Tak Mungkin KuHindar

~~ Novel Dari Ana Sofiya ~~

APA KATA HEROIN?


"Walau macam mana saya sayang awak sekalipun, dengan apa yang awak tuduh-tuduh saya takdi, saya tak mungkin akan balik ke pangkuan awak, saya perempuan kilang yang tidak sedar diri, saya perempuan tidak senonoh...."

APA KATA HERO?


"Pelik betul perangai awak ni. Salah sendiri pun tak tahu? Kenapa, Maria? Perlu ke saya beritahu awak apa yang saya nampak"

Tak Mungkin Kuhindar 7

7

"LIA, awak ke mana? Kawan-kawan awak kata awak balik kampung. Kalau ya pun, kenapa tak buka handset? Awak betul-betul buat saya risau, tahu tak?"

Seperti yang diduga, itulah suara yang akan didengari sebaik telefon bimbit dibuka. Suara itu seakan-akan merajuk. Maria tersenyum. Nampaknya malam ini terpaksalah dia memujuk lelaki itu.

Maria sudah sampai ke rumahnya di Kuala Lumpur. Hampir tiga jam di atas motosikal menyebabkan pinggangnya dirasakan lenguh sangat. Kini, dia sedang berbaring-baring di atas katil selepas menunaikan solat asar. Kawan-kawan serumahnya sedang berada di ruang tamu, menonton televisyen.

"Alah, Lia balik kampung jumpa mak. Malulah nak on telefon. Awak tu bukan kira. Kejap-kejap telefon, kejap-kejap telefon. Nanti mak cakap apa pulak." Maria sengaja mencipta alasan.

"Oh, nak jaga hati mak? Habis tu macam mana dengan hati saya? Saya sedih tahu awak buat saya macam ni. Sampai hati awak," ujar Hisyam pura-pura sedih.

Alasan Maria memang dapat diterima kerana sekarang ini memang dia akan sentiasa menelefon gadis itu. Sering juga menghantar SMS. Memang, Maria tidak akan dapat menyembunyikan hakikat itu daripada ibunya.

"Awak sihat ke, Syam? Kenapa telefon saya ni?"

Soalan Maria mengingatkan Hisyam tentang niat di hati sebelum dia menghubungi gadis itu tadi.

"Lia, awak bersiap ya. Kejap lagi saya jemput awak di rumah, okey. Kita pergi makan."

Maria cuba mengelak. "Syam, saya malaslah nak keluar. Saya baru sampai tau. Penat!"

"Lia, tolonglah. Sekejap aje. Saya rindu sangat pada awak. Dapat tengok awak sekejap pun jadilah. Lagipun, kan masih awal ni? Baru pukul 6.00. Bolehlah, ya?"

Bagaimanalah Maria hendak berkata tidak bila digoda dengan suara seromantis itu?

"HMM, macam mana? Awak suka tak dengan hadiah tu? Mari saya pakaikan untuk awak." Hisyam berkata. Dia ingin memakaikan sendiri rantai tangan yang baru dibeli untuk gadis itu, tetapi Maria sudah memasukkannya semula ke dalam kotak. Perlahan-lahan, kotak itu ditolak semula ke arah Hisyam.

"Simpan balik hadiah awak tu. Saya tak nak." Maria berbisik lembut.

Hisyam terpanar. Perempuan seorang ini tidak habis-habis memberinya kejutan. Hadiah semahal itu ditolak?

Mereka kini sedang berada dalam restoran di Hotel Regency, Port Dickson. Maria sendiri tidak menyangka Hisyam akan membawanya sejauh ini hanya untuk makan malam. Bagaimanapun dia tidak berkata apa-apa. Bagi dirinya, berada di samping lelaki itu sudah cukup membahagiakan. Dia cuma hairan kerana sebelum meletakkan gagang telefon tadi, Hisyam memesan kepadanya supaya memakai baju kurung yang dibeli oleh lelaki itu di Kelantan baru-baru ini. Baju kurung batik berwarna biru pirus, warna kegemarannya.

Hisyam sendiri kelihatan bergaya seperti biasa. Cuma, penampilannya agak istimewa. Kalau selalu dia hanya memakai baju-T dan seluar jean bila mereka keluar bersama-sama, malam ini pemuda itu memakai baju kemeja lengan panjang. Maria pelik memikirkan perbezaan itu.

