Bila Lan dapat masuk UiTM, dengan duit simpanannya itulah kami gunakan."

Kini Aisyah menarik nafasnya panjang-panjang. Masih mahu bercerita.

"Banyak sangat dia berkorban untuk kami. Muaz tu, dia hantar tuisyen semata-mata supaya adiknya berjaya. Tak pernah sekalipun dia merungut. Sudahlah, bang, tak payahlah susah-susah nak mintak maaf dengan Lia. Hati dia tu dah hancur sangat dengan perbuatan awak dulu. Pergilah balik ke rumah isteri awak yang kaya tu. Hiduplah baik-baik dengan dia. Pergilah, bang! Jangan datang lagi."

AISYAH mengeluh, wajah Maria ditatapi dengan pandangan mata yang berkaca. Dia membelai rambut anaknya yang sedang lena.

"Lia, lelaki itu datang nak mintak maaf pada Lia, tapi mak tak bagi. Mak tak mahu dia jumpa Lia sekarang sebab mak takut Lia terluka. Memang satu hari nanti dia tetap akan balik untuk mewalikan Lia, tapi biarlah kita tunggu masa itu datang sendiri. Buat masa ini, mak tak mahu hati Lia sedih. Tambah-tambah pulak bila mak tengok anak mak balik dengan wajah yang riang."

Aisyah membetulkan selimut anaknya yang sudah menggelongsor ke bawah. Wajah cantik itu ditatap lagi. Kepulangan anaknya kali ini nampak lebih ceria daripada biasa. Ada keriangan yang tersembunyi. Mungkinkah sekeping hati itu sudah dimiliki? Kalau benar, siapakah lelaki bertuah itu?

Aisyah tersenyum. Kalau betul anaknya itu sudah jatuh cinta, dia pasti tidak lama lagi dia akan mengetahui kerana selama ini Maria tidak pernah berahsia dengannya.

"Mak, mak tak tidur lagi? Dah pukul berapa ni?"

Suara Maria mengejutkan Aisyah. Wajah Maria ditatap penuh kasih sayang.

"Pukul 2.00. Mak ingat nak jenguk kamu sekejap sebelum mak masuk tidur."

"Mak, marilah tidur dengan Lia. Lia nak peluk mak."

Suara manja Maria membuat Aisyah ketawa. Maria bergerak ke kiri supaya Aisyah dapat mengambil tempatnya untuk tidur. Bila badan Aisyah sudah dibaringkan, Maria lantas memeluk tubuh Aisyah. Terasa kehangatan kasih sayang menyerap ke seluruh jiwa raganya.

Tangan Aisyah membelai rambut Maria. "Hmm, sekarang peluk emaklah. Tak lama lagi, Lia peluk orang lain, Lia lupa emak pulak."

Maria tergelak mendengar usikan emaknya itu.

"Tak samalah, mak," jawab Maria lalu tertunduk malu. Dia menyembunyikan wajah di bawah ketiak emaknya.

Aisyah ketawa. "Hmm, memanglah tak sama."

"Mak ni... Kenapa suka sangat usik Lia macam tu? Dah tak sabar nak bermenantu ke?" Giliran Maria pula mengusik ibunya.

"Tentulah! Bukan setakat nak menantu. Mak nak cepat-cepat dapat cucu."

Hangat terasa pipi Maria dalam kedinginan malam itu. Ingatan terhadap Hisyam menjengah. Apakah dia sudah jatuh cinta kepada lelaki itu? Ah, mengarut. Tapi, sejak kebelakangan ini, wajah lelaki itu asyik bertamu di ruang matanya. Rindukah itu? Cintakah itu? Tidak! Tak mungkin.

Namun, itulah satu-satunya lelaki yang amat rapat dengan dirinya kini. Pertemuan mereka semakin kerap terjadi. Dia tidak berdaya menolak pelawaan lelaki itu untuk bertemu. Malah, hampir setiap hari, lelaki itu akan mengambil dan menghantarnya ke tempat kerja. Walau sering ditolak, Hisyam tidak pernah peduli.

Maria tersenyum. Hai, kalaulah mak tahu... Dia masih belum bersedia untuk memberitahu emaknya bahawa hatinya sudah berpunya. Dia segan. Biarlah hubungannya dengan Hisyam menjadi rahsia buat sementara waktu. Sampai masanya nanti pasti ibunya akan tahu juga.

"Nantilah, mak. Mak jugak yang kata, kalau ada jodoh adalah. Lia belum jumpa lagi dengan bakal suami Lia, mak. Insya-Allah, kalau ada jodoh Lia nanti, Lia kahwinlah. Takut mak pulak yang susah hati masa itu. Maklumlah, anak kesayangan mak dah tak boleh nak peluk mak macam malam ni. Kan, mak?"

"Kamu ni, macam-macam. Ni, mak nak tanya sikit. Kenapa telefon bimbit kamu tu dimatikan?"

Maria tidak dapat menjawab. Bagaimana harus dia memberitahu sebab itu? Dia mematikan talian kerana bimbang Hisyam menghubunginya. Sekarang ini, lelaki itu sentiasa sahaja menelefon tanpa mengira waktu. Bukan seminit dua, malah kadangkala melebihi sejam. Ada sahaja yang ingin dibualkan. Ada sahaja gurau sendanya. Macam-macam yang ingin dicerita. Dan, dia leka mendengar.

Mengenangi Hisyam, hatinya tertanya-tanya juga. Susahkah hati lelaki itu bila dia tidak dapat dihubungi? Marahkah lelaki itu nanti? Namun, Maria sedar, kalau dia tidak berbuat begitu, dia yakin hubungan mereka pasti akan diketahui oleh ibunya.

"Mak, saja aje Lia matikan. Kawan-kawan Lia tu, terutama si Yana tu, mesti sibuk nak tahu bila Lia nak balik. Jadi, biarkanlah dia gelabah kat sana. Baru dia orang tahu bahawa mereka akan sunyi kalau Lia tak ada kat rumah tu," jawab Maria riang.

"Perasan betul kamu ni. Dahlah tu. Jom tidur. Kejap lagi kita nak bangun semula. Ada banyak kuih yang perlu kita goreng. Ada jamuan di sekolah rendah tu esok." Aisyah memberitahu. Tubuh Maria didakap.

Maria membalas pelukan ibunya. Rasa bahagia memiliki seorang ibu yang penuh kasih sayang. Walau sudah bertahun-tahun mereka hidup tanpa ayah, namun belaian emaknya selama ini melengkapkan kehidupan mereka adik-beradik. Emaknya itu bukan sahaja memberikan kasih sayang, malah cuba memberikan kasih sayang sebagai ayah sebagai seorang yang sudah hilang. Penuh, ikhlas dan lengkap-selengkapnya.

0 comments:

Post a Comment