Maria membiarkan sahaja Hisyam memesan stik untuk mereka berdua. Hatinya bimbang kerana dia tidak pernah makan stik. Bila masa hendak makan makanan mahal itu apabila dia dan kawan-kawannya jarang benar makan di luar? Mereka lebih selesa makan beramai-ramai di rumah walau hanya berlaukkan sambal ikan bilis.

Inilah kali pertama. Agaknya di tempat eksklusif begini, hanya makanan barat sahaja yang dihidangkan kut. Hati Maria mengomel.

Melihat di sekeliling, Maria mendapati suasana hening di sini. Hanya ada beberapa buah meja sahaja yang dipenuhi. Alunan muzik yang berkumandang menambahkan suasana romantis.

"Kenapa awak tak suka rantai tangan tu, Lia? Awak nak yang macam mana? Esok kita pergi beli yang lain, ya?"

Maria tersenyum. "Tak perlu! Syam, kan saya dah pesan pada awak berkali-kali yang saya tak suka awak beri hadiah pada saya. Bila awak pergi out-station, mesti ada aje yang awak belikan untuk saya. Saya malu, tahu tak?" ujar Maria.

"Malu? Kenapa? Lia, saya ikhlas beri semua hadiah-hadiah tu."

"Yalah, kalau hadiahnya kain, macam baju yang saya pakai ni, tak apalah jugak. Ini… rantai tangan macam tu. Mahal sangat! Buat apa?"

"Nak bagi awak pakailah! Lia, awak tu buah hati saya. Kalau boleh, macam-macam saya nak belikan untuk awak. Nak hadiahkan pada awak."

"Saya tahu awak banyak duit. Saya tahu awak mampu beli apa sahaja. Lagipun dah banyak yang awak hadiahkan saya. Cukuplah..."

Hisyam hanya memandang tanpa berkelip. Tiba-tiba, dia ketawa sehinggakan tetamu-tetamu lain menoleh ke arah mereka.

Maria menjegilkan matanya, pura-pura marah. "Kenapa ketawa macam tu?"

"Awak ni lucu betul. Kalau kawan-kawan saya dulu, nampak saja hadiah macam tu, terus cium saya," seloroh Hisyam.

"Pertama, tolong ingat yang saya bukan macam girlfriend awak yang lain tu. Kedua, kalau malam ni tujuan awak nak buat saya cemburu, sakit hati, baik hantar saya balik. Terus cium konon... Benci!" Maria geram. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan kecewa yang hadir bila mendengar kata-kata Hisyam tadi. Jelas dia kecil hati dengan lelaki itu.

Hisyam kembali serius. Dia cuba memegang tangan Maria, namun gadis itu mengelak. "Lia, jangan marah saya, okey? Saya melawak aje tadi."

"Huh!" Maria mendengus.

"Cemburu, eh?" soal Hisyam sambil tersenyum. Lirikan mata melambangkan kepuasan. "Lia, sayang, saya tahu awak lain daripada yang lain. Sejak kali pertama jumpa awak saya dah tahu. Sebab itu hanya awak sorang aje yang dapat curi hati saya ni."

Pada ketika itu hidangan mereka sampai. Kata-kata manis terhenti.

"Kita makan dulu," kata Hisyam.

Hisyam makan dengan berselera. Tidak menyedari Maria sedang memerhati perlakuannya dengan penuh minat. Tiba-tiba Maria rasa ingin ketawa.

Itulah, Syam, cari lagi wanita macam saya untuk jadi teman awak, kan ke susah? Nak makan stik pun tak tahu. Takut nak potong. Manalah tahu kalau-kalau melompat pulak daging ni keluar dari pinggan. Awak jugak yang malu nanti!

"Kenapa tak makan lagi? Awak tak suka?" Hisyam bertanya bila Maria dilihatnya masih belum memulakan suapan.

Maria ketawa kecil. Nampaknya terpaksalah dia mengaku. "Takut nak potong daging ni," bisik Maria perlahan.

Hisyam terpegun.

"Maaflah! Saya cakap benar ni. Saya tak tahu nak guna pisau dengan garpu," kata Maria malu-malu.

Seketika kemudian Hisyam bangun. Tindakannya mengejutkan Maria. Apatah lagi pada ketika itu, Hisyam sedang berdiri di belakangnya.

"Okay, it’s my pleasure to teach you, love!" bisik Hisyam di telinga Maria. Dia mencapai tangan Maria, memegang kedua-duanya dan bersama-sama, daging lembu itu dipotong sedikit demi sedikit.

Hisyam kembali duduk di kerusinya. Wajah Maria yang merah padam ditatap.

Maria jadi malu. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan perasaan yang bergelora. Kemudian dia mula menjamah daging itu satu per satu tanpa mengendahkan lelaki yang masih merenungnya tanpa jemu.

"Awak buat begitu kepada semua teman wanita awak, Syam?"

Soalan yang membuat Hisyam ketawa kecil. "Tak ingat pulak! Ya, kut!"

Maria menarik muka masam. Takkanlah itu pun tak ingat. Mengada-ada!

"Lia, tengok muka saya ni. Maria, memang dulu saya ada ramai kawan perempuan. Memang kami selalu pergi makan sama-sama, tapi saya tak pernah bawa dia orang ke sini."

"Kenapa?" Maria tidak dapat menahan diri daripada bertanya.

"Sebab ini tempat yang istimewa buat saya. Saya selalu ke sini untuk mencari ketenangan kalau saya ada masalah di pejabat. Saya akan ke sini dan relaks beberapa hari jika saya bosan di rumah."

"Bosan? Di rumah?"

Maria hairan. Bagaimanakah seorang boleh bosan bila berada di rumah sedangkan dirinya kalau boleh ingin selalu dekat dengan ibunya?

Hisyam ketawa melihat gelagat Maria. "Saya akan bosan bila mami asyik tanya bila saya nak kahwin. Jadi, sebagai tanda protes, saya bawak diri saya ke sini dua tiga hari. Bila saya balik, mami tak akan cakap lagi tentang itu. Dia takut saya merajuk lagi."

"Oh, begitu…"

"Malam ni, hotel ini akan catat satu lagi sejarah istimewa dalam hidup saya, Maria," kata Hisyam dengan berhati-hati. Matanya tajam menatap anak mata Maria.

"Ya?" Tanya Maria. Dia berharap hatinya akan tenang semula. Renungan Hisyam bagai menyampaikan sesuatu.

"Ini tempat yang istimewa, Lia. Malam ini malam yang istimewa. Awak gadis yang istimewa itu. Dan, untuk pengetahuan awak, keistimewaannya bermula tadi bila saya tolong awak potong daging stik tu. Hmm, seronok betul!"

Maria tersipu malu.

Perlahan-lahan Hisyam mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Sebuah kotak kecil berwarna biru. Dada Maria bergetaran hebat melihat isinya. Sebentuk cincin yang diperbuat daripada emas putih, berkilauan dengan butiran kecil berlian. Cantik sungguh!

"Malam ni, saya nak beri cincin ni pada awak, Lia. Kalau awak sudi memakainya, bermakna awak sudi jadi isteri saya," kata Hisyam dengan suara dan wajah yang serius.

Maria terkesima. Membisu tanpa kata.

Hisyam gelisah. "Lia, awak masih tak yakin dengan saya?"

Bila Maria diam tidak menjawab, Hisyam pegang kedua-dua belah tangan Maria. "Saya benar-benar serius, Lia. Saya nak kahwin dengan awak."

"Kahwin?" Maria menyoal.

"Ya, kita kahwin! Lagi cepat lagi baik!" Hisyam menjawab penuh keyakinan.

Maria merenung Hisyam dengan sepasang matanya itu. Dalam sinar matanya itu ada berbagai-bagai perasaan. Dia tidak percaya, dia ragu-ragu, dia cemas, dia bimbang. Semuanya terpancar jelas.

"Tak cepat sangat ke, Syam? Kita kan baru kenal? Masih banyak tentang saya yang awak tak tahu. Dan banyak tentang awak yang saya tak tahu. Belum tahu!"

Hisyam nampak setiap perubahan di riak wajah gadis itu. Dia ingin menghilangkan semua keresahan itu. Ingin melenyapkan semua keraguan. Dia mahu Maria yakin dan percaya pada dirinya. Percaya pada kata-katanya.

"Sayang, berapa lama, itu tak penting. Selagi kita macam ini, tak kahwin-kahwin, selagi itulah kita tak akan kenal diri kita masing-masing. Sebab itu kita mesti kahwin. Selepas kahwin semuanya bukan rahsia lagi. Tak akan ada rahsia antara kita."

"Tapi…"

"Saya mahu hubungan yang halal, Lia. Saya dah tak sanggup macam ni. Boleh tengok awak, tapi tak boleh pegang. Saya betul-betul tak sanggup. Lagipun umur saya dah lebih 30 tahun. Kawan-kawan sebaya saya ramai yang dah ada anak pun. Lia, saya dah jumpa awak dan saya yakin Allah dah tetapkan awak sebagai jodoh saya," ujar Hisyam bila Maria masih membatukan diri.

Kata-kata Hisyam menyebabkan pipi Maria rasa berbahang. Dia sedar bahawa wajahnya itu pasti sedang bertukar merah kerana mata lelaki itu asyik merenung. Pasti lelaki itu menyedarinya.

"Maria." Tangan Maria digenggam erat. Dagu Maria diangkat supaya mereka dapat bertentangan mata. "Berilah saya peluang untuk buktikan kasih sayang saya pada awak. Saya serius dengan apa yang saya cakap ni. Saya tak main-main. Apa yang kita bincangkan ini bukan perkara yang boleh dibuat main."

Semakin tegas Hisyam mengucapkan kata-katanya kali ini. Dia ingin benar mengucup jari-jari halus itu, namun ditahannya. Lama jari-jemari itu berada dalam genggamannya, seolah-olah tidak mahu dilepaskan.

"Susah sangat ke untuk awak cakap ya?"

Maria sengaja mendiamkan diri. Sengaja membiarkan Hisyam keresahan.

"Lia, kalau awak bimbangkan ayah dengan mami saya, percayalah! Dia orang akan terima awak sebagai menantu. Mami dengan ayah nak saya kahwin dengan perempuan yang baik, yang ikhlas dengan saya, mencintai saya kerana diri saya. Semua itu saya dah temui dalam diri awak."

Alangkah lunak kata-kata itu di pendengaran Maria. Dia yakin dengan kata-kata lelaki itu. Dia percaya. Selama ini pun Hisyam sering meluahkan rasa kasih dan sayang itu kepadanya. Tentulah dia gadis yang paling bahagia saat ini. Hisyam sedang melamarnya. Kalau dia menerima pastilah tidak lama lagi rombongan lelaki itu akan ke rumahnya, menemui emak. Memang saat-saat manis begini hanya dinikmati oleh gadis yang bertuah sahaja. Maria memberanikan diri untuk menatap wajah lelaki itu.

"Syam, boleh saya tanya?"

Hisyam mengangguk.

"Betul, hanya saya yang awak cintai?"

Hisyam mengangguk lagi.

"Saya sorang aje dalam hati awak sampai bila-bila?"

"Insya-Allah..." Tegas pengakuan Hisyam.

"Walaupun saya orang miskin?"

Ah, rasa rendah diri itu lagi. Hisyam terus mengangguk.

"Tapi, saya tak ada ayah. Ayah saya dah pergi. Dia dah kahwin lain. Keluarga saya tak lengkap."

"Lia, dengar sini. Tengok saya."

Perintah Hisyam dipatuhi.

"Saya tak kisah latar belakang keluarga awak. Saya rasa saya dah cukup kenal dengan awak. Dah cukup tahu hati budi awak. Saya yakin, saya tak silap pilih. Awaklah gadis terbaik untuk saya."

Sungguh, tidak pernah hati Maria segembira malam ini.

"Ada apa-apa lagi yang awak nak tanya?"

Maria menggelengkan kepala. Dengan malu-malu akhirnya dia berkata. "Saya betul-betul tak tahu apa yang nak saya cakap lagi. Saya, saya…"

Hisyam mengulum senyuman. Matanya melekat tajam ke wajah Maria. Dia sedang memberikan sepenuh perhatian untuk mendengar apa yang ingin dikatakan oleh Maria seterusnya.

Maria semakin lemas bila Hisyam tidak menyembunyikan perasaannya langsung. "Janganlah tengok saya macam tu," kata Maria malu-malu.

"Kenapa?" Hisyam semakin menggoda.

"Syam, tolonglah…"

Hisyam ketawa kecil. "Rasanya saya tak silap mentafsir, kan, Lia? Ada sinar cinta untuk saya dalam pandangan mata awak tu. Hati kita sekata, kan? Jadi, apa jawapannya, sayang? Terima atau tidak?"

Maria menatap wajah Hisyam tanpa kata.

"Lia…"

Lembutnya bisikan itu. Nafas Hisyam terasa hangat di wajah. Bila hidung mancung lelaki itu cuba menyentuh pipinya, Maria segera mengelak.

"Maria, kita kahwin ya?"

Maria rasa ingin ketawa pula. Hai, mamat ni dah terikut-ikut stail orang putih pula. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Encik Muhamad Zaiful Hisyam bin Ahmad. Awak ni lahir kat Amerika ke? Awak ingat kita ni mat salih? Mat salih bolehlah. Pakai tanya macam tu aje… Lia kan ada emak. Kalau betul nak kahwin dengan Lia, bawak orang tua awak jumpa emak Lia. Macam itu barulah betul caranya, kan?" ujar Maria.

Hisyam menepuk dahi. Kiranya wanita hebat ini menerima lamarannya. Tanpa mempedulikan keadaan di sekeliling, dia menjerit keriangan, "Yahoo!!!"

Ketika itu, Hisyam merasakan bahawa seluruh dunia ini telah diberikan kepadanya. Alangkah gembiranya dia.

Maria terpaksa menarik Hisyam supaya duduk semula.

"Awak ni… Tak malu betul. Semua orang tengok kita, tahu tak?"

"Biarlah. Malam ni, sayalah lelaki yang paling gembira dalam dunia."

Tangan kiri Maria dipegang. Cincin disarungkan. Lama mereka merenung cincin di jari manis itu. Keriangan dan kebahagiaan dapat dilihat dalam pancaran mata.

"I feel like kissing you," kata Hisyam manja, meminta izin.

Maria menggelengkan kepala. "Lepas kita kahwin!"

"Alah, sayang... lepas kahwin tu cerita lain. Masa tu awak hak saya."

Maria ketawa. Dengan lembut, dia mengajak Hisyam balik. Semakin lama dalam tempat ini, dengan cahaya lampu yang suram, lain pula jadinya nanti, fikirnya.

"Kenapa? Awak takut berdua-duaan dengan saya?" Hisyam mengusik sambil jarinya mencuit hidung Maria.

"Kalau saya kata ya?"

Jawapannya itu membuat Hisyam tergelak besar. "Sebab itu kita kena kahwin, Lia. Dengan awak, macam-macam yang saya fikirkan. Macam-macam yang saya nak buat. Tapi kan, sayang... awak pun tahu kan yang saya ni orang baik."

"Yalah tu! Habis tu yang tangan awak merayap-rayap ni, pasal apa?"

Maria mencebikkan bibir sambil menepis lembut tangan Hisyam yang sedang mengusapi bahunya. Hisyam tersengih.

Mereka meninggalkan Port Dickson kira-kira jam 11.00 malam. Sepanjang perjalanan Hisyam bernyanyi kecil. Sebaik sampai di hadapan rumah, Hisyam memberitahu rancangannya.

"Petang esok saya ambil awak di kilang. Tunggu saya dalam pukul 4.00. Saya hantar awak balik. Pukul 8.00 malam, saya nak bawak awak jumpa orang tua saya. Saya nak mereka kenal gadis idaman saya. Nak suruh mereka masuk meminang. Saya tak mahu lama-lama, Lia. Kalau boleh, dalam dua bulan dari sekarang kita dah jadi suami isteri. Setuju?"

Maria mengangguk.

"Hai, rasa tak sanggup nak lepaskan awak turun." Hisyam mengucapkan kata-kata itu dengan lembut.

Maria tersenyum. "Sekarang semuanya tak sanggup. Bila dah dapat nanti mulalah cakap jemulah, menyampahlah."

Hisyam menggelengkan kepala. Sepasang mata nakalnya itu benar-benar membuat hati Maria jadi tidak keruan.

"Jemu? Dengan awak? No way!"

Antara kedengaran dengan tidak, Maria membalas. "Orang lelaki ni memang suka mengarut. Suka mempermainkan perasaan orang. Malaslah saya nak layan awak. Okey, saya nak masuk. Terima kasih untuk makan malam tu."

"Mana good night kiss saya?" pinta Hisyam. Suara garau itu menggoda betul.

"Okey!" kata Maria sambil membalas renungan mata kekasihnya.

Hisyam nyata terkejut, namun peluang yang datang tidak mahu dilepaskan. Wajah segera ditundukkan. Ketika bibir itu hampir benar, Maria meletakkan tangannya untuk menjadi sempadan sambil menolak tubuh Hisyam yang terlalu dekat.

"Hisy, pantang orang bagi peluang ya? Dah tau berdosa pun nak buat juga. Tak sabar-sabar." Maria berbisik lembut sambil tertawa kecil.

Tawanya bersambut dengan gelak tawa Hisyam yang sudah pun duduk di tempatnya semula.

"Syam, tunaikan janji awak pada saya. Insya-Allah, selepas kita kahwin, semua milik saya akan jadi hak awak."

"Ini yang buat saya sayang sangat pada awak, Lia," kata Hisyam sambil melarikan jari telunjuknya di sepanjang bibir Maria.

Maria memejamkan matanya seketika. Cuba mengawal hati dan perasaan. Tidak lama selepas itu dia meminta izin untuk turun.

Hisyam merenungnya sekali lagi sebelum memecut pergi.

TANPA alasan, Hisyam tidak datang menjemput Maria di tempat kerja keesokan harinya. Dia dibiarkan menunggu. Janji untuk membawanya menemui ibu dan ayah Hisyam, tinggal janji. Puas dia menelefon, tetapi talian ditutup. Bila dia menghubungi pejabat, dia diberitahu bahawa Hisyam tidak bekerja. Dia kebingungan.

Hari-hari berikutnya adalah amat menyeksakan. Setiap panggilan daripadanya, tidak dipedulikan Hisyam. Malah, sebaik tahu Maria yang menelefon, talian terus dimatikan. Setiap pesanan ringkas tidak dibalas. Maria tidak memahami apa yang telah berlaku. Tidak dapat mempercayainya juga. Selama seminggu, dia seperti orang gila. Menanti panggilan telefon daripada lelaki itu. Menanti SMS daripada Hisyam. Namun, Hisyam terus-terusan mendiamkan diri sehingga akhirnya Maria tidak lagi dapat menipu diri. Dia tahu dia tidak boleh terus menanti. Dia tahu dia tidak lagi boleh menunggu.

Sepanjang masa itu, Maria menghitung hari-hari yang sepi. Tanpa Hisyam. Tanpa bisikan mesranya. Tanpa usikannya yang menggoda.

Sehingga hari ini, sudah tiga bulan, Hisyam tidak langsung menghubungi. Tidak pernah mencarinya. Lelaki itu membisukan diri. Menyepi tanpa khabar berita. Dia telah membuang Maria jauh dari hatinya. Dari hidupnya. Dia telah melupakan.

Maria benar-benar kecewa dengan sikap Hisyam. Benar-benar hampa dengan perbuatan lelaki itu. Apa yang Hisyam lakukan benar-benar merobek sekeping hatinya.

Oh Tuhan, gembirakah dia membuat aku begini? Bahagiakah dia? Selepas menaburkan janji-janji manis, dia pergi begitu sahaja. Mengapa?

Akhirnya, Maria pasrah. Kalau dirinya tidak bermakna apa-apa dalam hidup Hisyam, biarlah. Kalau benar Hisyam ingin memutuskan perhubungan mereka, dia rela. Tidak guna merayu kepada yang tidak sudi. Tidak guna meminta pada yang tiada. Tidak guna lagi merindu kepada yang tidak lagi mengasihi.

Tidak tahu ke mana hati ingin dibawa. Tidak tahu ke mana diri ingin dilarikan. Bila Hisyam ingin dihampiri, kiri kanan jalannya penuh berduri. Bila Hisyam ingin dijauhi, hidup dirasakan kosong, tidak bererti.

Dirinya ibarat sampah hanyut terbuang. Dirinya amat hina diperlakukan oleh Hisyam. Kasih sayang hanya sementara. Seperti kasih abah kepada dirinya.

0 comments:

Post a Comment